Umie Nadzimah Layan Blog

Umie Nadzimah Layan Blog

Sunday, November 18, 2012

Tidak Pernah Sesal , Bab 10



MATA Tengku Adurah  sudah lama dihalakan kepada akuarium ikan  di ruang rehat keluarga.  Akuarium  yang memuatkan seekor ikan kelisa yang sudah menjejaki alam dewasa. Seingatnya, sudah hampir enam tahun ikan ini berada di situ. Menurut suaminya, harga ikan itu sekarang mencecah Ringgit Malaysia dua puluh ribu. Ikan itu di beli dengan harga Ringgit Malaysia dua ribu . Sewaktu itu ianya masih kecil . Masih anak ikan sebesar ibu jari lagi. Jika dipasangkan , kemungkinan boleh membiakkan anak yang banyak. Itu yang selalu dia katakana pada suaminya,  tetapi hanya diketawakan sahaja. Menurut suaminya, agak susah spesies ini membiak jika tidak mempunyai persekitaran yang sesuai. Ikan ini mudah  hidup dan membesar tetapi tidak mudah untuk mengembangkan zuriatnya. Macam-macam...begitu pula.

                        “Berbeza cantik ke ikan itu hari ini Ku Durah ? Dari tadi walid tengok tak berkedip mata ? Ke ada perkara lain di kepala tu?”.
                        Tengku Adurah berpaling kepada suaminya. Entah bila agaknya suaminya itu memerhati. Dia tidak perasan. Tenggelam dengan menungan yang panjang. Secebis senyuman tawar diberikan, diikuti satu keluhan kecil, perlahan.
                        “ Kenapa ? Seperti berat sahaja  di kepala tu?”
                        “Azeem......walid “
                        “ Kenapa dengan bujang tu ? Bukankah dia dah okey sangat  sekarang? Dah boleh balik ke sini pun. Bermakna dia dah tak apa-apa lagi”.
                        “Bonda risaulah.....Kenapa tiba-tiba sahaja dia berubah?”.
                        “Dah tiba masanyalah...tu. Takkan selama-lamanya dia nak menyepi Ku Durah. Dia tu lelaki. Tak perlu sangat nak bawa hati lama-lama. Patutnya Ku Durah gembira dengan perubahan ni”.
                        “ Bukan macam tu walid. Bonda memang gembira sangat Azeem dah balik sini. Tapi hati  rasa seperti ada sesuatu aje. Zeera ada bagi tahu  dia ternampak gambar  terbaru Sharifah Zalia dalam telefon abangnya. Dia orang berkawan balik ke walid?”
                        Mengecil mata Syed Awaludin memandang isterinya. Terkejut juga dia mendengar perkembangan terbaru ini. Syed Azeem sudah berkawan semula dengan Sharifah Zalia ?  Biar benar ? Tetapi jika betulpun, dialah orang paling bertuah. Tidak bersusah-susah memujuk  Azeem untuk menerima Zalia semula. Telahannya selama ini, Azeem telah berputus asa separuh nyawa terhadap Zalia.   Baguslah mereka sudah berbaik semula dengan sendirinya. Zalia telahpun berpisah dengan suaminya setahun yang lalu.
                        “Tak tahu pula walid dia orang dah berhubung semula.  Selalu juga  walid jumpa Syed Nafi, tapi tak ada pun dia menyebut”.
                        “ Ini yang bonda risaukan Takut Azeem tu kecewa lagi. Dengar-dengar, Zalia tu makin hebat selepas kembali solo”.
                        “ Hish....Ku Durah, eloklah kalau mereka baik semula. Sepatutnyalah jodoh mereka. Dulu tu mungkin sebab masanya belum tiba. Memang dia orang berdua tu sesuai sangat. Sekufu. Ada nama dan kedudukan. Kalau betulpun, walid ni orang yang paling gembira. Tak ada apa yang perlu dirisau-risaukan Ku Durah. Lagi pun Azeem tu a big boy. Dia pandai menentukan hidup ikut kehendak dan kedudukan kita. Dah...lah tuu, tak perlu risau-risaulah!!”.

                        Tengku Adurah diam. Tahu dia tidak akan mendapat apa-apa sokongan jika berkenaan Sharifah Zalia. Syed Awaludin begitu taksub untuk bermenantukan gadis itu. Walaupun orangnya bukan gadis lagi. Walaupun dia telah membuatkan hati anak lelaki tunggalnya hampir mati. 
            Tidak guna dia berkongsi kerisauan hati bersama suaminya. Tidak akan pernah selari pemikiran mereka jika berkaitan perkara  yang satu ini. Namun, kuasa vito terletak pada suaminya. Dia tiada kuasa membantah. Sebab tidak pernah menang dan tidak akan berpeluang untuk menang. Sungguh dia kesian kepada Syed Azeem selama ini. Tidak mempunyai peluang untuk menentukan pasangan hidupnya sendiri. Sebenarnya boleh direstui, tetapi dengan syarat-syarat tertentu yang perlu ada pada gadis pilihannya.
            Bagi Tengku Adurah, dia tidak pernah memikirkan tentang darjat, kedudukan nama dan harta bagi calon menantu. Cukup sekadar gadis itu mempunyai budi pekerti mulia dan taat perintah ugama. Yang lain-lain itu hanyalah bonus jika dimiliki. Tetapi itu cuma syarat dia, bukan suaminya. Calon menantu suaminya mesti memnuhi segala kriteria yang dia tetapkan.
            Tengku Adurah cuma memikirkan kebahagian Syed Azeem. Dia tidak mahu lagi melihat anaknya menderita, sebagaimana yang dilalui pada tahun –tahun terakhir ini setelah dikecewakan Zalia.  Anaknya hanya boleh tersenyum semula hanya beberapa bulan kebelakangan ini.
                        Dia bersyukur melihat perubahan pada wajah Syed Azeem sekarang ini. Perkembangan yang tidak disangka-sangka akan berlaku. Puas dia memanjatkan doa sejak beberapa tahun . Anaknya telah beransur ceria. Bibirnya mula kerap mempamerkan senyum. Cakap pun lebih ramah. Syed Azeem telah hampir kepada  cirri dirinya yang asal. Namun, ada juga cirri-ciri tambahan yang baru. Ciri yang lebih positif tentunya. Mungkin juga anaknya telah meningkat dewasa dan perlu ada perubahan tertentu. Ke arah yang lebih baik.
                   

