Umie Nadzimah Layan Blog

Umie Nadzimah Layan Blog

Thursday, December 27, 2012

Tidak Pernah Sesal , Bab 13



                        SALINA  rasa panas hati bila mengingat kembali pertemuan dengan ibu  dan keluarga Azeem di hospital  awal petang tadi. Kenapa dia yang mesti menanggung rasa malu dan  terhina begitu ? Selama ini tidak ada orang yang memandangnya jelek sebegitu.
                        “Ini ke Lia Hana yang telefon pagi tadi ?”
                        Tanya wanita anggun yang baru duduk di sisi katil Azeem. Dari   tadi dia asyik memandang Salina. Masa itu Salina terasa gugup pula. Tidak sangka keluarga Azeem nampak seperti orang hebat-hebat. Ingatkan Azeem sahaja yang ada kelas.
                        “ Hah? Lia Hana ? Bukan bonda. Ini Lina, kawan dia. Hana  baru saja balik, emak dia pun tak sihat”.
                        Azeem yang telah bangun kerana kehadiran bondanya  memaklumkan. Bonda? Kerabat agaknya , fikir Salina. Pandangan wanita itu dari tadi semacam sahaja dia rasa . Diperhati Salina dari atas ke bawah beberapa kali. Buruk sangat ke rupanya?  Dia betul-betul kurang selesa berada di antara mereka.   Hendak tidak hendak dia menghulurkan tangan pada wanita tersebut untuk cuba bersalam.
                        “Apa khabar makcik ?”
                        “ Mak Engku. Panggil  Mak Engku”
                        Ibu Azeem membetulkan panggilan Salina itu. Suaranya kedengaran sedikit tegas. Riak mukanya pun bagai kurang menyenangi Salina. Rasa cemas dalam dada Salina. Tersalah panggil pula. Protokolnya! Manalah dia tahu kena panggil Mak Engku. Ahh.......Eksyen! Orang  tolong jaga anak dia pun sudah cukup baik. Ucaplah terimakasih!
                        Jika dia tahu akan mendapat malu begitu, tidak ingin dia menolong Lia Hana. Perempuan itu pun satu, senang-senang sahaja minta tolong dia jagakan si Azeem itu. Tetapi selama ini,  dia yang lebih-lebih syokkan si Azeem .   Dia yang beriya-iya sukakan Azeem, sampaikan kadang-kadang dia nampak Lia Hana naik bengang dengan sikapnya. Jadi, tidak salah jika Lia Hana meminta dia menemani lelaki itu. Memang itu yang sepatutnya. Lagipun, Lia Hana juga di dalam kesusahan, kasihan dia . Makcik Jamalia dianggap seperti ibu sendiri. Kenapa   hendak berkira sangat dengan bila Lia Hana meminta tolong?  Bertimbang rasalah sedikit!.
                        Saat ini, Salina sedar, apa yang dikatakan Lia Hana dahulu  ada betulnya. Azeem dengan dia mempunyai status yang berbeza. Lia Hana tidak bercakap kosong. Pemerhatian dia tajam sekali . Buktinya, Salina telah nampak, betapa bergayanya ibu a.k.a bonda Azeem tadi. Yang muda itu, agaknya adik Azeem, sebab wajah mereka ada iras-iras. Pun dengan gaya kelas atasanmya. Beza penampilan Salina dengan mereka terlalu jauh. Salina rasa rendah diri teramat sangat. Dia pun tidak sanggup berlama-lama dengan mereka  tadi, cepat-cepat minta diri.  Keluar sahaja dari perkarangan hospital, dia rasa lega sekali. Terlepas dari bebanan perasaan! Harap dia tidak bertemu lagi dengan kaum kerabat ini!
                        Apabila Salina  menceritakan kepada Lia Hana, pada malam itu, kawannya  tidak henti-henti ketawa. Luculah sangat tu!  Kalau kena diri sendiri , barulah padan muka. Mungkinkah Mak Engku tadi akan pandang semacam juga pada Lia Hana? Iya....lah, Lia Hana tu  berwajah esotik, cantik, tubuh badan yang menarik dengan  gaya lemah lembut. Mungkin tidak agaknya.....
