Umie Nadzimah Layan Blog

Umie Nadzimah Layan Blog

Tuesday, August 5, 2014

JUJURLAH NIKAHI AKU.... BAB 4 & 5



BAB 4
                        “EMAK!”.
Sekuat-kuat suara Zurin Asyura menjerit dari tingkat atas. Dengan bibir muncung sedepa dia berlari menuruni anak tangga mendapatkan Puan Azah yang  tercengang-cengang di bawa
                        “Emak, kenapa bilik Zurin tak siap lagi?”
                        “Bilik mana?”.
                        Hairan Puan Azah, bilik anak kesayangannya sudah dibersihkan, siap sembur Febreeze hampir sebotol lagi, apanya yang belum siap? Seharian dia buat sendiri semalam. Lainlah kalau Si Nurin yang buat, sudah tentu tak sebersih mana, sebab itu dia tak harap sangat.  
                        “Bilik Zurinlah! Bukankah Zurin  telefon mak nak  bilik besar tu ? Kenapa  Nurin dan adik masih ada di situ? Zurin tak naklah kongsi-kongsi bilik!”
                        “Laa...mana ada kongsi. Bilik anak emak  mestilah sorang-sorang. Nurin kongsi dengan adik , biarlah besar sikit biliknya. Dah lama kan dia orang guna bilik tu, sebelum Zurin pergi lagi? Zurin bukankah ada bilik sendiri dari dulu-dulu?”           
                        “Zurin tak nak bilik tu! Zurin dah cakap pada mak kan? Bilik tu kecil, dah tu pula kena share bilik air dengan bilik tamu. Zurin tak nak! Zurin nak bilik yang dia orang tinggal. Emak tak adil, bilik tu cantik , kenapa dia orang yang tinggal?”.
                        “Kasihanlah adik Zurin. Bilik tu besar sikit untuk dua orang”.
                        “Zurin tak kira, nak juga bilik tu. Jika tak Zurin nak tinggal dengan kawan Zurin di KL, tak nak tinggal sini”.
                        “Yalah...yalah , hari ahad  ni  mak suruh Nurin dan adik pindah bilik, tapi janji dengan mak jangan sekali-kali minta pindah keluar dari rumah ni. Zurin saja harapan mak, kakak kamu tak boleh diharap langsung”.
                        Wajah Zurin girang semula. Sudah lama dia mengidam bilik itu, lebih besar , ada bilik air sendiri, pemandangannya juga cantik, menghala hadapan rumah. Tidak seperti biliknya sekarang, menghadap rumah buruk Cina di belakang. Semak mata sungguh setiap kali jengok tingkap.
                        “Alaa mak, hari ni baru hari rabu, lambat lagi nak tunggu hari ahad tu. Tak boleh ke esok saja?”
                        Lama Puan Azah memerhati wajah si anak. Empat tahun di Australia, tidak sedikit mengubah perangai demand Zurin. Baru sahaja pijak kaki ke rumah, dia dah mula meminta dan menggertak. Namun, inilah anak yang buat hati dia bahagia. Pandang wajahnya sahaja hati Puan Azah merasa gembira, apatah lagi dengan suara-suara manjanya. Si adik bongsupun tidak punya kuasa begitu.
                        “Tapi esok adik sekolah, Nurin pula kerja. Macam mana nak pindah sayang?”
                        “Tak apa, Zurin boleh tolong pindahkan barang-barang dia orang. Tak perlu pindah perabot okey.”.
                        “Iya?”
                        “Iya...mak jangan risau dan tak perlu tolong. Zurin buat sendiri esok”. Zurin cium pipi emaknya sekilas, lantas berlari-lari pula memanjat tangga ke tingkat atas.
                        Nurin Asyifa yang  memasang telinga di tingkat atas cepat-cepat masuk ke biliknya. Sayu  hati. Sudah lama dia tinggal di bilik ini. Sejak Fatin berpisah tempat tidur dari emak, di sinilah tempat mereka berdua. Fatin takut tinggal seorang, sebab itu emak tetapkan dia sebilik dengan adiknya. Melepaskan tanggungjawab  ibu pada Nurin , pun iya juga. Segala hal ehwal Fatin , telah menjadi tugas Nurin selepas itu. Emaknya jarang peduli sangat. 
                        Belumpun satu malam balik , Zurin shallot telah melancar serangannya yang pertama. Selepas ini , Nurin kenalah menambah peratus ketabahan mentalnya. Empat tahun dia sudah bersenang lenang tanpa peluru Zurin, kini tiba masanya dia kena membina benteng  yang kuat. Tambahan saham Zurin makin tinggi, orang baru balik belajar luar negara, rupa pula semakin cantik kan, mesti la lagi eksyen .  Zurin yang beza umur hanya satu tahun dari Nurin, tak pernah pandai menghormati dia sebagai kakak. Setiap saat perangai dia sungguh menyakitkan hati.
                        Nasib baik ada dim sum yang dibekalkan Alan petang tadi. Dapat juga pujuk hati Nurin yang tercalar malam ini. Kunyah dim sum perlahan-lahan buat dia lupa sekejap fasal  sikap si adik yang teramat ‘baik’ padanya.  Sebab itu, setiap kali tahu Nurin bersedih, pasti Alan buatkan dim sum untuknya. Alan tu, tahu saja apa yang ada dalam hati Nurin.  Segala keluh kesah Nurin. Sayang ‘Abang Alan’!
                        Nyum...nyum...nyum. Bayangkan wajah   Alan buat hati Nurin disimbah bahagia. Alan yang kacak, hingga Nurin sikitpun tak hairan dengan aktor-aktor Korea yang digila rakan-rakan pejabatnya, lebih-lebih lagi rakan-rakan facebook. Dan  yang paling penting Alan tu sangat baik serta ambil berat fasal Nurin. Thumbs up banyak-banyak untuk Alan.