                      Walaupun Syed Azeem telah berubah, hati ibunya masih ada sedikit kegusaran.  Ditakuti perubahan ini akan berakhir kekecewaan juga. Kenapa mesti Sharifah Zalia juga yang dipilih Azeem ?. Tidak ada anak Pak Syed lain kah di Malaysia ini? Jika tidak ada di Malaysia pun, negara Arab masih ramai. Saudara mara mereka masih ramai di sana. Saudara mara yang berdarah di raja pun ada. Tidak kurang cantik dan menarik semuanya. Malah berharta juga.  Kenapa Zalia juga yang dipuja-puja ? Hebat sangat ke anak Syed Hanafi itu ? Sehingga Syed Azeem tidak dapat berpaling pada perempuan lain. Sudah dikecewakan, tetapi masih boleh berpatah balik.  Runsing hati Tengku Adurah memikirkan.

                        Kata orang, menjaga anak perempuan payah. Rupanya, anak lelakipun serupa . Juga membuat hati libang libu memikirkan kehidupan mereka. Ataupun dia yang berlebih-lebihan , berbanding dengan ibu-ibu lain ?. Apa-apapun, yang diinginkan adalah yang terbaik untuk anaknya. Tidak mahu dia melihat anaknya menderita dan sengsara. Cukup-cukuplah apa yang telah dilalui. Bukan sekadar Syed Azeem yang menderita, tetapi diapun terasa sakitnya, bila melihat keadaan darah daging sendiri dalam kekecewaan. 

                        Syed Awaludin , tidak habis-habis dengan nama dan kedudukannya. Dulu anak perempuan sulungnya juga begitu. Kahwin dengan  pilihan keluarga. Nasib mereka memang baik, memiliki anak –anak yang tidak membantah. Ikut sahaja kemahuan walidnya. Sharifah Azeeta, dengan ikhlas berkahwin dengan Tengku Badri, pilihan Syed Awaludin. Cukup lima tahun, dia dimadukan. Akhirnya berpisah , tanpa sebarang zuriat.  Jerih hati Tengku Adurah bila memikirkan nasib anak-anaknya. Seperti tidak mempunyai perasaan di buat oleh walid mereka. Lega juga Azeeta seorang yang periang dan ‘happy go lucky’, tidak terlalu tertekan sangat dengan masalah rumahtangganya yang tidak menjadi itu.
                        Namun, sekuat-kuat jiwa Azeeta, tidak juga mahu pulang ke Malaysia setelah diceraikan. Dia terus menetap di kota London. Walaupun selalu di pujuk rayu  bonda, tetapi hatinya masih belum terbuka lagi untuk kembali ke tanah air. Nanti dululah bonda. Itu jawapan yang selalu diberikan .Bermakna dia akan pulang juga suatu hari nanti. Itulah harapan Tengku Adurah.
                        Kadang-kadang Tengku Adurah rasa amat tertekan dengan sikap suaminya itu. Tidakkah dia ingin mengambil pengajaran dari pengalaman Azeeta ? Kasihan anak-anaknya, terpaksa menanggung risiko kerana prinsip Syed Awaludin. Azeeta telah merasa pahitnya berkeluarga dengan pilihan walidnya. Azeem juga tidak kurang menanggung kecewa. Tidakkah suaminya  merasa belas ? Pedihnya hati seorang ibu memikirkan.......

                        Kepulangan Azeem dua minggu lepas, amat mengejutkan Tengku Adurah. Bagai tidak percaya apabila anaknya muncul dihadapan pintu dengan senyuman yang cukup manis. Sungguh dia tertanya-tanya apa yang membuatkan Azeem telah berubah . Adakah masa atau ada pengganti baru ?
                        Walaupun persoalannya terjawab dengan penemuan secara tidak sengaja Sharifah Azeera, sebahagian besar naluri ibunya menyatakan ianya mungkin tidak berlaku. Sikap Azeem jauh berbeza sewaktu dia bersama Zalia dahulu. Masa dahulu, dia tidak lekat di rumah, asyik keluar menemani Zalia ke hulu ke hilir, selain daripada waktu bekerjanya. Tidak seperti sekarang, tiga hari balik ke Kuala Lumpur, dia tidak ke mana-mana, hanya leka dengan komputer riba dan telefon bimbitnya sahaja. Namun itupun cukup membuatkan anaknya tersenyum-senyum sendirian.
                        Jika dia bersama Sharifah Zalia semula, sudah tentu masa di Kuala Lumpur ini tidak disia-siakan untuk bersama-sama gadis tersebut. Mesti dia akan sibuk keluar dan tidak memerap di rumah sahaja. Ahh...Tak mungkin Azeem bersama dengan Zalia semula. Dan itulah harapannya. Kepada Tuhan, dia tidak pernah lupa memohon yang terbaik untuk anak-anak yang dilahirkannya.