            Selama ini, semua orang suka pada Lia Hana. Baik perempuan, mahupun lelaki. Orang lelaki, apatah lagi. Lihat sahajalah di kilang , Faiz, Encik Kamil, Khairul, semuanya berlumba-lumba memenangi hati Lia Hana. Malah, Azeem pun sama. Dia perasan waktu tengahari tadi, di hospital, Azeem asyik merenung muka Lia Hana. Mata Azeem pula bersinar-sinar waktu itu. Tetapi bila Lia Hana pergi, mata Azeem terus tertutup, rasa tidak ingin lansung memandang Salina. Kala itu, Salina terasa kecil hati sangat, dan dia seperti menyumpah-nyumpah sahabat baiknya itu.
                        Kadang-kadang , Salina pun merasa pelik dengan Lia Hana. Ramai lelaki meminatinya, tetapi dia buat tidak kisah pun. Buat deerrk sahaja. Malah, setahunya, Lia Hana tidak ada pun teman lelaki istimewa.  Tidak sibuk pun dia hendak bermain perasaan  atau berkasih-kasihan dengan jantina berlainan. Tumpuan hidup dia banyak kepada kerja dan menolong orang. Itu sahaja yang dilihat pada kawannya itu. Tenang sahaja sepanjang masa.  Sentiasa ‘cool’ Tidak ada nafsu pada lelaki ke Lia Hana  ? Selalu juga dia terfikir begitu.


                        RIMAS Lia Hana dengan Azeem . Mentang-mentanglah dia tengah bercuti sakit, tidak henti-henti menganggunya.  Sekejap-sekejap telefon. Sudahlah Lia Hana ada terlalu banyak kerja . Semalam Lia Hana mengambil cuti kerana menjaga emaknya. Lagipun hari sabtu lepas dia bekerja sehingga larut malam, walaupun itu bukan hari bekerja. Jadi bosnya membenarkan dia bercuti ganti pada hari isnin itu.
                         Logik juga alasan  Azeem  yang selalu menganggunya. Azeem  tidak ada apa yang hendak dibuat.  Hanya terbaring atas katil atau   sofa menonton telivisyen. Tidak pun melayari internet. Biasanya, dia lelaki paling sibuk di kilang perabot itu. Itu yang dia beritahu Lia Hana.  Bosan teramat, katanya. Kawan pun tidak ramai di sini,  sebab itu  Lia Hana yang menjadi  sasarannya. 
                        Lia Hana juga kasihan dengan keadaan Azeem. Dia tidak berupaya untuk melawat lelaki itu kerana kerjanya yang bertimbun-timbun. Tambahan pula, dia  merasa segan kerana keluarga Azeem masih ada di sini untuk menjaganya. Mendengar cerita  Salina, Lia Hana seram sejuk untuk  bertemu dengan Mak Engku yang dimaksudkan. Semasa dia menelefon untuk memberitahu keadaan Azeem dahulu, tidak pula dirasanya wanita tersebut sombong. Baik-baik sahaja suaranya, siap berterimakasih berkali-kali lagi.


                        CUTI  umum pada dua hari beriktnya, Lia Hana terpaksa juga pergi menziarahi Azeem. Dia sudah tidak boleh memberi sebarang alasan lagi, sebab lelaki itu seperti tidak  berputus asa memujuknya datang ke rumah. Sudah tidak dapat mengelak lagi.
                        Selepas loceng berbunyi ada seorang gadis membuka pintu pagar. Wajahnya iras-iras Azeem. Mungkin inilah adiknya Azeera, yang diceritakan masih  lagi belajar . Sekarang ini tengah bercuti semester. Azeera nampak tergamam bila memandang wajah Lia Hana. Beberapa kali dipandang Lia Hana atas dan bawah. Lia Hana tidak pasti kenapa, tetapi pandangan Azeera tidaklah seteruk seperti yang diperkatakan Salina.
                        “Kak Hana ke ?”
                        “Ya”
                        “Err...Masuklah, abang ada di dalam”.
                        Lia Hana teragak-agak juga untuk masuk. Pertama kali dia datang ke rumah Azeem. Baru dia tahu, sebenarnya rumah Azeem dekat sahaja dengan Pusat Belia, tempat dia selalu bermain skuash. Patutlah  selalu terserempak dengan Azeem dahulu.
                        Di muka pintu rumah, Lia Hana menghulurkan bungkusan plastik yang di bawa kepada Azeera.
                        “ Kak bawakan ikan haruan yang Azeem pesan tu.  Yang dalam bekas ni, mak akak  dah siap masak”.
                        “ Oh...ya? Kak duduklah dulu, abang ada di ruang tamu tu. Zeera panggilkan bonda”
                        “Terimakasih”
                        Azeera terus ke bahagian dapur membawa beg-beg plastik yang diberikan Lia Hana. Dia menarik bondanya dan berbisik sesuatu.