BAB 5
                        ESOKNYA, Nurin sampai rumah dari tempat kerja pada pukul sembilan  malam. Dia kena habiskan kerja-kerja audit akaun untuk sebuah syarikat perkapalan. Lagipun Nurin  lebih suka berada di pejabat bila mengenangkan wajah mengejek shallot terhadapnya. Tentu terherot-herot muka Zurin bila akhirnya menang merebut bilik  dari dia dan Fatin.         
                        Fatin Auni menerpa sebaik sahaja Nurin menongkat skuternya. Adik manja itu memeluk Nurin dan menangis teresak-esak.
                        “Kenapa  ni sayang?” Soal Nurin, walau dapat agak apa yang telah berlaku. Dia balas pelukan adiknya denga penuh rasa kasih.
                        “Barang-barang kita kakak, habis kena baling keluar”.
                        “Hurm...tak apalah. Nanti kakak kemaskan, jangan sedih-sedih , kakak kan ada? Kakak kuat untuk jadi bibik Fatin tau!” . Pujuk Nurin. Dia angkat dua tangan untuk tayang lengan seperti seorang body builder.
                        Fatin mula ketawa. Sikitpun kakaknya tak gagah.
                        Nurin pimpin tangan Fatin masuk ke rumah  dan mereka sama-sama melangkah  ke tingkat atas.
                        “Ya Allah, Ya Tuhan!”
                        Terjojol mata Nurin lihat barang-barang mereka berdua. Bersepah-sepah, dari muka pintu bilik lama mereka, yang kini telah rasmi menjadi bilik Si Shallot kurang asam, ruang rehat tingkat atas, sehinggalah ke muka pintu bilik baru . Berterabur semua benda.  Paling menyakitkan mata dan hati , Zurin sengaja susun baju-baju kecil Nurin membentuk satu garisan memanjang. Ada nota pula tu di hujungnya :
                        Sotong-sotong ni kalau dihumban ke laut, habis semua ikan mampos! Busuk!
                        Apa la punya taste, tak ada kelas langsung!
                        Kurang ajar betul! Suka hatilah orang nak pakai yang berkelas ke tidak! Benda dalam, siapa nampak? Kau tu lainlah , main tunjuk-tunjuk, tonjol-tonjol ,  kenalah yang berkelas. Bebel Nurin sekadar dalam hati. Dia tak mahu Fatin melihat sikap tidak baiknya. Dia ingin menjadi contoh kakak yang baik pada Fatin.
                        “Kan adik dah cakap tadi, kakak tak percaya. Itu yang adik sedih hati. Kenapa Kak Zurin tu jahat ? Tak macam kakak yang baik?”  Fatin mula hendak menangis semula. 
                        “Mana ada dia jahat sayang. Mungkin orang Australia main-main cara gini,  Kak Zurin tu mungkin hendak bergurau dengan kita aje”.
                        “Iya ke kakak? Macam permainan orang mental saja? Ni...adik dah tak larat nak kemas, homework cikgu bagi banyak hari ni”.
                        “Isk, tak apa adik. Kejap aje tu kakak kemaskan nanti, adik cuma duduk dan lihat saja macam Tuan  Puteri Hang Li Po”. Nurin cuit pipi adiknya yang comel.
                        Pintu bilik yang baru dibuka. Huh! Setahu Nurin, selama empat tahun bilik ini bersih dan kemas sahaja, emak selalu ambil berat fasal harta benda anak kesayangan dia. Alih-alih pula malam ini mengalahkan kapal   karam. Busuk betul hati perut Zurin ni, dari sejak dia lahir ke dunia ini, hinggalah umur 23 tahun , tak habis-habis dengan agenda jahatnya. Apalah dosa Nurin pada dia.
                        Nurin mulakan dengan mengemas katil. Cadar katil bilik lama yang digumpal-gupal Zurin dibentang atas tilam dan ditegangkan. Sebenarnya, katil di bilik ini lagi cantik dan baru. Entah kenapalah Zurin tak mahu , Nurin tak dapat memikir, entah-entah esok lusa dikerjakan emak supaya beli yang baru untuk bilik barunya.