                        LIA HANA terasa seperti ada yang tidak kena dengan  pandangan emaknya. Mesti ada perbuatannya yang tidak disenangi dan perlu ditegur.  Biasanya begitulah! Jika dia ada melakukan kesalahan, dia dapat membaca dari mata emaknya. Tanda-tanda yang dia akan di tegur secara lisan pula nanti. Maka bersedialah hati dan perasaan!
                        “ Lia sekarang ni banyak kerja sangat ke?”
                        “Macam biasa mak. Sibuklah juga, kenapa ? Rasa Lia jarang balik rumah ya?”
                        “ Emak bukannya apa Lia. Kadang-kadang tu rasa tak sedap hati kalau Lia tak sekerap dulu balik. Takut ada perubahan pada Lia tapi mak dengan abang Naim tak tahu. Ada  apa-apa ke Lia nak bagi tahu mak ?”
                        “ Eh...Emak ni, Lia macam biasa saja. Tak ada apa-apa yang berbeza. Emak rasa Lia ada sorokkan sesuatu ke ?”
                        “ Entahlah. Seperti  ada . Cikgu Rashid ada  bagi tahu abang Naim , dia ada ternampak Lia  makan dengan seorang lelaki di  restoran. Lain macam sangat katanya. Teman lelaki Lia ke ? Kenapa mak tak tahu dari Lia sendiri ?”.
                        “ Tak adalah mak. Mungkin kawan Lia  atau kawan kilang. Sungguh , Lia tak ada teman lelaki istimewa”.
                        “Selalunya, Lia keluar ramai-ramai , jika ada lelaki. Tapi kali  ini berdua sahaja. Macam-macamlah cikgu Rashid tu cerita.  Emak tak sedap hati. Siapa dia Lia. Boleh kenalkan dengan mak ?”.
                       Lia Hana sedikit getar. Nak kenalkan sebagai apa? Sungguh , dia dengan Azeem sekadar kawan biasa. Tapi kenapa mesra ? Itu yang menjadi tanda tanya. Sehingga menimbulkan syak wasangka atau fitnah pada orang yang memandang. Selama ini dia tidak perasan. Niatnya ikhlas.  Berkawan. Sebab dia selesa berinteraksi dengan Azeem.
                        “Lia...Kenapa diam?”
                        “Err....Mak, mungkin yang cikgu Rashid nampak tu, nama dia Azeem. Memang Lia ada keluar berdua dengan dia. Tapi kami sekadar kawan mak. Tak lebih dari itu.  Dia orang KL, kerja di sini. Jadi tidak ada kawan sangat. Sebab tu Lia ada keluar dengan dia. Tapi ke tempat-tempat orang ramai mak”.
                        “Hmm...Maknanya memang betullah cerita cikgu Rashid tu.  Mak nak ingatkan, hati-hati Lia. Anak mak bukan budak lagi. Dah patut jadi ibu orang. Keluar berdua-dua macam tu boleh menimbulkan banyak fitnah. Bukan muhrim lelaki perempuan, berdua, yang ketiganya adalah syaitan nak. Macam-macam boleh berlaku. Lia sendiri dah tengok akibat-akibat jika kita tidak menjaga pergaulan ini”.
                        “ InsyaAllah, Lia ingat mak. Lia akan  lebih hati-hati selepas ini. Maafkan Lia ya ?”
                        “ Yelaaah.....Mak percaya kat anak dara mak. Cuma kadang-kadang tu takut lalai. Masa tulah syaitan datang cucuk-cucuk. Tapi jika Lia serius dengan budak tu, cepat-cepat kenalkan pada mak dan Abang Naim. Biar kami tengok, boleh tak jaga anak mak yang nakal ni”.
                        “ Lia tak ada apa-apalah mak dengan dia. Cuma kawan. Nanti Lia ajak dia datang rumah kita. Dia orang bandar, tentu suka tengok suasana kampong macam ni. . Kalau dah kenal nanti, mak taklah susah hati sangat kan ?”
                        “Tahu pun mak susah hati ....”
                       “ Maafkan Lia mak. Mungkin kadang-kadang Lia tak sedar Lia sudah buat kesilapan di mata orang. Apa yang mak fikir sampai nak susah-susah hati, lepas tu darah pun naik tinggi ?”.

                        Makcik Jamalia mengeluh perlahan. Umpama berat sangat apa yang ditanggung dalam dada. Sememangnya berat baginya untuk menyatakan yang sebenar kepada anak gadis manja ini.  Walaupun dia dikurniakan Tuhan dengan ketabahan menempuh segala onak dan duri kehidupan, tapi bagi permasalahan yang satu ini amat payah untuk dia hadapi. Kerana ianya melibatkan perasaan seorang gadis yang teramat dikasihinya sedari  kecil lagi, Dilema inilah yang menghantui perasaannya sejak akhir-akhir ini, menyebabkan tahap kesihatannya turut menurun. Dan dia merasa terlalu lemah....

                        Lia Hana tahu ada perkara yang bermain di kepala emaknya tika ini. Sesuatu yang susah untuk dikeluarkan. Tidak mengapa emak, jika tidak  sudi berkongsi dengan Lia.  Asalkan hati emak bahagia dan damai. Lia Hana hanya inginkan kegembiraan buat emaknya. Dia bertekad untuk menjadi anak yang lebih baik dari semalam. Segala-galanya dia sanggup lakukan demi menjaga hati wanita di hadapannya ini. Lia berjanji pada dirinya untuk tidak membuatkan emaknya bersusah hati lagi. Dia ingin menjadi anak yang baik. Juga sebagai seorang wanita yang baik. Yang menjaga maruah dan kehormatan keluarga.

