Umie Nadzimah Layan Blog

Umie Nadzimah Layan Blog

Sunday, September 30, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 5




                          KEJADIAN malang yang menimpa gadis unik bernama Lia Hana itu lewat petang semalam masih terbayang-bayang di fikiran Syed Azeem. Hampir dua jam dia mengadap dokumen dan komputer di hadapann, sudahnya satu perkarapun tidak dapat diselesaikan. Sememangnya wajah unik itu amat seiras dengan Sharifah Zalia. Dia telah memastikannya dengan jarak yang amat dekat semalam. Sebelah menyebelah mereka duduk di  dalam kereta, dan dia mengambil peluang ini untuk mengamati wajah itu sebaik mungkin.

                        Sekali pandang, dia pasti  tiada siapapun yang dapat membezakan antara  Sharifah Zalia dan Lia Hana. Itu yang difikirkannya. Namun jika di amati betul-betul, ada satu perbezaan yang ketara di wajah mereka.  Syed Azeem amat mengenali apa-apa sahaja yang dimiliki Sharifah Zalia, mungkin tiada satupun tentang gadis ini yang dia tidak tahu, kecuali niat gadis itu melarikan diri di hari pernikahan mereka. Ya….Gadis unik Lia Hana mempunyai dua lekuk yang dalam dan amat cantik  di kedua-dua pipinya apabila dia tersenyum. Sesungguhnya dia sudah mula suka dan terpikat dengan senyuman itu! Sangat manis dan indah! Sementara Sharifah Zalia pula , hanya mempunyai satu lekuk sahaja. Satu lekuk yang cetek, dan hampir tidak terperasan  oleh orang lain. bukan Dia yakin kini , gadis itu  bukan Sharifah Zalia.

                        Cara Lia Hana bertutur juga menarik perhatiannya. Jaun berbeza dengan cara gadis yang menghancur luluhkan hatinya itu. Lia Hana penuh tertib dan sopan , sesuai dengan raut muka yang comel dan manisnya.  Wajah nampak tenang , walau dalam keadaan yang agak kecewa dengan peristiwa malang yang menimpa dirinya semalam.
                        Syed Azeem tersenyum sendiri pula bila terkenangkan gadis itu yang sentiasa tercari-cari sesuatu di dalam beg tangan besarnya. Waktu itu,wajahnya nampak cukup menghiburkan. Terlalu banyak barang yang di bawa agaknya, sehingga terpaksa mengambil masa yang lama untuk  mencari benda yang diperlukan.
                        Hissh!…..Apa yang  melalut ni! ” Desisnya di dalam hati. Lalu dia bangun dari kerusi empuk buatan dari kualiti yang bermutu tinggi itu, menuju ke  cermin yang mengadap jalan dan  premis kilang di hadapan pejabatnya. Terasa hati untuk membuka bidai yang mengambil alih tugas langsir itu. Selama dia bekerja di sini, tidak pernah sekalipun dia membuka bidai tersebut. Tidak perlu sebenarnya. Cahaya lampu yang menerangi bilik sudah cukup untuk dia menyelesaikan semua kerja. Juga tidak mahu merasa rimas dengan kehadiran cahaya matahari yang akan masuk dan menerobos ruang fikiran dan jiwanya  yang kelam selama ini.

                        Perlahan-lahan tangan menarik tali pembuka bidai tersebut. Cahaya pagi segera masuk membantu menerangi ruangan pejabatnya yang agak besar itu. Terasa ada ketenangan dan semangat baru pula yang menerpa masuk ke dalam diri. Semangat yang telah lama pudar dan menjauh!
                       
                        Mata tenang memerhati ke luar. Pemandangan pagi yang menenangkan.  Nun, jauh di sana  tersergam Bukit Larut yang sungguh indah menghijau menerbitkan satu  perasaan harmoni bila memandang. Di tengah-tengahnya terdapat  air terjun yang memukau perhatian .  Tiada kesibukan manusia pun pada pandangannya.  Yang terbentang di hadapannya, cuma ada jalan raya yang agak sunyi. Sememangnya jalan ini jarang digunakan kenderaan luar, kecuali oleh pekerja-pekerja atau orang yang mempunyai urusan dengan kawasan perindustrian di sini sahaja.
                                               
                        Dia terus menghalakan pandangan ke arah kilang di hadapan. Besar kilang tersebut. Terdiri dari beberapa unit bangunan. Setahunya, ianya  adalah kilang makanan yang mengeluarkan jenama  ikan sardin yang amat terkenal. Dia juga suka makan sardin dari jenama tersebut. Jika bondanya yang memasak sardin tersebut, kesedapannya akan menjadi berganda-ganda lagi. Ahh! Bonda, tiba-tiba rindu kepadanya  menjengah di hati. Satu-satunya wanita yang selalu di rindui kini. Bonda sudah lama tidak melawat anaknya  di hujung dunia ni.

                         Pandangannya tiba-tiba tertancap kepada sebuah kereta warna hitam yang terparkir  di ruangan petak yang agak hujung di hadapan kilang tersebut, tetapi betul-betul berada  bertentangan dengan pejabatnya.  Toyota Vios Lia Hana!. Ohh! Tuhan….Kenapa mesti ada banyak kebetulan dengan gadis ini. Apa rahsia di sebalik semua ini? Monolog Syed Azem sendiri.

                        Harapannya untuk bertemu gadis itu buat kali ketiga, telah dimakbulkan Tuhan.  Masih adakah pertemuan manis untuk kali ke empat, ke lima dan seterusnya ? Mengenangkan  lesung pipit yang manis terletak di kedua-dua pipi putih, yang kadang-kadang merona merah,  rasanya dia tidak akan  sekadar mengharap lagi. Tidak akan bergantung kepada kebetulan lagi ! Dia akan berusaha supaya ada pertemuan untuk kali ke empat dan seterusnya.  Daya tarikan gadis tersebut amat kuat untuknya. Dia mesti bertindak menjadi lelaki macho….