                        “Dah siap!”. Nurin sengih pada Fatin. “Adik landing sini dulu eh, biar kakak buat yang lain pula”.
                        Dia tepuk-tepuk tilam untuk Fatin. Mata kemudiannya melerek pada kain baju yang berterabur  Hurm, mahu tak tidur malam ni. Pantang Nurin tidur dalam bilik berselerak, takut dapat mimpi ngeri. Mimpi kena cekik hantu ke ( semestinya hantu Si Shallot ), mimpi Zurin gantung diri dekat tali ke dengan mata terbeliak ataupun boleh juga mimpi emak gelek  dia  sepuluh kali dengan kereta kebal , di hadapan  popo yang meraung-raung.
                        Kalau mimpikan  Alan, best, 50 kali mimpi pun tak apa, lapang saja fikiran bila bangun tidur, sengih lagi ada. Nurin...Nurin, itu saja lelaki yang dia ada. Itupun sekadar abang angkat, bukan kekasih hati, apatah lagi suami. Kasihan Nurin. Nasiblah Nurin, jangankan lelaki, orang perempuanpun tak berapa nak kawan dengan dia. Agaknya malu kut, Nurin  tidak seperti orang lain.
                        Isk...sudah-sudah la mengelamun, kerja banyak menanti. Cepat buat, cepat boleh rehat. Mujur perut dah di isi  set Dinner Plate KFC di pejabat tadi. Tuan Zainal belanja. Bos besar Nurin tiba-tiba datang pejabat  pukul enam petang tadi. Agaknya buat spot check tu, nak lihat staf  mana yang rajin siapkan tugasan, ataupun nak lihat dia orang main-main ke tidak waktu kerja lebih masa.
                        “Hahaha, sukanya hati aku dapat perdajal kau. Pertama , aku akhirnya dapat juga bilik ni. Kedua, puas hati aku buat kau susah malam ni. Dah lama tak buat, rindu pulak!”
                        Semasa Nurin mengutip kain baju di luar, termasuk sotong-sotong kering yang berbaris tu, Si Shallot jahat ketawa dan  perli-perli dengan berlagaknya. Nurin buat-buat  tak tahu, malas layan . Perempuan gila , desis hatinya.
                        Melihat rupa Nurin yang bersahaja , Zurin jadi sakit hati. Letih dia buat jahat, tetapi perempuan cacat tu selamba sahaja.  Dia kemudiannya angkat sotong Nurin yang masih tertinggal lalu dilambung-lambung sambil ketawa-ketawa.
                        “Masa kat Aussie, inilah mainan aku dengan kawan-kawan mat saleh sana, tapi tak mainlah yang murah macam ni. Paling-paling kurang kami nak  baling-baling yang AUD 50. Yang macam ni , geli nak pegang. ”. Perli  Zurin dengan berlagaknya.
                        Nurin tahan hati jangan jawab apa-apa. Biar Shallot bertambah bengang bila dia tak beri reaksi .
                        “Hei perempuan! Aku cakap deng....”
                        Telefon bimbit Nurin yang masih dalam poket seluar tiba-tiba  berbunyi kuat. Sengaja Nurin kuatkan volumenya sebelum menunggang skuter masa  balik tadi.
                        Alan!
                        Abang Alan memang la hero Malaya. Namun bila dengar suaranya, hati yang tabah ini terus jadi tak tabah, mulalah air mata hendak luruh.
                        “Yien? Kenapa diam saja?”
                        “Ya...ya Abang Alan”.
                         Nurin langsung terlupa dia berada di hadapan Shallot busuk . Terperasan Shallot buntang mata dengar nama ‘Abang Alan’ disebut, baru Nurin tersedar, lantas dia masuk  bilik.  Zon bahaya. Shallot tu ada-ada sahaja idea jahatnya. Nurin dah faham dah, ribu-ribu kali terkena. Jadi kena hati-hati , ada-ada saja yang memerhati...
                        “Ni mesti ada yang tak kena kan?”
                        “Hurm , biasalah Abang Alan, bila dia sudah balik. Rasa nak keluar saja dari rumah ni”. Nurin mengeluh. 