Sunday, November 4, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 9



SYED Azeem tidak pernah menyangka hubungannya dengan Lia Hana boleh menjadi semakin rapat. Betul sebagaimana yang dirasai selama ini. Gadis itu memang istimewa sekali. Selalu bersamanya, membuatkan pandangannya terhadap  cara kehidupan pun turut berubah. Lia Hana , seorang gadis yang cukup sederhana. Serba serbi sederhana. Penampilan, cara hidup, cara bergaul, semuanya  biasa-biasa sahaja, tetapi cukup sempurna pada pandangannya. Tiada yang janggal atau  berpura-pura. Gadis ini  sentiasa menjadi dirinya sendiri. Dimatanya. ‘Natural beauty’ dalam segala aspek.
                        Berbanding dengan Sharifah Zalia, teramat besar jurang diantara mereka berdua. Walaupun fizikal mereka sangat seiras.Segala-galanya serupa. Cuma rambut sahaja yang  tidak dapat bandingkan kerana Lia Hana sentiasa bertudung apabila mereka bertemu. Sedangkan Zalia suka mendedahkan mahkota wanitanya. Hanya sesekali sahaja bertudung. Itupun apabila bertemu dengan bondanya,  sekadar mengambil hati. Lain masa , jangan harap!. Bebas dengan rambut yang  sentiasa berubah-ubah fesyen dan warna.
            Dahulu, dia memang suka gadis seperti Zalia. Moden, cantik, up-to-date, rangi,  manja, seksi, dan berbagai elemen lagilah, yang tujuannaya hanyalah satu, mengoda nafsu lelaki. Disitulah kekuatan Zalia, sehingga dapat mengikat hatinya supaya tidak memandang perempuan lain. Namun,  akhirnya kesetiaan dia pada gadis tersebut dibalas dengan tuba yang yang sungguh berbisa. Amat  menyakitkan!
            Tidak dinafikan, pada mulanya dia sedikit was-was dengan kemunculan Lia Hana. Ditakuti wajah yang serupa itu , sekali lagi akan menyakiti perasaannya. Namun aura gadis ini sungguh kuat. Entah bagaimana, dia begitu berkeinginan untuk mendekatinya.  Dari sehari ke sehari, dia tidak dapat mencari persamaan lansung  antara gadis sejarahnya dengan gadis sekarang ini. Mereka amat berbeza, walau hakikatnya sama paras rupa. Sehingga Syed Azeem tidak pernah lansung mengingati Zalia, apabila bersama Lia Hana.

                        Bersama Lia Hana, hatinya sentiasa selesa. Ketawanyapun sudah tidak malu-malu lagi untuk keluar. Perasaannya sentiasa ceria. Tambahan pula, gadis ini tidak pernah kering idea untuk berbicara. Sentiasa ada bahan untuk diperbualkan. Dan pandai pula mengusik-ngusik, yang akhirnya membuatkan dia mampu tersenyum dan ketawa. Agaknya Lia Hana mencabar diri sendiri untuk membolehkan dia gelak ketawa apabila mereka bersama. Bukankah Wanee pernah berkata yang kakak angkatnya itu suka mecabar diri sendiri? Apa-apa sahajalah Lia Hana, asalkan kita selalu bersama….

                        Selalu bersama berdua ? Tidak juga sebenarnya. Gadis ini suka sangat mengheret kawan-kawannya jika mereka ada janji keluar. Dia paling tidak gemar kepada kawan tembam Lia Hana, merangkap rakan serumah aka sahabat dari kecil itu. Gadis tembam itu bukan tidak baik. Baik juga, sebab keikhlasannya dapat dilihat sekali-sekala. Namun, disebabkan dia suka berlebih-lebihan atau ‘over-acting’ menyebabkan kelebihan yang ada pada dirinya tidak dapat dilihat. Jadi Syed Azeem akan merasa cukup rimas , jika Lia Hana membawa   Salina   bersama. Berbeza jika dengan Wanee, gadis kurus kerempeng ini lebih ‘enjoy’ dan telus. Hendak diapakan? Jika hendak bersama Lia Hana, terpaksalah menerima rakan-rakan sekelilingnya. Itu belum kaum keluarga dan saudara mara lagi . Entah bagaimana ya ?.

                        Namun, ada juga ketika yang mereka dapat keluar berdua bersama-sama. Itulah saat-saat yang paling menggembirakan hatinya. Dapat berbual bebas  tanpa  ada mata ketiga yang memerhati dan telinga yang memasang dengar. Untuk mendapat masa yang begini bukan mudah juga! Dia kena bijak mengenakan Lia Hana.  Seperti buat-buat terserempak , padahal dia telah  tahu yang Lia Hana keluar   berseorangan ketika itu.  Tempat yang paling mudah, tentulah di gelanggang skuash dan  ‘berjogging’ di Taman Tasek. Menurut Lia Hana, Salina tidak gemar beriadah, dan tidak akan sekali-kali mengikutinya. Wanee pula sibuk bekerja .