*********


                        NAIK rimas Lia Hana dengan desakan Salina pada tengah hari itu. Temannya meminta penjelasannya kenapa dia boleh menumpang kereta mewah Syed Azeem semalam. Hilang selera dia untuk menjamah makanan yang dibelikan oleh Faiz, sebagai tanda terima kasih menyelesaikan masalah bersangkutan mesin operasi  malam tadi. Itu janji Faiz padanya.
                          Aku belum makan lagi ni Lina. Kau makanlah, aku boleh cerita  , nanti kau boleh jadikan novel”.
                        Tersengih-sengih  Salina menerima pelawaan Lia Hana. Nasi yang dibungkus Faiz memang nampak sedap. Lauk sotong,  udang besar di goreng, ikan pari bakar dan ulam-ulaman, berserta air asam. Sudah rezeki dia agaknya. Walaupun baru makan sebentar tadi, tetapi apabila melihat makanan tu, perutnya terasa lapar semula.

                        “ Aku tunggu kau semalam. Dah pukul sebelas , kau tak balik-balik lagi, akupun tidurlah. Pagi tadi kau kelam kabut nak datang kerja awal, tak sempat aku nak bertanya”.
                        “ Semalam tu aku terpaksa , kunci kereta jatuh dalam  lonkang depan bank. Si Azeem tu beriya-iya nak tolong. Aku naik ajelah kereta dia, sebab dah terdesak. Faiz pula asyik telefon , kecemasan di kilang ni. Jadi semuanya kena cepatlah”.
                        “….Jap…jap..Apa nama dia ?”
                        “Azeem….Azeemlah!”
                        Sedikit terjerit Lia Hana apabila Salina berkerut muka  seperti tidak dapat menangkap. Betullah dengan pengakuan dia hari itu yang IQ dia rendah, lambat sangat memahami sesuatu perkara, sungut Lia Hana dalam hati, tetapi cepat- cepat dia beristighfar  mengenangkan tidak baik berprasangka begitu, lebih-lebih lagi kepada orang yang baik kepadanya.

                        “Waah…Sedapnya nama dia, sesuai dengan orangnya. Jadi, engkau dah berkenalanlah dengan mamat biul tu?”
                        “ Kiranya macam tulah……sebab orang dah menolong aku, kenalah berbahasa kan ?”
                        “ Eh…Lia, aku betul-betul suka dengan mamat tu. Engkau tolong rekomenkan aku boleh ? Kau kan dah kenal dia ?”
                        Tersedak  Lia Hana  ketika meneguk air, dek kerana kata-kata teman serumah merangkap kawan baikknya ini. Jauhnya dia berangan!. Belumpun kenal orang bagaimana, dia sudah jatuh hati. Salina…..Salina, tidak habis-hbis dengan perangai gopoh dan kecohnya, gumannya dalam hati. Rasa lucu pun ada.
                        “Kau janganlah senyum-senyum saja. Bagilah aku peluang!”
                        “ Tengoklah nanti, kalau aku tak nak, kau boleh ambillah….” Gurau Lia Hana, ingin melihat reaksi temannya.
                        “ Ehh….Takkan kau pun suka juga dekat mamat biul tu ? Dulu kemain takut lagi. Sekarang dah suka ke ? Kau kan ramai peminat. Ni….ha tadi, Encik Kamil , bos aku baru je kirim salam dengan kau. Beriya-iya dia tanya pasal engkau  itu ini , dengan aku”
                        “Hishh….Tak kuasa aku. Encik Kamil tu kan dah ada anak dua ? Engkau jangan nak bergossip Lina, pekerja lain tahu, tak elok tau…..  Nanti dia orang ingat aku ada skandal dengan suami orang”.
                        “ Alaah….Bukan salah kau, dia yang nak menggatal!”.
                        “Jangan…..Kita orang perempuan ni, selalu sahaja jadi mangsa. Tak salahpun, akan dipersalahkan. Kau jangan babitkan nama aku dengan suami orang. Pantang keturunanan dan nenek moyang aku”.

                        Sudahnya Salina tersengih-sengih. Faham benar dia bila Lia Hana sudah menyebut keturunan dan nenek moyang , bermakna dia amat serius dengan kata-katanya. Jangan diungkit atau  di sebut lagi perkara tersebut.

                        “Cik Lia, sedap tak makanan yang saya belanja  tu ?”
                        Faiz yang tiba-tiba muncul di kantin menyapa. Terkejut kedua-dua gadis tersebut. Hampir tercekik Salina dibuatnya, mujur Lia Hana cepat-cepat menghulurkan air minuman. Kemudian, mata Salina terbelalak memandang temannya, yang sedang tersengih-sengih itu.
                       “ Sedap sangat Faiz. Banyak pula tu. Tak habis saya makan seorang, itu yang syer dengan Cik Lina ni. Terimakasih banyak-banyak ya. Lain kali saya belanja Faiz pula”.
                        “Saya, kalau Cik Hana nak belanja, tak menolak.  Rezeki kan? Emak ayah pesan, jika ada rezeki jangan jual mahal”.
                        “ Banyak betul pesanan emak ayah engkau ya Faiz? Setiap kali jumpa kau, mesti ada pesanan mereka yang kau sebut”.
                        Salina mencelah. Sememangnya begitulah, jika mereka berbual dengan Faiz, mesti ada pesanan ibu-bapanya yang disampaikannya.  Teknisyen dari Bahagian Penyelenggaraan ini, sudah satu tahun berkhidmat di situ, dan nampak seperti amat berminat mendekati mereka berdua sejak kehadiran Lia Hana dua bulan lalu. Namun Lia Hana seperti buat-buat tidak mengerti dengan tujuan Faiz.
                        “Saya pergi dululah Cik Hana dan Cik Lina, nak solat Zohor, takut tak sempat pula nanti”.
                        Okay Faiz. Terima kasih sekali lagi untuk makanan yang sedap ni”.
                        Faiz mengangguk seraya tersenyum , khas untuk gadis pujaan hati di dalam diam. Lalu dia beransur menuju ke surau berdekatan.
                        “Itu lagi seoarang, yang tergila-gilakan engkau! Engkau tak perasan ke Lia ?” Bisik Salina setelah Faiz agak menjauh.
                        “ Apalah engkau ni Salina! Dia tu macam adik aku saja. Beza umur dia dengan kita tiga tahun tau ! Dah…dah, jangan nak merepek lagi. Jom pergi solat, sebelum bos kau dan bos aku mengamuk kat dalam sana”.