                        “Bonda. Kak Hana tu....”
                        “Kenapa ? Lebih besar dari kakak kat hospital tu ke?”
                        “ Err....Tak....tak bonda. Cantik....cantik sangat, tapi bonda jangan terkejut ya?”
                        “Hissh....Zeera ni, kalau dah cantik tu okaylah....kenapa bonda nak terkejut pula?”
                        “Bonda dah solat belum ?”
                        “Belum.. sayang. Kenapa pelik sangat ni ? ”
            “Kalau begitu, bonda solat dulu,selepas tu bonda tarik nafas panjang-panjang sebelum pergi jumpa Kakak tu”.
            “Yelah....Bonda ikut kata tuan puteri . Lagi pun takut lambat pula bonda solat nanti”.
           
                        Lia Hana masih tercegat di ruang tamu.  Kagum dengan hiasan rumah tersebut. Rumah banglo yang didiami Azeem ini, tidaklah terlalu besar. Rumah dua tingkat yang comel sahaja. Sesuai dengan penghuninya orang bujang. Hiasan dalamannya sungguh kemas dan moden. Sofa dan langsir bewarna putih, di selangi  sedikit dengan merah terang . Kombinasi dua warna ini  membuatkan suasana nampak elegan dan menarik, walaupun ‘simple’. Ruang tamunya tidaklah terlalu sarat dengan perabot, walaupun tuan rumahnya tauke kilang perabot.  Susun aturnya kemas dan sedap mata memandang.  
                        “Hhmm.....Takkan datang lawat saya, berdiri sahaja ? Tak sudi duduk ke ?”
                        Lia Hana terkejut di sapa . Sungguh dia tidak perasan Azeem di  situ. Dia terlalu asyik memerhatikan keadaan rumah tersebut. Malunya....
                        “Tak sudi duduk ke ?”
             Mata Azeem tidak puas-puas memandang susuk tubuh yang asyik berdiri dari tadi. Lia Hana sungguh cantik dengan penampilan yang amat berlainan. Biasanya, gadis ini hanya memakai pakaian seragam kerja, pakaian sukan atau kasual sahaja jika bertemu atau terserempak dengannya.  Hari ini, gadis itu teramat manis  memakai baju kurung warna hijau pucuk pisang, dengan bunga-bunga halus hijau pekat  kontras. Dilengkapi dengan tudung rona sama, tetapi lebih lembut.  Warna hijau, kesukaan Azeem.Sentiasa tenang dan menyejukkan hati!
                        Azeem rasa dia jatuh cinta lagi ! Saat ini Lia Hana betul memukau mata dan perasaannya. Jantungnya tidak henti-henti berdegup kencang. Dhup...dhap....dhup...dhap. Tidak terkawal! Dia tidak pernah merasa keadaan begini.
                        Lia Hana gelisah. Mata Azeem terus melekat padanya, walaupun dia sudahpun duduk . Apa yang tidak kena? Pandangannya sunguh berlainan. Penuh perasaan! Membuatkan jantung Lia Hana pun turut sama laju. Juga seperti tidak terkawal juga.
                        “Err.....Azeem dah okay ke?”
                        Azeem tersentak. Senyuman gadis ini.....Ahh....Manisnya tiada kata. Dalam hatinya....penuh bunga-bunga. Bunga cinta ? Agaknyalah...
                        “Err....Azeem?”
                        “Cantik.....Hana sangat cantik sangat!”
                        Muka Lia Hana merona merah. Azeem! Sudah berubah sejak kena bedah! Doktor bedah perut, buang appendiks atau hatinya ?
                        “Hana tanya......Azeem apa khabar ? Dah sihat?”
                        “Hhmm.....Bolehlah. Isnin depan dah boleh pergi kerja kot! Rindu nak pandang kilang depan tu”.
                        “ Heh...Yelah...tu!. Err....Lepas ni tak adalah kena diarrhea lagi ya?”
                        “Ha...ha..ha. Hope so! Macam mana Hana tahu saya kena appensitis, bukan diarrhea ?”
                        “ Dah Azeem sakit  sangat sebelah kanan perut . Tanda-tanda diarrhea lain”.