                        Ada  beberapa kali dia dapat membeli-belah barang keperluan bersama. Biasanya di Tesco, tempat yang paling sesuai dan selesa.  Pada suatu hari , dia hairan kenapa Lia Hana membeli banyak biji kek. Seperti  hendak buat kenduri sahaja. Dia yang sedang  menolak  troli  berkert dahi tidak faham.
                        “Esok saya nak bertunang!. Kek ini untuk  tetamu”.
                        Hah? Bertunang ? Selamba sahaja Lia Hana memberitahu.
                        “You ni, biar betul ?” 
                        “Iyaaa.....You datang eik?”
                        Melihat senyuman semacam di wajahnya, Syed Azeem tahu gadis ini sengaja mengenakannya. Supaya dia tersenyum. Itu yang Lia Hana selalu nak lihat. Tersenyum!.  Boleh kurangkan tekanan mental! Sedar ianya hanya satu gurauan, maka diapun memberikan apa yang selalu dihajatkan oleh si manis tersebut. Senyum. Tapi kali ini sedikit sumbinglah, sebab takut juga apa yang diperkatakan itu benar. Kalau benar, kecewakah dia ? Apa perlu dia buat ?
                        “Itulah.......Lokek sangat nak senyum!.  Otak saya ni kena bekerja keras nak buat you senyum tau”.
                        “ Cik Hana....Itu buat saya  sakit jantung.....bukannya senyum !”
                        Tetapi Syed Azeem tersenyum juga!. Bukan kerana gurauan tersebut, tetapi senyum kelegaan!
                        “Habis kek-kek yang banyak ni nak bagi siapa makan ? Keluarga you kan empat orang saja, campur si Lina tu, baru lima, sebijipun dah cukup. Ini sampai lima  belas biji!”.
                        “Saja.... nak kenakan duit you! Saya tengok hari-hari kontena keluar dari kilang perabot depan tu. Tentu banyak eksport . Pokek you tentu masyuk!”.
                        Kali ini, Syed Azeem tidak tersenyum lagi, tetapi terus ketawa. Rasa hendak dicubitnya pipi putih comel bertatahkan dua lesung pipit di hadapan, tetapi ditahankan hati. Sedar gadis itu bukan gadis yang boleh dibuat sembarangan. Ada tata susila yang sentiasa dia jaga.
                        “You nii.....Dah puas hati sakat saya?”
                        “Sebenarnya, esok hari jadi mak saya. Biasanya kami satu keluarga raikan dia di rumah anak-anak yatim. Mak suka cara macam tu. Dari saya dan abang Naim kecil lagi. Tiap-tiap tahun .Sejak kami kerja, kamilah yang sponsor”.
                        “Oohh.... ”
                        Hanya itu yang dapat Syed Azeem  katakan . Ada sedikit tergamam sebenanya. Lia Hana dan keluarganya, agaknya sama seperti bonda . Suka kepada kerja-kerja kebajikan.  Tiba-tiba dia juga teringat kepada Uncle Nafi. Entah kenapa teringat kepada lelaki ini. Mungkin Uncle Nafi juga suka membantu orang-orang susah.
                        “Apa kata untuk tahun ni……saya sponsor ?”
                        “Eh. Tak perlu.Tak perlu. Nanti mak saya tahu, dia kecil hati!”

                     Gadis Lia Hana , penuh dengan sifat-sifat mulia! Itu yang dapat Syed Azeem simpulkan. Semakin dia mengenali, semakin teruja untuk sentiasa bersama dengan gadis tersebut.
                        Sikap selamba dan nakal Lia Hana juga menghiburkan hati. Malah sedikit sebanyak mengubah cara hidupnya, yang sudah  terbiasa dengan kehidupan mewah dan berstatus. Lia Hana tidak teragak-agak untuk mengheretnya ke gerai-gerai makanan yang sedap, tetapi kurang sempurna persekitarannya. Walaupun agak keberatan, namun dia gagahkan diri juga. Akhirnya , setelah dua tiga kali mencuba, dia tidak kekok lagi. Sungguh! Memang ada kedai biasa-biasa yang amat sedap rasa makanannya. Jauh berbeza  daripada yang disaji di hotel-hotel mewah.
                        Gadis nakal ini juga  berani mengenakan dia  dengan masakan kampong. Sememangnya lidah dia tidak biasa sangat dengan semua makanan itu . Sambal belacan, ulam-ulaman, masak lemak rebung masam, kerabu pucuk paku, gulai nangka dan apa-apa sajalah…. Dek kerana terpaksa, dia mencuba. Wah! Tidak sangka juga tekaknya boleh terima, malah ada keinginan untuk merasa lagi!
             Dan kini, dia juga sudah biasa  pergi dan membeli makanan di pasar malam! Itupun jika si manis  itu  sudi menemankan.  Jika seorang diri, huh.... dia masih tidak sanggup! Buka ego  atau berlagak , tetapi terasa pelik dan terasing. Seperti semua orang memandang-mandang ke arahnya, tidak kira kecil besar, tua dan muda. Si gadis- gadis apalah lagi. Ahh.....dia  perasan sendiri!  Sebenarnya,  tiada siapa kisah pun!
           
                        Kesimpulannya, setelah beberapa bulan mengenali gadis tersebut, terasa cara kehidupannya turut berubah. Rutin yang dulu muram sahaja, kini bertukar ceria. Bibirnya telah kerap tersenyum dan ketawa.
                        Malah keluarganya pun turut terkejut dengan perubahan dirinya yang ketara. Suatu petang, Syed Azeem dapat melihat beberapa pasang mata  yang membulat dan beberapa buah mulut yang melopong menyambut kepulangannya ke banglo mewah mereka di Kuala Lumpur. Syed Azeem telah sanggup kembali ? Betulkah ? Atau sekadar ilusi ? Mungkin itu yang berlegar dalam fikiran masing-masing.
                        Hampir mencecah tiga tahun , dia tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah tersebut. Sebaliknya , bondalah yang akan ke tempatnya, untuk melepaskan rindu pada anak  lelaki kesayangan. Ataupun mereka akan berjumpa di hotel-hotel penginapan yang jauh dari kawasan perumahan elit itu, jika dia ke Kuala Lumpur. Semua ahli keluarga faham situasinya.  Mereka tidak pernah ambil hati. Namun, kepulangannya buat pertama kali ini betul-betul mengejutkan semua. Dan dia sendiripun tidak sedar memperolehi kekuatan itu!, Yang dia tahu, dia sudah tidak merasakan apa-apa perasaan sedih dan pedih lagi! Dan tiada apa-apa yang menganggu perasaanya untuk kembali ke situ.