Thursday, September 20, 2012

Tidak Pernah Sesal , Bab 4

TEPAT  jam enam petang, Lia Hana terkocoh-kocoh menuju ke  keretanya, sehingga panggilan Faiz, seorang Teknisyen dari Bahagian Penyelenggaraan , yang memanggilnya beberapa kali tidak didengarinya. Dia terpaksa berkejar ke bangunan Maybank dan seterusnya ke Hong Kong Bank bagi memasukkan deposit wang pembayaran  kad kreditnya. Hari ini adalah hari terakhir bagi dia menyelesaikan , dan jika tidak caj bank akan dikenakan pada keesokan harinya. Dia tidak menggunakan perkhidmatan ‘online’ untuk Hong Kong Bank kerana tidak mepunyai   akaun simpanan dengan bank ini.  Kerjanya mudah jika berkaitan dengan bank  Maybank atau bank CIMB, kerana dia boleh  menggunakan perkhidmatan ini di pejabat atau di rumah sahaja. Namun, dia lebih suka menggunakan kad kredit Hong Kong Bank, walaupun terpaksa bersusah payah ketika waktu pembayaran semula.

                        Niat di hatinya untuk ke pejabat semula, kerana ada sedikit masalah di bahagian pengeluaran yang perlu di pantau , sehingga tamat operasi  pada pukul sebelas malam. Selepas makan tengahari tadi ,sepetang dia berada di dalam bahagian pengeluaran, menyelasaikan masalah pemperosesan yang tiba-tiba menyimpang dari spesifikasi yang ditetapkan. Berkerjasama dengan semua Penyelia , juga dengan kehadiran Bahagian Penyelenggaraan, mereka memerah otak, dan akhirnya dapat menyelesaikan masalah  seterusnya mengelakkan pembaziran dan kerugian. Lega rasa hati akhirnya, walaupun badan terasa  amat keletihan selepas itu.

                        Sewaktu dia sampai di Maybank untuk mengeluarkan duit dari mesin ATM , kilat dan guruh mula menyambar dan berdentum di langit, dan tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Mujur dia  mendapat tempat parkir betul-betul di hadapan pintu, kerana kebetulan ada sebuah kereta beredar dari petak itu. Dia berlari-lari anak ,tanpa memandang kiri kanan  untuk masuk ke dalam bangunan  bank tersebut, walaupun agak terhalang  dek tembok lonkang yang agak tinggi.  Masuk ke dalam, dia mengibas-ngibaskan sedikit dengan tangan renik-renik air  hujan yang mengena pakaian seragam merah hitamnya.  Tanpa disedari, setiap perlakuan dan tingkahlakunya  ketika itu diperhatikan oleh sepasang mata  tanpa berkedip-kedip.

                        Setelah  selesai kerjanya dengan  mesin pengeluar wang berkomputer di situ, dia dengan langkah pantas ingin menuju semula ke kereta. Niat untuk cepat  terhalang oleh deringan telefon bimbit yang berada di dalam beg tangan besarnya .  Lalu dia tercari-cari di mana telefon kecil itu berada, dengan tangan kanan sementara di tangan kirinya tersedia tergengam kunci kereta yang sudah sedia untuk digunakan. Oleh kerana masa yang diambil untuk mencari agak lama, maka setelah di dalam genggaman, telefon tersebut tidak lagi berdering.