                        “ Tapi saya selalu saja muntah-muntah dan buang air seperti diarrhea”
                        “ Itu tanda-tanda appensitis juga.  Kata doktor yang rawat Azeem tu, jika tidak di bedah hari tu, bahaya sangat. Appendiks tu dah macam nak pecah, dan boleh meracuni sistem badan”
                        “ Iya? Kiranya saya bernasib baiklah ya....ada Cik Hana yang bertindak cepat! Thanks dear. Saya sungguh-sungguh sakit waktu itu”
                        “Ya Allah.....Zalia ?”
                        Kedua-dua teruna dara itu serentak berpaling kepada arah suara tersebut. Wanita itu seperti terpinga-pinga memandang Lia Hana. Patutlah Sharifah Azeera meminta bondanya tarik nafas panjang-panjang dahulu. Rupanya ada kejutan!
                        “Bonda ? She is not Zalia. She is Lia Hana”
                        “Lia Hana ? Ooh .....Ini lah Lia Hana  ya?”
                         “Iya Mak Engku. Saya Lia Hana yang call pagi tu”.
                        Lia Hana bangun menyalami  dan mencium tangan Tengku Adurah. Tidak lupa pesanan Salina tentang panggilan Mak Engku . Takut  di diperbetulkan juga caranya nanti.
            Sejuk hati Tengku Adurah dengan perlakuan gadis ini. Dia cukup berkenan, walaupun persoalan di kepalanya masih belum terjawab. Wajah di hadapan ini, saling tidak tumpah seperti Zalia. Tidak ada yang kurang walau sedikit. Dia kemudiannya memandang Azeem untuk mendapatkan kepastian.  Seperti memahami, apa yang ada dikepala bondanya Azeem mengisyaratkan wanita itu supaya rapat kepadanya dan membisikkan sesuatu.
            “Bonda perhatikan betul-betul. Mereka berbeza bonda”.
            Tengku Adurah sekadar mengangguk . Dia akan mencari apa yang tidak sama di antara dua gadis itu. Satu markah telah berpihak kepada Azeem,  kerana si  gadis Lia Hana ini nampak sungguh bersopan dan lemah lembut.
            “ Mana dapat ikan haruan itu Hana ? Bonda nampak segar lagi. Dah siap di siang pula tu”.
            “Dari kolam di rumah kampung sahaja Mak Engku. Arwah ayah dulu ada buat kolam untuk bela berbagai jenis ikan. Sekarang ini   kami gajikan orang untuk menguruskannya. Dialah yang tolong siangkan. Hana tak berapa pandai”.
            “Oh ya? Dari kolam sendirilah ya ?  Bagusnya”.
            “A...ah. Kalau Mak Engku suka ikan-ikan lain pun ada. Ada Ikan sembilang, talapia, puyu dan baung”.
            “Iya ? Seronoknya dengar. Yang dah siap di masak tu siapa buat. Bonda nampak macam sedap aje . Masakan apa tu? Hana buat ke ?”
            Lia Hana tersenyum malu. Dia sudah menganggak tentu  soalan cepu platinum itu akan keluar.
            “Tak...Hana tak pandai sangat. Emak yang arahkan letak itu ini. Hana masakkan ikut arahan sahaja. Tak tahulah Mak Engku, sedap ke tidak pais ikan tu”.
            “Ooo...Pais ikan. Tentu sedap tu. Bonda rasa Azeem yang cerewet ini pun akan makan banyak nanti”.
            Azeem tersenyum-senyum dengan usikan bondanya. Dia membiarkan sahaja bonda dan Lia Hana berbual dan berkenalan.  Nampak sangat seperti bondanya menyukai Lia Hana. Membahasakan diri bonda lagi. Mana pernah bonda berbuat begitu pada orang lain, walau pada Sharifah Zalia sebelum ini.
            Walaupun berlagak bersahaja, Lia Hana sebenarnya gugup bertamu di situ.  Bonda Azeem nampaknya melayan dia dengan baik sekali, berbeza seperti mana nasib yang diterima  Salina. Mungkin nasib dia baik agaknya hari ini. Mood Mak Engku ini baik sekali. Namun Lia Hana ingin segera pergi juga kerana dia merasa tidak selesa. Pertama disebabkan baru kenal dengan keluarga Azeem. Keduanya disebabkan sikap Azeem yang jauh berubah dari sebelum ini.
            Lia Hana perasan Azeem tidak henti-henti merenungnya. Dia merasa sungguh gementar dan tidak selesa. Dia juga merasa ada cecair kimia baru yang mengalir dalam tubuhnya. Memberikan berbagai rasa. Gementar, gugup, suka, gembira, bahagia. Dia juga terbuai-buai dengan renungan tersebut. Benci tetapi suka. Hah! Perasaan apa ini ? Belum pernah dia merasai  situasi begini.