                        Bonda masih tidak yakin dengan apa yang dilihatnya. Cuba juga merisik-risik apa yang  membuatkan anaknya berubah ? Namun, sudah tentu tidak mendapat sebarang jawapan! Kerana pemangkinnya hanyalah seorang gadis yang tinggal nun jauh dari kota serba canggih ini. Apa-apapun, dari riak wajah bonda, Syed Azeem tahu, wanita yang dikasihi sepenuh hati itu memanjatkan ribuan syukur ke hadrat Ilahi di atas  di atas kepulangannya itu. Ahh......Air mata bonda, mana pernah boleh disorok-sorok dari pandangannya! Opps....Sudah tentu air mata gembira!
                        Si pendiam Sharifah Azeera, adik bongsunya itu, juga cuba jadi penyiasat  . Terlalu ingin mengetahui sebab musabab yang merubah kehidupan abangnya. Namun sudah tentu  tidak berjaya,  kerana sifatnya  yang kurang kreatif memeriksa dan meneka. Mana boleh menceroboh sesuka hati barangan peribadi orang lain?. Misi Pah  Zeera yang pertama  sudah  tentu gagal! Biarlah ianya menjadi rahsia....
                        Nasib baik kakak sulungnya , Sharifah Azeeta ,masih di luar negara. Jika perempuan kepoh itu ada, sudah tentu habis semua rahsianya terbongkar! Mulutnya yang petah berbicara dan pandai bermain psikologi itu, selalunya membuatkan  semua orang membuka segala cerita.  Entah dari mana bakat itu diperolehi, Syed Azeem kurang pasti. Setahunya, tiada seorangpun dari saudara-mara  mereka  mereka menceburi bidang perundangan. Semuanya sibuk berniaga, kerana percaya keuntungannya lebih berganda!

                        Keluarganya tidak perlu tahu apa-apa sebenarnya. Kerana dia sendiri tidak tahu hala tuju hubungan ini. Hendak dikatakan kawan biasa, agak rapat juga dan kerap berhubungan. Untuk dikatakan gadis itu kekasihnya, tiada sebarang pengistiharan lagi. Mereka tidak pernah membincangkan mengenai hati masing-masing. Perasaan dirinya sendiri terhadap gadis tersebut ? Bagaimana ya ? Apa perlu dia jawap untuk soalan ini?
                        Sememangnya gadis manis Lia Hana ini sungguh istimewa padanya. Sejak kali pertama bertemu,  figura itu sentiasa  hadir dalam minda. Selalu terbayang-bayang kehadirannya. Namun, dia masih belum mengerti dengan perasaannya sendiri. Hatinya belum ada keyakinan yang cukup tinggi . Adakah sejarah silam membuatkan dia sungguh berhati-hati ?  Namun keadaan kali ini cukup berbeda berbanding dahulu.Ahh! Biarlah! Biarlah perasaan ini memberitahu segalanya , suatu hari nanti. Biarlah hati ini berkata yang sebenarnya bila tiba masa kelak.....

                        Tambahan pula dia pun tidak tahu bagaimana perasaan Lia Hana terhadapnya. Tetapi dia pasti yang si gadis ini masih belum mempunyai teman istimewa. Teman lelaki atau bakal suami! Jika ada, mustahil dia tidak keberatan untuk keluar bersama.
                        Pernah juga dia mengorek rahsia hati  Lia Hana mengenai lelaki bagaimana yang menjadi impiannya. Entah kenapa dia merasa amat kecewa, apabila si gadis itu dengan telusnya memberitahu, dia berangankan  lelaki seperti abang Naim. 
                        Syed Azeem sendiri tidak tahu bagaimanakah rupa dan sifat abang Naim itu. Yang dia tahu, lelaki itu abang kandung Lia Hana dan sudah tentu mereka tidak boleh bersama sebagai sepasang suami isteri. Dia juga tahu yang abang Naim itu seorang duda , beranak satu. Bapa tunggal!. Jadi apa sangat istimewanya, sehingga menjadi lelaki impian  adik sendiri ? Laa.....Cemburu ke dia ? Cemburulah… agaknya…….
           

            “OPPS.....NORLIA, Zahar ....Kenapa tak bersihkan tangan  dulu ?”
                         Termalu-malu dua orang itu ditegur Lia Hana.  Terpaksalah mereka berpusing balik ke arah sinki berdekatan. Tidak sangka pula mereka pagi ini Cik  ‘kualiti bagus’ itu berada di depan pintu masuk ke dalam kawasan pemprosesan.Berdiri ala-ala pengawal di raja lagi. Buat pemeriksaan mengejutlah tu! Maka , tercatitlah dua nama yang tidak mengikut peraturan di dalam rekod dia. Dan akan naik ke papan kenyataan pula sebentar nanti! Kalau sekadar pembantu Lia Hana, mereka boleh pujuk lagi, tetapi dengannya, payah! Walaupun cantik manis,  lemah -lembut, tetapi kalau bab kerja dan peraturan, amat tegas. Tiada siapa berani membantah!.