                        Lia Hana malas hendak ambil pusing siapakah pemanggilnya. Dia ingin segera menyelesaikan tugas peribadinya kini. Dia melangkah pantas sambil mencampak semula telefon ke dalam beg.  Dalam keadaan  agak kelam kabut tersebut, kunci kereta di tangan kirinya terlepas, dan terus masuk ke dalam lonkang besar melalui  celahan jaring-jaring besi penutup. Lia Hana panik. Arus air  yang amat deras terus membawa kuncinya, sehingga tidak dapat dilihat dan dikesan, apatah lagi untuk memungut semula. 
                         Gosshh...
                        Wajah yang sedia keletihan itu makin pucat dengan kejadian yang tidak disangka itu. ‘Alahai , kenapalah lalai sangat waktu ini. Macam manalah boleh terlepas dari tangan. Macam-macam malang hari ini’,gumamnya dalam hati. Dia tidak tahu apa yang perlu dibuatnya. Melihat ke dalam lonkang tersebut, tiada  lansung bayang-bayang kuncinya itu.
                        “Cik ?”, Tiba-tiba muncul seorang lelaki di hadapannya yang tertundunk mencari-cari itu. Lelaki tersebut memandang kad nama syarikat yang tergantung di lehernya, yang memaparkan nama dan jawatannya  dengan jelas sekali.
                        “Cik Lia Hana, boleh saya bantu?” Dia bertanya lagi, siap dengan nama penuh untuk mendapat perhatian lebih, agaknya.
                        “Err….kunci…err…kunci kereta saya dah di bawa arus”. Dengan suara sedih  dan wajah kecewa Lia Hana  bersuara, tanpa memandang ke arah penanya.
                        “ Saya rasa, dah tak dapat cari dah. Kunci lain ada? Maksud saya kunci pendua ?”.
                        “ Err….Ada…Ada, tapi di rumah”. Lemah lagi suara kedengaran.
                        “ Kalau begitu, mari saya hantarkan cik untuk ambil”. Pelawa lelaki itu pula.
                        Mendengar pertolongan yang ditawarkan, Lia Hana terus mendongak kepala untuk melihat orang yang begitu baik terhadapnya di saat-saat  amat berharga ini. Terkejut  dia!. Baru  sedar bahawa lelaki yang perihatin saat  ini   mamat biul.  Bulat mata dia memandang lelaki tersebut.
                        “Err…. Err…Cik sudi tak ?”Teragak-agak dia bertanya lagi, sambil matanya mengarahkan kepada keretanya yang di parkir di belakang kereta Lia Hana.
                        Dengan lemah, Lia Hana mengangguk. Apa alasannya untuk menolak.? Kawasan ini tidak dilalui teksi, sementara bas pula bukan laluan untuk ke rumahnya. Hari pula sudah hampir senja. Sedangkan masalah keretanya perlu di tangani segera. Lemah langkahnya menuju ke kereta BMW kelabu, seiring lelaki tersebut . Hujan hanya tinggal rintik-rintik di situ. Lia Hana kaget bila mamat biul membukakan pintu dan menyilakannya  masuk ke dalam kereta mewah itu. Beberapa minit kemudian, kereta bergerak meninggalkan  kawasan bank  tersebut.
                        “Err….Mana rumah Cik ?”
                        “ Taman Saujana, Lorong Hijau, nombor 26”.
                        Okay….Dekat saja tu….Jangan risau”.
           Lembut suara yang keluar.  Telefon bimbit Lia Hana menyanyikan irama shahdu lagi, minta diangkat.  Tanpa berlengah,dia menyelongkar beg besarnya lagi, tetapi kali ini nasibnya agak baik kerana mudah mencari.
            “Assalamualaikum, Faiz….. kenapa ? ….Ya?  Saya ada hal yan tak dapat dielakkan ni……Faiz berhentikan dulu mesin tu, buat pemeriksaan, nanti dalam dua puluh  minit lagi saya sampai buat adjusment……Okay, terimakasih…bye”

            “ Budak dari kilang…..ada masalah sikit”. Tanpa ditanya, Lia Hana memberitahu . Lebih kepada berbahasa sebenarnya, kepada pemilik kereta mewah itu yang merangkap sebagai pemandunya  .  Syed Azeem sekadar mengangguk .

            Sememangnya rumah dia tidak jauh dari situ. Lima minit perjalanan mereka sudah sampai di hadapan rumah. Kala itu, hujan agak lebat juga turun.  Syed Azeem tertoleh-toleh ke bahagian belakang, dan tangannya menarik sesuatu, lalu dia menghulurkan sekaki payung kepada Lia Hana. Lia Hana menerimanya dengan sedikit senyuman. Ikhlas , kerana dia rasa lelaki itu juga sangat ikhlas. Kemudian dia tercari-cari sesuatu di dalam beg tangannya.
            “Kunci rumah ada dalam kereta ke ?”
            Seperti tahu-tahu sahaja Syed Azeem bertanya.  Lia Hana mengangguk lemah. Sedikit keluhan kecil terlepas oleh si gadis.  Kecewa sangat bila memandang rumahnya. Kemudian wajahnya bertukar ceria bila lampu ruang tamu rumah menyala, dan kelihatan kelibat Salina dari pintu cermin gelongsor depan. Wajahnya beralih kepada Syed Azeem, memberikan senyuman yang amat manis. Di ketika itu, anak mata masing-masing terpaku berpandangan , dan ada getar dalam dada . Lia Hana terlebih dahulu mengalah dengan mengalihkan pandangan untuk membuka  pintu .
                        “Err….Saya tunggu , nanti saya hantar ke kereta Cik Hana semula”.
                        “Tak perlulah encik. Menyusahkan encik sahaja. Nanti saya uruskan sendiri. Tolong hantar  ke sinipun seribu rahmat untuk saya. Terima kasih banyak-banyak” Laju Lia Hana berkata untuk menolak.
                        “Tak apa. Tak susah. Hujan ni, lagipun cik nak cepatkan?” Syed Azeem memancing dengan mengingatkan Lia Hana tentang panggilan telefon sebentar tadi. Hendak dengan tidak, gadis itu terpaksa mengangguk tanda bersetuju. Dalam keadaan hujan begini mustahil dia boleh membonceng skuter Salina untuk mengambil keretanya semula.

            Masuk ke dalam rumah, kepoh  Salina mengekorinya untuk bertanya itu ini.  Hairan sangat dia melihat Lia Hana boleh balik ke rumah dengan menumpang kereta mamat biul tersebut. ‘Bila masa pula mereka berbaik dan berkenalan ?Hairan bin ajaib. Kenapa dia boleh tidak tahu ? Desis hatinya.