            Nasib baik juga telefonnya yang berdering menyelamatkan keadan diri Lia Hana. Dari Salina yang  bertanyakan dia sudah sampai mana. Sebenarnya, dia di dalam perjalanan menghadiri majlis kenduri kesyukuran di rumah  keluarga Faiz. Salina telahpun berada di sana awal-awal lagi. Maka, adalah alasan  bagi Lia Hana untuk mengundurkan  diri segera dari situ. Jika tidak susah juga untuk dia melepaskan diri dari makan tengahari bersama  mereka. Bonda Azeem beiya-iya menahannya dari pergi, sehingga selesai menjamah makanan tengahari. Syukur....Dia mempunyai alasan yang kukuh. Jika tidak.....ahh....tidak tahu dia bagaimana memujuk hati yang entah bagaimana keadaannya sekarang ini. Dia pun tidak faham dengan hatinya sendiri.
            Saat ini ,di fikirannya....hanya ada satu sahaja permintaan.....Ingin segera pergi dari situ ......


Sunday, December 16, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 12



       “Assalamualaikum.  Puan Ibu Azeem ke?”   
        “ Iya. Saya bonda Azeem . Siapa ni ? Zalia ke ?”
        “ Err…Bukan puan. Saya kawan Azeem, Lia Hana. Cuma nak bagi tahu puan mengenai Azeem”.
             “Kenapa dengan Azeem ?”
       “ Begini puan. Azeem di Pusat Rawatan Taiping sekarang. Dia baru sahaja selesai pembedahan appendik. Alhamdulillah , dah selamat, doktor bagi tahu tak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan”.
                        “Iya ke ? Auntie tak tahu pun ? Bila operation nya ? Kesiannya anak bonda”
                        “ Tengah malam tadi puan. Sakit  di office . Saya bawakan ke hospital”.
                        “Terima kasih banyak …..siapa tadi….nama anak ni ?”
                        “ Lia Hana, Puan”.
                        “A’a….Lia Hana. Terima kasih banyak. Azeem sorang-sorang di sana. Nasib baik ada yang membantu. Pagi ini juga auntie akan bertolak ke sana. Terima kasih sekali lagi kerana membantu dan memaklumkan”.
                        Lega rasa perasaan Lia Hana setelah memberitahu keluarga Azeem tentang keadaan anak mereka. Walaupun dia keletihan kerana tidak tidur lansung menguruskan Azeem, hatinya merasa puas kerana dapat menolong kawan yang di dalam kesusahan. Sepanjang malam dia berada di hospital tersebut. Dia terasa berat untuk menghubungi keluarga Azeem pada waktu malam. Pukul enam pagi, barulah dia berbuat demikian, kerana kebiasaannya orang sudah bangun untuk solat subuh.
                        Faiz masih menemani Lia Hana, sehinggalah ke pagi. Selepas meguruskan pendaftaran  masuk Azeem semalam, dia menghantar Hasrina balik ke rumah menggunakan kereta Lia Hana, dan kembali semula ke hospital. Tidak tega rasanya meninggalkan Lia Hana keseorangan menguruskan hal Azeem, walaupun dia tidak mengenali lansung pemuda tersebut. Walaupun pemuda yang sakit itulah saingan terhebatnya untuk mendekati Lia Hana secara peribadi. Disebabkan hatinya yang sememangnya baik, dan suka menolong orang, dia tidak mengingati semua itu.
                        Selepas solat subuh di surau, Lia Hana menghantar Faiz ke kilang untuk mengambil keretanya. Lia Hana balik ke rumahnya untuk mandi dan menukar pakaian. Dia kemudiannya bergegas semula ke hospital untuk melihat dan menjaga Azeem. Dia merancang berada di situ, sehinggalah keluarga Azeem sampai. Kasihan Azeem.Sekurang-kurangnya dia dapat membantu semasa ketiadaan keluarganya di sisi.
                          Niat hati untuk memberitahu Salina di batalkan kerana bilik temannya itu masih gelap dan berkunci. Agaknya Salina tidur balik selepas solat subuh tadi. Faham benar Lia Hana dengan tabiat teman serumahnya itu di hari minggu. Dia akan SMS sahajalah dari hospital nanti.