                         Bagi kilang makanan, Mencuci tangan sebelum masuk ke kawasan pemprosesan adalah satu peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua pekerja , mahupun pelawat-pelawat. Ianya adalah salah satu satu cara untuk menjamin kebersihan dan kualiti  makanan yang dihasilkan  . Adalah menjadi kesalahan besar jika peraturan ini tidak dituruti. Kiranya seperti undang-undang dalam industri makanan. Kilang makanan yang bagus mesti menyediakan kemudahan bagi tujuan ini.  Diantara tugas Lia Hana sebagai Pengurus Kawalan Kualiti adalah memastikan peraturan ini di amalkan oleh semua pihak terlibat.
                        “Zahar......Hair net tu pakai elok-elok. Rambut masih ada terjuntai keluar tu. Takut  nanti  terjatuh dalam tin sardin pula”.
                        Tersengih-sengih si Zahar  kena tegur sekali lagi. Semakin bertambah malunya, walaupun ditegur secara lembut. Banyaklah pula kesilapannya hari ini. Nasib tuan punya suara   cun. Jika tidak mahu dijegilkan sahaja mata besar dan garangnya itu. Biar takut sedikit.
                        “Hoi.....bagilah aku bakul tu”
                        “Hoi....Tak dengar ke? “
                        Siapa... hoi ? Beraspun ada nama tau ! Cap rambutan lagi! Aku ni sedap-sedap nama mak aku bagi  , yang engkau panggil hoi-hoi  apa pasal ?”.
                      “Ala....Marah ke Zahar? Okaylah, Zahar....hulurkan saya bakul yang disebelah kaki kawan tu , boleh ?”
                        “Ha....Tahu..pun berbahasa. Aku ingat dah  tak gheti.....”.
                        Geli hati Lia Hana mendengar pertengkaran kecil antara Zahar dan Siti itu. Tetapi dicuba menyembunyikan senyumnya. Takut ada yang terperasan nanti. Amat perlu dia dia bersifat serius pada waktu-waktu tertentu.  Pandangannya dialihkan kepada Faiz yang sibuk memeriksa  kawah memasak di hadapan.
                        “Ada masalah ke Faiz?”
                        “ Entah.... . Tengah periksa!”.
                        Hendak tidak hendak sahaja cara pemuda itu menjawab. Tanpa menoleh kepadanya. Lia  Hana tahu, itu bukan sikap sebenar Faiz. Pemuda ini penuh dengan adat sopan.  Tengah angin agaknya. Fikir Lia Lia Hana. Biarlah! Semua manusia macam itu. Ada pasang surut anginnya. Lalu dia pergi dari situ untuk menyambung kerja seterusnya.
                        Selesai membuat pemeriksaan sekeliling kilang, Lia Hana menghalakan kaki semula ke pejabatnya. Terserempak dengan Salina yang mungkin hendak ke bilik air , namun bagai tidakk sudi memandangnya. Pun angin juga agaknya. Ramai pula orang yang angin hari ini. Oh ya....’Monday blues’. Bukankah hari ini hari isnin?
                        Dia menjengah sebentar ke bahagian makmal untuk melihat pembantunya melakukan kerja. Eh....Ke sini pula si Faiz ini.  Siap ketawa-ketawa lagi . Dia memandang sekilas kepada wajah Faiz yang agak terkejut dengan kehadirannya , kemudian beralih kepada Sew Ling, pembantunya . Tanpa sebarang kata, Faiz terus berlalu pergi. Terpinga-pinga Lia Hana.
                        “Cik Lia.....Faiz bagi tahu, pengacau kawah nombor dua ada masalah. Tersekat-sekat”.
                        “Oohh.....Sebab tu  dia masuk sini ?”
                        “ Iya.....Untuk bagi tahu”.
                        “ Okay. Nanti saya suruh Hasrina buat checking kerap sikit pada produk kawah tu. Mana Hasrina? Tak nampak di dalam pun?”
“ Tadi ke tandas.... cik Lia.”
            “Saya sini....lah cik Lia.  Amboi.....tak nampak saya dah ke? Mentang-mentang dating dengan  orang handsome  semalam”.
            Dating ? Siapa”
            “La? Takkan Cik Lia dah lupa kot ? Semalam tu kan cik Lia di Tesco? Dengan pakwe lagi”.
            “Hish....Kamu ni Hasrina , bukan boyfriend sayalah. Kawan saja. Salina pun kenal dia tu. Waktu bila kamu nampak ? Saya tak perasan pun”.
                        “Iya....lah tu kawan cik Lia. Mesra gitu-gitu lagi. Tapi sesuai sangat dengan cik. Bagai pinang dibelah dua. Nampak kat parkir kereta. Cik mana nak perasan, asyik berketawa dengan si dia. Kalau tak percaya tanya Faiz dengan Salina. Mereka ada sekali dengan saya”.
                        Gupp! Jantung Lia Hana bagai tercabut! Salina Nampak sekali?  Patutlah muncung saja tadi.  Semalam dia balik kampong selepas berjumpa Azeem, jadi tidak sempat bertemu dengan Salina lagi. Pagi tadi  dia terus dari rumahnya ke tempat kerja. Habislah ! Bermakna ribut taufan akan berlansung  selama beberapa hari.
                        “Sudah-sudahlah bergosip pasal saya Hasrina. Pergi masuk ke dalam .Beri perhatian pada kawah yang bermasalah itu. Dah tahu dari Faiz tadi kan ?”.
                        “Baik.....lah”.
                        Fikiran Lia Hana kembali kepada masalah Salina dan Faiz. Tentang Salina, dia sudah maklum perangai meroyan kawannya. Namun mengenai Faiz, sedikit tanda tanya berada di mindanya. Kenapa pula Faiz ikut marah sekali, jika iyapun mereka ternampak dia dan Azeem semalam ? Kenapa pula dijadikan alasan untuk tidak bertegur sapa dengannya hari ini?. Ahh.....Macam-macam. Ini semua dikategori masalah remajalah! Sikit-sikit merajuk! Sikit-sikit angin!.
                        Itulah sebabnya , dia rasa lebih selesa berkawan dengan Azeem. Lelaki ini matang. Tiada merajuk-rajuk. Sekadar kawan biasa, kenapa sampai hendak merajuk ? Dengan Azeem, dia selesa berbual apa sahaja. Mereka bagai kawan yang profesianal. Boleh berbincang apa-apa sahaja persoalan dunia dan akhirat. Kecuali bab hati dan perasaan! Masing-masing masih belum berani menyentuhnya. Sekadar mengusik-ngusik sipi-sipi , mungkin ada.