            “Lina, kau jangan tanya apa-apa. Aku nak cepat . Balik nanti aku cerita dari A sampai Z”. Lia Hana mendahului percakapan kerana naik rimas dengan gelagat dan muka tanda tanya Salina. Dia  dengan pantas meluru ke bilik , membuka laci dokumen, dan mencari-cari sesuatu di dalamnya.  Beberapa minit kemudian dia mengenggam segugus kunci dan dengan tergesa-gesa juga keluar. Lina masih mengekorinya juga hingga ke muka pintu. Wajah berkerut , penuh persoalan yang belum berjawab.
            “ Aku balik lambat , kena pergi kilang lepas ni. Masalah tadi masih belum selesai”.
            “Sampai pukul berapa ?”
            “Entah, mungkin sampai sebelas malam. Aku pergi dulu ya…”. Sambil menjungkit bahu Lia Hana menjawab. Lalu mencapai payung dan menuju ke kereta Syed Azeem yang masih lagi menunggu. Kelihatan dalam samara-samar senja dan rintik hujan, Syed Azeem tidak lansung melepaskan peluang memerhatikan gelagat Lia Hana dan temannya.
            “ Minta maaf, basah kereta encik…”. Lia Hana tersedar, payung yang dibawan masuk ke kereta mengalirkan air hujan ke dalam kereta mewah tersebut.
            “ Tak mengapa. Sudah biasa. Sini  selalu hujan. Saya sentiasa sediakan payung dalam kereta. Tempat yang mudah dicapai”.
            “ Iya. Taiping sememangnya kawasan yang paling banyak hujan di Malaysia. Saya tidak rasa sangat , sehinggalah berpindah  ke sini. ”.
            “ Oohh….Cik  bukan orang sini ke ?”
            “ Orang sini sebenarnya, tetapi baru berpindah balik menetap di sini hampir dua bulan yang lalu  saja. Sebelum ni belajar dan bekerja di KL”
            “Oohh…”
            “ Encik orang sini juga ke?”.
            “ Tak…Tak……Saya dari KL , tetapi dah dua tahun lebih tinggal di sini”.
            Jawab Syed Azeem pantas. Sekejap sahaja , mereka sudah sampai ke tempat di mana kereta Lia Hana diparkir. Lega hati gadis itu kerana keretanya masih ada disitu, bermakna tiada  siapa yang menjumpai kuncinya. Bimbang juga dia tadi, jika kunci itu tidak di bawa air , kemungkinan keretanya boleh dilarikan orang.
            “Err…Encik, apa perlu saya bayar ya, untuk pertolongan ini ? Saya betul-betul menghargainya”. Lia Hana memandang Syed Azeem. Lelaki ini, payah untuk tersenyum. Itu yang difikirkan dalam fikirannya.
            “Hmm….Saya tak minta apa-apa. Pertolongan kecil yang ikhlas”
            “ Janganlah macam tu….Malu saya. Tak kenal encik pun,tapi sehingga boleh membasahkan  kereta ni …ha”.
            “Okay….Kalau Cik Hana rasa terhutang budi, boleh kita bertukar kad nama ?  Dan lain kali jika kita jumpa lagi , tolong panggil saya Azeem. Itu saja, dan kiranya jika cik setuju, bermakna kita saling tidak berhutang “.
            Okay, saya setuju. Walau macammanapun, saya amat berterima kasih pada encik……err  Azeem. Jika bukan dengan pertolongan Azeem, susah juga saya  Err…Boleh panggil saya Lia ataupun Hana, tak perlu bercik…cik ya !”.
            Lembut Lia Hana berkata, sambil tangannya mengeluarkan sekeping kad nama dari dompet duitnya, lalu dihulurkan  kepada lelaki itu. Mereka sudah bertukar kad nama masing-masing.
            “Sama-sama Hana…. Hmm sedap nama tu”. Ulas Syed Azeem bersahaja.
            “Saya keluar dulu ya…”
            Okay….Hati-hati. Hari dah nak gelap ni”.
            “Terima kasih”
           
            Syed Azeem menunggu sehingga kereta Lia Hana bergerak. Gadis itu membunyikan hon perlahan dan mengangkat tangan  tanda terimakasih sekali lagi kepadanya, sebelum memecut laju menuju ke destinasinya. Di dalam hati Syed Azeem ada bunga-bunga bahagia yang selama ini tidak pernah dialaminya sejak dua tahun lebih yang lalu. Tanda-tanda keriangan telah kembali beraja dalam jiwa. Betapa kuatnya tarikan seorang wanita. Tetapi cuma dari wanita yang istimewa, tidak semuanya sama….

     p/s : Citer ni sekadar suka2, Umie tak ada niat untuk memanjangkannya ke versi cetak ...sekadar syer citer lama Umie. Istimewanya  , citer ni banyak sentimental value  pada diri sendiri...back grouund pun banyak di Taiping kan...dan basicly citer ini berdasarkan kisah benar yang Umie cuba olahkan (sebab tu tak menarik sangat- umie tak pandai untuk jadikan kisah benar attractive- kalau imaginasi , lebih berkesan...), Enjoy semua...

Thursday, September 13, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 3




Taiping Golf Resort : Restoran dalam bab ini di sebelah kolam renang tu...promo sikit. Kalau nak tau TGR ni opposite jer dengan rumah Umie.