                        Selepas dua jam di bedah , Azeem di masukkan ke wad biasa. Dia masih tidur  semasa Lia Hana keluar tadi dan belum juga bangun apabila gadis itu  sampai semula. Lia Hana duduk di kerusi bersebelahan katil Azeem. Oleh kerana keletihan berjaga sepanjang malam, sekejap sahaja dia terus terlena di sisi Azeem, dengan kepalanya terlentuk di birai katil.
                        Tidak berapa lama kemudian, dia terjaga disebabkan kedudukan badan yang kurang  selesa. Azeem telah pun bangun, tengah memandangnya. Entah dari sejak bila. Tersipu-sipu Lia Hana memberikan senyuman. Terbalik pula siapa yang jaga siapa.
                        “ You okey tak Azeem ?”
                        “ Okey…..agaknya. Dah tak sakit bahagian itu lagi, Cuma sakit bekas bedahlah sikit. Hana…..terimakasih banyak  ya. Kesian you, tak tidur dari semalam”.
                        Perlahan sahaja suara Azeem. Matanya tidak lepas-lepas dari wajah Lia Hana. Lia Hana sekadar mengangguk. Tidak mahu melayan Azeem supaya terus bercakap , kerana dia masih lemah. Lalu dia bersandar di kerusi , dengan tujuan untuk melelapkan mata lagi. Sekejap saja lagi pun jadi.  Tangan kanannya berada di sisi katil.
                         Sampai juga hajat Lia Hana untuk terlelap sekejap. Azeem hanya terbaring diam memerhati. Azeem mencapai tangan Hana. Di genggamnya kejap. Entah kenapa dia rasa seperti jatuh kasih terhadap Lia Hana saat ini .  Perasaan itu semakin memuncak. Kasihnya bercampur dengan perasaan bersalah kerana telah menyusahkan gadis itu sepanjang malam semalam.
                        Lia Hana sedikit kaget. Tidak pernah mereka bersentuhan kulit sejak berkawan. Dalam keadaan begini pula, Azeem teringin untuk melakukan begitu. Dia cuba menarik tangan dari genggaman Azeem , tetapi tidak dilepaskan. Akhirnya Lia Hana membiarkan sahaja perlakuan Azeem itu, memikirkan mungkin dia perlukan sokongan kerana kesakitan  luka pembedahan.
                        “Hana…..Terima kasih”.
                        “Dahlah tu….Tadi kan dah cakap. Kalau sekali lagi ucap, Hana tak terima tau!.   Eh..Azeem perlukan apa-apa ke ?”
                        Azeem hanya tersenyum  pada Lia Hana. Kemudian dia menggelengkan kepala, yang maksudnya tak perlu khidmat gadis itu kecuali membiarkan tapak tangannya di pegang Azeem.  
            Lia Hana gelisah . Dia bangun dan perlahan-lahan menarik tangannya. Oleh kerana Azeem tidak dapat mandi lagi pagi ini, Lia Hana akan mengelap Azeem di mana yang perlu dengan tuala lembab. Malu juga dia hendak berbuat demikian. Tetapi jika dia tidak menolong, siapa lagi yang boleh  di harapkan?  Tugasnya akan berakhir bila keluarga Azeem sampai nanti. Buat masa sekarang, biarlah dia memberikan servis yang terbaik. Lagipun, Azeem telah banyak menolongnya beberapa kali sebelum ini. Inilah masanya untuk dia membalas balik budi itu dengan ikhlas.
            Azeem pun rasa malu juga bila Lia Hana mengelap badannya. Tidak biasa diperlakukan begitu. Dia yang sentiasa gagah seperti tidak berdaya pula saat ini.  Namun di dalam hati penuh dengan bunga-bunga bahagia. Dia begitu suka sekali dengan perbuatan gadis ini terhadapnya. Jika tidak berupaya beberapa hari lagi pun tidak mengapa. Kerana kegembiraan yang diperolehi terasa berlipat ganda.
            “Hana lupa bagi tahu, barang-barang peribadi Azeem ada dengan Hana. Dan  pagi tadi Hana guna telefon Azeem untuk call keluarga Azeem. Pagi ini mereka bertolak dari KL. Agaknya kejap lagi sampai lah tu”.
            “Ya? Hana dapat cakap dengan bonda Azeem ?”
            “A’ah. Bonda Azeem lah kot! Hana call yang nama ‘Bluv Mum’ tu.  Dia dah ngaku Azeem anaknya . Takkan girl friend pula kot?”
            Azeem  hendak ketawa tetapi ditahannya kerana terasa sakit.
            “Iya lah tu, bonda Azeem. Mana ada orang panggil  girl friend , mum ?.  Thanks Hana!. Lama saya tak jumpa bonda. Rasa rindu betul”.