                        TUK...TUK....tuk.
                        Lia Hana mengangkat muka dari  skrin komputer di hadapannya. Kenapa tak masuk-masuk lagi orang yang mengetuk pintu ini ? Jika Mr Calvin atau pembantu-pembantunya, sudah tentu tidak akan  menunggu jawapan ya   .
                        “ Ya.....Masuklah”.
                        Terpaku dia. Salina rupanya. Mereka dari jabatan yang berlainan, sebab itu tidak biasa dengan bilik Lia Hana, walaupun mereka bersahabat baik.
                        “Kenapa Lina ?”
                        “ Lia......Aku nak kau berterus-terang”
                        Salina masih berdiri di pintu. Suaranya terketar-ketar. Rupa, jangan diceritalah, keruh seribu macam. Muka yang comel walaupun Nampak tembam sudah tersorok dek kekusutan di wajah.
                        “Laa....Apa lagi yang jadi masalah ni ? Meh masuk sini. Kau tutup pintu tu sekali. Dah dekat rehat ni, kau tak nak pergi makan ke?”
                        “ Aku tak nak makan. Aku nak selesaikan dengan kau pasal Azeem”.
                        “Okay....Apa yang bersarang kat kepala kau tu tentang Azeem?”
                        “ Kenapa pula aku yang kau kata ada masalah? Kau kenapa Lia ? Kau tahu kan aku suka Azeem tu, tapi kau selalu juga keluar dengan dia?”
                        “Ooo....Itu. Okay.....Sekarang kita selesaikan perkara ini secara waras dan pro Okay? Tentang  perasaan engkau terhadap  Azeem,  aku tahu Lina. Dan aku rasa, aku dah menolong engkau apa yang patut aku tolong. Tetapi engkau kenalah fikir juga perasaan dia terhadap engkau.......Dia ada perasaan yang sama ke?”.
                        “Macam mana dia nak ada perasaan, jika kau potong jalan ?”
                        “Astaghfirullah...hal...Azim. Kau ni Lina, tak pernah terniat aku nak buat macam tu pada kau!.”
                        “Habis tu? Kenapa kau selalu keluar date dengan dia?  Berdua pula tu?”
                        “Lina, memang aku selalu keluar dengan dia, tapi kebanyakannya tidak dirancang tau. Kadang-kadang tu terserempak aje.  Tapi aku berterus –terang dengan kau, aku memang kawan baik dengan dia. Tapi kami cuma kawan. Tak lebih dari itu”.
                        “Habis, aku ni macam mana Lia ? Kau tak bagi klu ke pada si Azeem tu , kalau kau baik sangat dengan dia?”
                        “Prinsip kami berkawan, tidak campurkan dengan hal-hal perasaan. Harap kau faham. Aku dah cuba bagi klu pasal kau, tapi dia buat-buat tak faham. Akupun ada perasaan segan juga. Harap kau faham Lina. Perkara perasaan ini bukannya mudah untuk diperbualkan. Tambahan pula dia nampak bukan macam orang biasa seperti  kita-kita ni. Dia orang Bandar….. berstatus”.
                        “Habis tu? Macam mana Lia?  Aku dah tak sanggup hidup tak tentu arah macam ni lagi. Dah dekat lima bulan aku pendam perasaan ni”.
                        “Macam ni.... lah Lina. Aku cadangkan kau berterus terang sahaja  dengan dia. Kalau tak berani jumpa, kau telefon sahaja. Sekurang-kurangnya kau dah cuba. Hati kau puas. Tapi kalau kau asyik pendam sahaja , jadi macam ni....lah . Aku pun tak selesa tau. Kau asyik bermasam-masam muka sahaja”.
                        “ Bolehkah Lia, aku buat macam tu ? Tak ke malu?”
                        “Engkau suka dia kan ? Aku rasa itu jalan yang terbaik”.
                        “Tak malu ke?”.
                        “ Malu la juga kot! Tapi lebih baik dari hidup engkau macam ni ! sekurang-kurangnya, nanti kau ada keputusan, samada orang tu boleh terima kau atau sebaliknya. Tidaklah hidup kau penuh angan-angan lagi”.
                        “Kau tak nak tolong aku ke dalam bab ni?”
                        “Tak. Aku takkan tolong kau lagi. Kau kena buat sendiri. Ini hidup kau. Kau kena mulakan sendiri. Boleh?”.
                        “ Entaah....Nanti aku fikirkanlah Lia. Tapi kau betul-betul ke tak ada apa-apa dengan dia Lia?”
                        “Hish....Berapa kali aku nak cakap. Buat masa ni, aku dengan dia hanya kawan. Aku selesa berbual dengan dia. Itu sahaja. Tak ada yang istimewa”.
                        “Kalau macam tu.....selamatlah Faiz !. Tinggal aku saja yang masih belum selamat lagi”.
                        Salina berkata, lalu mengangkat punggungnya dari kerusi untuk pergi.
                        “Kejap.......kejap ......Lina. Apa kena mengena dengan Faiz ? Ada yang aku tak tahu ke?”
                        “Eh....Engkau tak tahu lagi ke? Satu kilang dah tahu, takkan tuan punya diri tak tahu ?”
                        “Tahu apa ni ? Lina?”
                        “Faiz tuu.......Suka giler kat engkau ! Kau tak  faham-faham ke klu yang dia bagi ?”
                        “Hah? Faiz suka kat aku ?”
                        “Iya ......Bukan setakat Faiz saja kalau kau nak tahu. Tuu…encik Kamil hampir nak bertumbuk dengan Pengurus Stor tu….. pasal engkau”.
                        “Hah? Biar benar Lina ? Kau jangan gosipkan benda-benda macam ni!”
                        “Tak ada gosipnya Lia… oii. Aku cakap yang betul. Engkau ni naïf juga yek ! Orang semua dah tahu. Kau masih tak tahu apa-apa”.
                         
            Lia Hana yang tengah berdiri , lalu terduduk  di kerusi empuknya sendiri. Termenung panjang. Patutlah semacam sahaja orang pandang dirinya sejak dua menjak  ini. Rupanya ada cerita baru. Sungguh dia tidak tahu. Tetapi itu semua bukan salah dirinya. Lelaki-lelaki itu yang tidak dapat mengawal emosi sendiri.  Biarlah.....Jika hendak difikirkan masalah orang lain, serabut akhirnya.......