                  “SHARIFAH Zalia ? Heh!  Aku tak boleh nak bayangkan muka keliru mamat tulah Lia”.
                Salina masih terkekeh-kekeh ketawa bila mengingatkan pemuda yang yang menganggu Lia Hana. Walaupun sudah hampir seminggu lebih berlalu, bila terkenangkan peristiwa itu , dia akan mengusik-ngusik rakannya .
                            “Amboi..amboi, tak habis –habis lagi gelihati engkau tu ya! Kena batang hidung sendiri baru tau! Aku sampai tak jadi nak balik kampong malam tu. Dah itu terpaksa ambil cuti esoknya, mengenangkan mak aku yang tak berapa sihat . Semua pasal takut si biul tulah!”.
                        “Alah....engkau yang perasan sendiri. Habis tu, dah dekat dua minggu berlalu, tak nampakpun orangnya yang kacau ? Engkau tu yang takut lebih-lebih. Hee....tak kuasa aku … perempuan perasan !”.
                        “Iya...lah Lina. Aku mengaku sajalah yang aku ni perasan. Puas hati?  Kau ni dari tadi melepak , tak solat Maghrib ke ?”
                        “Aku bendera merahlah!. Ehh... Lia, Aku berkenan betullah dengan  si mamat biul tu! Dalam keliru-keliru dia, tetap macho tau! Terbayang-bayang lagi wajah dia yang tampan tu. Cair hati aku 
                      “Ya ampunnn….perempuan nii...tak habis-habis lagi ke ? Agaknya, engkau  dah kena minyak senyonyong lelaki tu tak ? Asyik teringat-ingat, kemudian tersenyum-senyum sorang-sorang”. Tempelak Lia Hana dengan niat mengusik. Namun perhatiannya kemudian beralih kepada telefon bimbitnya yang mengalunkan muzik sentimental menandakan ada pesanan ringkas.
                          “Haa...pakwe..lah tu !”
                          “Banyaklah pakwe  aku Lina”
                       “Bukan pak we, yang bertenet tiap malam tu apa? Jangan pula kau cakap  perempuan, kalau  nama samarannya pun dah abang ?”.
           “Engkau ni....dari kecil berkawan, masih tak kenal aku ya ?  Ini ..... Wanee...ha.  Engkau ingat  tak budak  Wanee yang buat latihan praktikal tempat kita tahun lepas ?
             “Huh...Budak kurus melenking tu ? Takkan aku tak ingat !”.
                     “ Mulut engkau nii...... ada-ada saja.  Wanee tu dah habis belajar. Dah dapat kerja  di kawasan perindustrian tempat kilang kita juga Alhamdulillah, rezeki dia. Baru je keluar universiti,  terus dapat kerja. Kalau tak kesian juga, adik-adik  ramai nak tanggung . Bapa dia pula asyik buat perangai saja.”.
                       “ Baguslah ! Tapi engkaupun banyak rekomenkan diakan ? Kalau ada kekosongan di tempat kita, mahu engkau seret dia kerja bawah engkau  kan ? Dia dah kerja kawasan ni , seronoklah engkau. Ada kawan pusing Taman Tasek tu”.
                        “ Ehh....Lina, bukan setakat Taman Tasek saja aku nak pusing, Bukit Larut tu pun aku  dah lama nak naik tau! Harap engkau teman,  berlari  atas tilam ajelah jawabnya. Dah sebulan lebih aku pindah sini, tak teringinpun engkau nak temankan. Nak pergi seorang aku takut lagi. Tapi kalau aku dah biasa nanti, seorangpun aku redah ”.
                        “ Aku kalau pasal riadah ni, kau jangan ajaklah . Elergik!.  Tapi kalau bab makan tak apa. Kau jangan lupa ajak. Bila-bilapun aku tak tolak”. Salina berdalih sambil tersengih-sengih . Lia Hana mencebik . Dah  tahu daaah…
                        “ Eh Lina, sebut pasal makan ni, baru aku teringat, aku ada jemputan makan tengahari dengan pelanggan dari Indonesia tu. Mr Calvin yang minta  aku wakilkan dia sebab dia kena pergi ke Kuala Lumpur. Kau temankan aku ek ?”
                        “Mana ?” Girang  muka Salina  menerima pelawaan .
                        “ Dekat je .....Taiping Golf Resort tu aje , boleh ek ? Nanti aku minta kebenaran dari bos kau, takut selesai lambat sikit ”
                        Okaylah tu. Kau tahu jawapan aku kan ? Takkan tolak kalau bab makan ni”.
                        “ Iyalah.....tengok badanlah...ya ?”.
                        “ Lia....Kalau pasal bab badan kau jangan sentuh. Isu sensetif!”
                        Okay...okay...Janji aku tak sebut lagi. Biarlah engkau makin membesar dan terus membesar. Tapi  engkau makin montel makin comel  dan berseri pula aku nampak !”
                        Sebiji bantal  kusyen corak hitam putih   mendarat ke  badan Lia Hana. Dia membalas balik perbuatan Salina dengan pukulan bertalu menggunakan  bantal yang sama sebanyak tiga kali, pantas masuk ke bilik untuk membuat aktiviti  alam mayanya.
                       
**********
                        SALINA menguis-nguis kaki Lia Hana  di bawah meja, dan  memberikan isyarat mata supaya memandang ke arah meja di sudut yang agak terceruk di hadapan mereka . Namun segala isyarat  yang cuba disampaikan itu seperti sia-sia belaka kerana teman karibnya itu amat khusyuk melayan  bual pelanggan yang diamanahkan oleh  Mr Calvin Choo,  Pengarah Unit Kawalan Kualiti dan Perkembangan Produk merangkap bos baginya.
             Lia Hana begitu tekun mendengar dan memberi pendapat jika perlu. Kiranya jamuan makan tengahari ini adalah salah satu agenda perniagaan, bukan untuk bersuka-suka. Sebab itulah dia memberi seratus peratus tumpuan kepada pelanggannya. Di samping dia dan Salina, yang hadir bersama ialah Pengurus bahagian Jualan Mr Vincent dan Pengurus Perkembangan Produk Mr Leong. Tetamu perniagaaan dari syarikat gergasi Indonesia itu pula dua orang, menjadikan penuh satu meja makan untuk enam orang.  Salina dibenarkan datang di  atas alasan untuk merekod agenda yang perlu,  menggantikan setiausaha Mr Calvin.  Oleh kerana agenda  perbincangan pihak pengurusan ini tidak difahaminya, maka dia mengambil kesempatan untuk menharapkan butir-butir dari Lia Hana kemudian nanti, dan sekarang hanya mahu menikmati makanan yang lazat di  samping menjamu mata.
                       