                        Lia Hana sekadar mengangguk. Di dalam kepalanya memikirkan tentu Azeem ini berketurunan darah di raja. Sebab itu memanggil ibunya bonda.  Tetapi semasa mendaftar nama Azeem semalam, dia perasan nama pemuda ini ada pangkal Syed di hadapannya. Mungkin ibunya yang berdarah raja. Selama ini , dia tidak tahu pula salasilah keturunan Azeem. Ya…lah, dia berkawan dengan Azeem kerana merasa selesa, bukan kerana harta, pangkat atau keturunanannya. Dia tidak pernah mempersoalkan itu semua selama ini.
                        Selepas membantu Azeem  apa-apa yang patut, Lia Hana duduk di kerusi, melayan Azeem berbual. Azeem sengaja tidak mahu memejamkan matanya, kerana ingin mengambil peluang  bersama Lia Hana. Perasaan mengantuknya kerana ubat penahan sakit yang diberi , di tahan seboleh-bolehnya. Perasaannya amat riang dapat bersama Lia Hana. Ditakuti, dia tidak mempunyai peluang lagi selepas ini. Maklumlah, gadis itu akan kembali sibuk, mana ada masa untuknya nanti.
            Tengahari itu, Lia Hana  amat cemas apabila menerima panggilan abang Naim, memberitahu emaknya jatuh di bilik air. Lia Hana meminta Salina menjaga Azeem, sementara menunggu keluarganya sampai.
                        “Alaah Lia, aku bukan tak nak, tapi aku tak pandailah nak jaga orang sakit ini”.
                        “ Tak ada susahnya Lina. Kau duduk aje tepi katil dia tu. Kejap lagi emak dia sampailah. Dia orang dah dekat tu. Aku emergency ni. Nak balik kampung tengok keadaan emak aku. Boleh ya Lina ? Lagipun, inilah peluang kau untuk tackle si Azeem tu ? Bila lagi?
                        “Yelah….yelah. Nanti aku datang. Kau tunggu hingga aku sampai ya”
                        “Okay. Tapi cepat sikit. Aku betul-betul risau pasal mak aku ni”
                        Salina, yang pada mulanya teragak-agak , sampai juga dalam jangka waktu yang singkat. Dia mahu sebenarnya, tetapi malu. Itu telahan Lia Hana. Walau apa pun di kepala Salina, Lia Hana tidak peduli pada waktu ini. Yang penting ada orang temankan Azeem, dan dia dapat balik menjenguk emaknya secepat yang boleh.
            Setelah Lia Hana pergi, Azeem terus memejamkan mata yang ditahan-tahan  sejak tadi. Sekejap sahaja, dia seperti tidak sedarkan  diri.
            Salina hanya duduk memerhati. Inilah masanya dia memandang Azeem puas-puas dari jarak dekat. Hatinya beribu-ribu kali menyatakan  Azeem sungguh tampan. Kulitnya putih kemerahan, hidung mancung, kening terletak cantik. Aahh….Bolehkah dia memiliki tubuh yang satu ini?  Rasa tidak tercapai dek badan. Rasanya, dia amat tidak layak. Tidak payah mencubapun dia tahu, dia tidak akan dapat. Saranan Lia Hana tempoh hari, tidak perlu dia fikirkan lagi. Dia tidak sanggup untuk menyatakan pada pemuda ini segala yang terpendam di hati. Tambahan pula, sejak akhir-akhir ini dia mula menyedari  siapa dirinya berbanding  dengan gading bertuah ini.
            Apa yang dikatakan Lia Hana sebelum ini, memang ada benarnya. Status Azeem dengan dirinya tersangat jauh. Sepatutnya, dia tidak berangan-angan untuk jatuh cinta pada pemuda itu. Terasa malu pula di hati kerana terlalu berterus terang pada Lia Hana dan Wanee. Hanya dua orang itu sahaja yang tahu rahsianya. Mujur juga.


            LIA HANA terus menerkam ke bilik emaknya sebaik sahaja sampai di  rumah   kampung. Sepanjang perjalanan tadi, tidak henti-henti dia berdoa supaya emaknya tidak apa-apa. Risau betul . Emaknya memang ada penyakit darah tinggi. Jika berada dalam tekanan lebih sedikit, boleh menyebabkan darahnya memecut naik. Oleh sebab itu, Lia Hana cuba mengelakkan diri dari menjadi  punca masalah kepada emaknya. Sebab itu dia berusaha untuk menjadi anak yang mendengar kata. Tetapi kadang-kadang dia sedikit nakal dan tidak sengaja, tidak seperti abang Naim yang tidak pernah menyakitkan hati emak.