            Dia duduk di sisi katil . Sambil merenung wajah Fatin yang sudah lena.
            “Tapi masalahnya abah  tak kasi menyewa di luar. Selagi masih di bawah tangunggannya”. Sambung Nurin.
            Jeda sebentar.
            “Jom kita kahwin!” . Alan bagi cadangan spontan.
            Nurin tak jadi  sambung sentap. Terus tergelak kuat. 
            “Gelak... gelak!”.
             Orang sungguh-sungguh , dia  gelak. Omel Alan dalam hati  di muka pintu  rumah buruknya. Yalah Alan, tak sedar diri langsung kamu tu, Tuhan tak ada, wangpun tak ada, ada hati mahu  kahwin dengan gadis sebaik dan sebagus Nurin? . Bebawa simpan diam-diamlah   niat tu Alan!
            “Okey, jom kita pi kahwin! Selesai masalah Yien. Hahaha”. Provok Nurin.
            Meimei...”. Suara Alan bertukar  perlahan.
            Tengok tu, tadi ajak kahwin, sekejapan saja terus  cancel , dah panggil meimei balik. Nurin hanya sesuai menjadi seorang adik. Mana ada lelaki yang serius hendakkan dia kan, malu masa sarung cincin.
            Meimei ...dah pindah bilik kan?”
            “ Ya Abang Alan. Bilik kecil, kongsi dua orang”.
            “Boleh  meimei  pergi ke tingkap sekarang?”.
            Bingkas Nurin bangun menuju tingkap ,segera  ikut arahan Alan. Entah apa ada di tingkap tu dia tak pasti. Selalunya Alan jika menyuruh buat sesuatu, mesti dengan alasan yang berbaloi.
            “ Okey, cuba pandang ke rumah Uncle Wong”
              Alan tengah senyum dan buat flying kiss di pintu rumahnya. Jelas dapat dilihat di bawah cahaya lampu kalimantang.  Rupa-rupanya dari jendela bilik ini, boleh terus nampak rumah Uncle Wong . Nurin tidak tahu selama ini. Dia bukan boleh masuk lama-lama ke sini sewaktu Zurin Shallot tiada dan langsung tak ada peluang  jika perempuan itu ada di rumah.
            “Nampak tak anak teruna Uncle Wong yang gourgeos tu ?”
                        “Hahaha. Nampak... nampak. Anak Uncle Wong macam tengah gatal je”
                        Happy tak ?”
                        “Tentu la Abang Alan. Boleh kita bersidang tiap-tiap malam”.
                        “Bagus kan?  Boleh buat meeting pintu~ tingkap , di bawah cahaya rembulan”
                        Nurin tertawa riang. Sungguh-sungguh dia suka. Bila mood sedih menyerang nanti, dia akan seru Alan ke muka pintu.  Dapat pandang wajah bahagia lelaki gentleman itu.
                        “Moralnya  dua-dua adik di atas sana jangan sedih-sedih tinggal dalam bilik kecil sebab dapat pandang abang handsome bila-bila masa suka. Tak kena bayar apa-apa, boleh lihat seberapa lama mau”.
                        Mengekeh lagi Nurin ketawa.
                        “Kau couple dengan Cina belakang tu ke?”
                        Zurin Shallot sergah sebaik sahaja Nurin mematikan talian telefon. Tak beradab langsung, main terjah je ke bilik orang tanpa salam, tanpa ketuk pintu.
                        “Mana ada. Orang sedar la diri orang  siapa...” . Akui Nurin jujur.
                        Zurin senyum sinis. “Tak . Tapi bercakap macam orang angau sakan. Manja-manja, gelak-gelak”.
                        “Abang Alan tu kawan dengan orang dari kecil, kami dah biasa macam tu”.
                        Zurin mencebik .“Kalau ya pun apa salahnya, memang padan sangat . Kau  kudung, sesuai la dengan apek papa kedana macam tu. Tak payah berangan la nak dapat jantan bagus-bagus. Ngap saja apek sepet tu sebelum terlepas”.
                        Zurin keluar dengan gelak macam orang gila selepas itu.