            Bengang kerana tiada sebarang tindak balas dari teman sebelah, Salina melayan mata dan perasaannya sendiri sendiri  dengan memerhati kelakuan lelaki tersebut. ‘Tampan dan nampak bergaya…Jikalah aku dapat, alangkah  bertuahnya. Cara dia makan, cara dia pegang sudu dan garpu, cara menyedut minuman,  huh….Macam orang  kelas atasan! Agaknyalah! sebab aku mana pernah tengok betul- betul.  Dalam drama melayu banyaklah , macam  lelaki dihadapan inilah, caranya. Agaknya  dia ini bukan orang sini. Nampak lain benar gayanya. Baju kemejanya nampak kemas, kelihatan dari yang berjenama. Makanpun di hotel, seorang diri pula tu. Tapi betullah, tak nampak macam orang  jahat pun? Apasal  si Lia ni takut sangat..ha. Ahh! Dia tu memang penakut sebenarnya, walaupun gayanya penuh keyakinanan. Sikit-sikit takut. Tak padan dengan pangkat dan muka lawa….. Panjang dia bermonolog di dalam hati.
                        Tiba-tiba peha Salina terasa sakit .  Jari jemari runcing Lia Hana telah menjalankan tugas denagan baik sekali bagi menyedarkan si gadis yang jauh belayar entah ke benua mana.
                        “ Dah sampai ke mana kau berangan ni ?”. Lia Hana berbisik,  Salina tersengih-sengih  bila tersedar. Tetamu Indonesia sudah minta diri  untuk  pergi bersama Mr Vincent dan Mr Leong. Mereka datang dengan satu kereta, sementara Lia Hana menggunakan keretanya sendiri.
                        “Engkau ni Lina, tak boleh di bawa ke majlis!”. Lia Hana merungut dengan suara perlahan. Salina   tersengih-sengih, menyedari kesalahan diri sendiri. Kemudian matanya membulat seperti terkejut. Sambil mencuit bahu Lia Hana , matanya menghalakan kepada lelaki yang menarik perhatiannya sejak tadi.
                        Lelaki tersebut yang telah selesai menghabiskan makanan ,menyisip baki minuman,  kemudian mengelap mulupnya dengan tisu , dengan tiba-tiba juga  memandang   ke arah mereka. Matanya tertancap kepada Lia Hana. Kedua-duanya seperti tergamam. Saling berpandangan lama.
                         “Hhmm...ehhmm....Lia, kau dah terpikat ke ? Itulah, lain kali jangan kata aku kena minyak senyonyong. Engkau pun sama ”. Salina berbisik memulangkan paku buah keras.
                          Miss Hana.....Miss Hana, Thanks God  you  masih ada disini. You balik terus ke pejabat kan ? Boleh you beri dokumen ni kepada Madam Tang ? We all berempat  nak terus  pergi ke kilang  pembekal  di Bagan”. Mr Leong  yang tiba-tiba  datang semula seperti sedikit terjeritkan  nama Lia Hana  untuk  meminta pertolongan.
                        Okay Mr Leong, tiada masalah”.  Lia Hana mengangguk serta  membalas kata dengan senyuman, lalu tangan mencapai beberapa buah fail plastik yang mengandungi dokumen di dalamnya, yang dihulurkan oleh lelaki cina awal empat puluhan itu. Namun  dalam masa yang sama,  sempat juga dia terperasankan pandangan tajam lelaki  tadi, yang perlahan  berlalu di hadapan mereka
                         “Lina , dah pergi mamat tadi ? Sengaja dia memastikan  lagi.
            “Dah....Kenapa? Dah rindu?”
            Lia Hana hanya menjeling tajam, tanda memprotes usikan kawannya.  . Dia  memulakan langkah untuk  ke parkir kereta, bilamana Salina merengek-rengek meminta untuk ditunggu, kerana dia terpaksa ke bilik air ,  tak boleh tahan-tahan lagi.
                        “ Kamu ni Lina, selalu tak menyempat-nyempat. Bukan jauhpun pejabat kita dari sini.  Beberapa minit sahaja. Tu..pun tak boleh tahan. Aku tunggu dalam keretalah. Boleh buka penghawa dingin dulu”.
                        Salina  tersengih-sengih mengangguk,  laju menghala ke tandas yang terletak  agak jauh dari situ. Lia Hana juga laju mengatur langkah ke keretanya . Masuk ke dalam kereta, terus mengunci pintu, menghidupkan enjin , memusing punat pengawal penghawa dingin ke tahap hampir  maksima, lalu membuka sedikit cermin kereta bagi mengeluarkan hawa panas yang terperangkap di dalam kereta.  Tanpa disedarinya, selang sebuah kereta , ada  sepasang mata yang sedang memerhati .
                        Apalah perempuan ni buat dalam bilik air tu. Lambat benar. Rungut Lia Hana dalam hati. Hajatnya hendak sampai cepat ke pejabat kerana ada banyak kerja tertunggak yang perlu dibereskan. Laporan bulanan bagi jabatannya perlu disiapkan  pada hari ini juga, sebelum habis waktu pejabat. Hatinya lega bila terpandang kelibat Salina yang  terkocoh-kocoh menuju ke arah keretanya.
                        “Engkau keluarkan semua yang engkau makan tadi ke ? Buat rugi aje . Aku tunggu berzaman tau !” Lia Hana mengusik .
                        “Alaah.....Sekali-sekali engkau berkorban untuk aku apa salahnya. Lain kali aku bayarlah budi kau tu Lia”. Selamba sahaja jawapan Salina. Sememangnya persahabatan mereka sentiasa ada senda gurau dan sindir menyindir, tetapi tidak pernah mereka terasa hati . 
                        “ Ehh....Lina, aku rasa mamat tadi ikut kereta kitalah. Dulu kau nampak kereta dia BMW warna kelabu kan ?”. Lia Hana acap kali memandang kepada cermin pandang belakang keretanya. Cemas   hatinya juga  apabila didapati kereta di belakang itu mengikut sahaja ke mana keretanya pergi. Salina juga menoleh ke belakang untuk memastikan .
                        “A’a....lah, Lia. Kereta warna itulah yang mamat biul tu bersandar hari tu. Isshh...rupa pemandunya lebih kuranglah. Betul...lah itu dia”.
                        “Apa kita nak buat ni Lina ?  Aku rasa tak sedap hatilah!”
                        “Hissh....Kamu ni Lia. Tenanglah! Suka gelabah tak tentu pasal. Dia bukan buat apapun. Cuma menggunakan jalan yang sama dengan yang kau guna. Itupun nak takut sangat”.
                        “ Iyalah.....jalan ni semua kereta boleh guna, tapi takkanlah jalan terpencil untuk ke kilang kita pun, dia guna juga. Ini untuk orang-orang kerja kilang macam kita je tau!”.
                        “ A’aa....lah Lia. Habislah engkau kali ni, dia dah tahu tempat kerja . Esok-esok boleh tunggu kat luar pagar masa kau balik. Nanti-nanti , aku tak boleh menumpang kau lagi. Nampak gayanya kenalah naik skuter balik”.
                        “ Engkau ni.....Aku serius , engkau nak buat lawak pula!”.
                        “Dah tu, engkau ni penakut sangat. Biarlah dia ikut . Sekurang-kurangnya,  bagi peluang pada orang kaya pikat kau “.
                        Salina menoleh ke belakang lagi untuk melihat kereta yang mengekori mereka. Ketika itu mereka sudah menghampiri premis kilang , tempat mereka bekerja.
                        “Ehh....Lia, cuba kau tengok dia dah bagi signal ke kananlah”.
            Lia Hana cepat-cepat mengalih mata ke cermin, dan  melihat kereta mewah itu membelok kanan, masuk ke pintu kilang perabot ‘World Furniture Corporation’, yang terletak bertentangan dengan kilang mereka.   Dan dia juga tidak lupa untuk memberikan signal membelok ke kiri.
            Sejenak Salina terdiam. Bagai tidak percaya dengan apa yang dilihat. Sebentar kemudian  ketawa besarnya meletus, sehingga dia menekan-nekan perut dan  berair mata.
            “Sudah-sudahlah gelak tu Lina. Berpada-padalah sikit. Dah banyak angin yang masuk ke badan kau”.
            “ Ambik kau, perasan!. Kan aku dah cakap, dia guna jalan yang sama, kau tak percaya. Perasanlah yang dia nak mengekor  kau yang cantik manis, ada lesung pipit ni”.
            “ Iyalah., iyalah ...aku cuma berhati-hati saja. Manalah tahu.....”.
            Salina tidak habis-habis lagi dengan rasa lucu di hatinya. Ketawanya masih bersisa. Naik bengang Lia Hana jadinya Dia bagi jelingan tajam ,sementara tangan pantas mematikan enjin kereta yang telah siap dipakir di petak khas untuknya. Tapi mujur juga lelaki tadi sejalan dengannya,  sekurang-kuarangnya rasa takut tadi telah hilang. Jika tidak mahu tidak boleh tidur malam nanti. Biar pecah perut Salina mentertawakannya tidak mengapa, asalkan dia rasa dirinya selamat dan jauh dari gangguan gangguan seperti ini. Itulah yang ada difikirannya saat ini. Rasa lega dan bersyukur sangat, walaupun kelihatan agak lucu apabila diingat.