            Emaknya terbaring di atas katil, di temani si kecil Nawal di sisi katil. Lia Hana terus mencium emaknya, kemudian meletakkan tangan di kepala dan badan untuk merasa. Seperti doktor pula. Sejak dari semalam lagi dia bagaikan seorang  doktor.  Sehingga pandai –pandai menyatakan Azeem terkena appensitis. Nasib baik betul tekaannya. Jika salah , takkah terasa malu?
            “Panasnya badan emak. Abang Naim tak bawa ke klinik ke ?”
            Dia bertanya lembut.  Ingin mengambil hati seboleh mungkin. Maklumlah sudah seminggu lebih dia tidak menjengok orang tuanya.
            “Abang tunggu Lia lah. Nasib baik cepat sampainya. Jika tidak abang pergi dah”.
            Abang Naim menjawab. Entah bila dia masuk ke bilik emak pun Lia tidak perasan.
            “Tak payah lah ke klinik. Kejap lagi baiklah demam mak ni. Dah makan ubat dah”.
            “Tak boleh emak!”
            Kedua-dua anak makcik Jamalia menjawab serentak. Penyakit emak mereka bukan boleh dibuat main-main. Kena berjumpa doktor secepat yang mungkin. Ditakuti ada penyakit lain yang menambah. Selalunya begitulah. Mereka dua beradik sudah faham.  Lia Hana menolong emaknya untuk bersiap. Mereka akan membawa juga ke klinik, walau tuan punya diri keberatan
            Si kecil Nawal menyelongkar beg tangan besar Lia Hana. Belas pula Lia Hana melihatnya. Hari ini dia tidak sempat membeli coklat kesukaan anak buahnya itu, kerana terlalu tergesa-gesa hendak pulang. Hanya emak sahaja di dalam fikirannya.
            “Mak Ucu tak sempat belilah sayang.  Nenek kan sakit, Mak Ucu nak cepat. Nanti lepas   jumpa doktor, Mak Ucu  belikan ya!”.
            Lia Hana cuba memujuk. Nasib baik Nawal boleh menerima alasannya. Tidaklah dia merengek atau mengamuk. Menurut emak, Nawal ini menurun perangai Lia Hana semasa kecil, suka mengamuk! Abang Naim pula , selalu menegur Lia Hana, kerana suka membiasakan anaknya dengan makanan ringan dan mainan setiap kali balik. Lia Hana biasanya tersengih sahaja dengan bebelan tersebut . Baginya, jika Mak Ucu tidak belikan, bermakna Nawal tidak merasalah semua itu, kerana Abang Naim sekali-kali tidak akan memanjakan anaknya sebegitu. Alahai.....Kesian Nawal...Hendak makan coklatpun susah!
           
            Menurut doktor, tekanan darah emak sedikit tinggi dan di nasihatkan untuk lebih berhati-hati. Jangan sekali-kali membiarkan emak stress atau membuatkan dia runsing.
            Dalam diam-diam abang Naim membisikkan kepada Lia Hana, kebelakangan ini emak banyak memikirkan mengenai anak gadisnya yang seorang ini. Lia Hana faham sendiri, siapa lagi jika bukan dirinya yang membuatkan emaknya susah hati. Emak ni, kenapalah suka memikir yang berat-berat? Lia Hana tidak apa-apa sebenarnya. Sudah jarang berjumpa dengan Azeem sejak di tegur dahulu. Kecuali peristiwa semalam yang merapatkan mereka semula.
            Lia Hana akan memperkenalkan Azeem kepada emak dan abang Naim setelah dia sihat nanti. Tujuannya, supaya emak mengenali, dan tidak memikirkan yang bukan-bukan lagi. Dia bukan ada apa-apa pun hubungan istimewa dengan Azeem. Iya...ke?
            Di luar pengetahuan Lia Hana, emaknya bukan sekadar memikirkan tentang hubungan dia dengan Azeem. Dia percaya kepada ketelusan anak gadisnya. Juga yakin anaknya pandai menjaga diri. Perkara yang sering datang dalam fikirannya amat berat untuk di selesaikan seorang diri.  Dia tidak yakin Lia Hana bersedia untuk semua itu. Dia perlu mencari seseorang untuk membantu. Dan dia tidak nampak orang lain, kecuali Naim...