***********

                        SYED Azeem seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat dan didengarnya waktu tengahari tadi. Di dalam hati masih menyatakan bahawa gadis yang ditenung tajam itu adalah Sharifah Zalia. Terasa berdesing telinganya apabila  terdengar seorang  lelaki cina menjerit nama  si gadis ‘Miss Hana....Miss Hana’. Bererti sangkaannya selama ini seratus peratus salah. Mungkin dia yang berilusi. Dua minggu lepas, gadis itu telahpun mengatakan bahawa namanya adalah ‘Lia Hana’, tetapi dia masih tidak dapat menerima kenyataan, walaupun ada sedikit kegusaran di hati. Terpandang sahaja wajah gadis tersebut, dia menjadi yakin semula bahawa itu adalah Zalianya .       
           
                        Tidak mengapalah jika gadis tersebut bukan Zalia yang telah meracuni hatinya itu. Tetapi  entah kenapa dia  terasa amat tertarik dengan figura gadis tersebut. Dan auranya sungguh menakjubkan  .Seakan memberi semangat yang berbeza padanya. Ini adalah kali kedua secara tidak sengaja dia telah terserempak dengan gadis ajaib ini. Entah apalah rahsia Tuhan apabila mempertemukan dia pada kali kedua . Malah tempat kerja si diapun  dapat diketahui dengan mudahnya. Tidak jauh!. Amat tidak jauh! Di hadapan pejabat dan kilang miliknya  sahaja. 

                        Semenjak pertemuan pertama  yang penuh salah sangka tempoh hari, dia selalu berdoa semoga ada pertemuan lagi. Dan sebentar tadi, telah menjadi kenyataan!  Segala persoalan di mindanya sedikit sebanyak telah terjawab. Malah, sepanjang dua tahun dia berada di sini, dia tidak pernah hilang fokus terhadap kerja, kecuali ketika ini, dengan kehadiran figura yang penuh tanda tanya itu. Dan di hatinya,  dia amat mengharap semoga ada lagi pertemuan yang ketiga dan seterusnya.......


P/S : Skema kan bahasa? Harus gitu sebab ianya ditulis sebelum UATN lagi, sebab selepas tu baru Umie belajar2 cara menulis gaya santai2. Apa-apapun ...layaaannz je la eik, sekadar hiburan...