Sunday, August 3, 2014

JUJURLAH NIKAHI AKU ...Bab 3



BAB 3
                       
NURIN mematikan enjin skuter Honda merah jambunya di luar pagar. Perlahan-lahan dia menolak skuter tersebut untuk dipakir  bersebelahan dengan kereta Encik Arshad di porch.  Sengaja bersusah payah memerah keringat supaya  emak dan abah tidak menyedari kepulangannya dari tempat kerja .
                         Hari ini Nurin pulang sedikit awal dari biasa. Sengaja tidak buat kerja lebih masa. Dia merancang  untuk pergi ke rumah  Alan melawat popo . Semalam  Alan telefon , menyampaikan salam rindu popo. Nurinpun rindu juga pada popo, sudah dua minggu dia tidak melawat nenek  Alan yang lumpuh separuh badan itu.
                         Selepas  acapkali ditegur abah  dengan serius, Nurin  tidak berani lagi berulang-alik  ke rumah  Alan sesuka hati, sesedap rasa .Sebagai seorang anak, hendak tak hendak, dia kena patuh pada larangan abah.  Namun begitu , sesekali dia tetap pergi  secara sembunyi-sembunyi. Sedari kecil, hari-hari  Nurin   ke situ, jika tidak jengok rumah  Alan terasa harinya tidak lengkap , serba tak kena.
                        Setiap  ahli rumah tersebut sudah seperti keluarganya sendiri, malah kadang-kadang Nurin merasakan mereka lebih menyayanginya dengan ikhlas dan sepenuh hati berbanding keluarganya sendiri. Tidak pernah sekali mereka memandang rendah pada kekurangan  yang ada pada Nurin. Merekalah pembakar semangat untuk Nurin terus mengharungi hidup dengan tabah.
                        Nurin menyusup perlahan-lahan ke arah belakang rumah, menuju ke rumah  Alan, atau lebih tepat lagi rumah Uncle Wong.   Keadaan rumah Uncle Wong berbeza bagai langit dan bumi jika dibandingkan dengan rumah keluarga Nurin. Rumah Nurin, rumah  batu dua tingkat yang cantik rekabentuknya, sedangkan rumah  Alan hanya rumah lama, rumah papan dua bilik  dengan separuh batu di bahagian bawah. Uncle Wong membawa popo dan  Alan tinggal di situ sejak  Alan berumur 4 tahun lagi. Bermakna  sudah 24 tahun mereka berjiran, seusia  dengan umur Nurin sekarang.
                        Atas perbezaan itulah emak Nurin sedikitpun tidak terasa kewujudan keluarga Wong di belakang rumah. Mujur juga di belakang, jadi emak Nurin tidak bising-bising  membebel   kata pondok buruk itu menyakitkan mata. Jika di bahagian hadapan rumah, pasti dia selalu membingit,  malu pada kawan-kawan yang kononnya datin-datin dan pun-puan seri yang selalu datang bertandang. 
                        Sepuluh biji epal Fuji dalam beg plastik warna biru dijinjing tangan Nurin. Panjang leher dia menjengok ke dalam rumah. Pintu terbuka luas, bayang manusia sikitpun tak nampak.  Katil popo di satu  sudut ruang tamu kecil itu juga kosong.  Ke mana pula popo ni? Dia bukan boleh berjalanpun.  Alan pun tak nampak muka, selalu tu pantang  Nurin terjengul di muka pintu, tersengih-sengih dia menyambut. Nurin dah beritahu hendak datang masa dia telefon tadi. Tak best la, kalau Nurin datang orangnya tak ada. Bukan senang curi datang sini. Mata Encik Arshad tu susah nak tutup, mata Puan Azah lagi la dashyat, tajam tahap melampau, nampak saja silap Nurin, walau sebesar kuman.
                        “Taraaaa...” .
                        Satu lembaga tinggi serba putih dengan topi tinggi menegak di kepala tiba-tiba berada di hadapan muka Nurin.
                        “Ohh...hantu... mak hantu...pak hantu, eh apek hantu, apek..apek tua” .
                        Epal Fuji terlepas dari tangan, berterabur di lantai.
                         Abang Alan  mengekeh ketawa.  Lucu tengok wajah terkejut Nurin. Sangat la comel. “Apa la merepek...Abang Alan yang begini bergaya dikatanya hantu ”.
                        “Memang hantu. Hantu apek!”. Ulang Nurin  sedikit geram.  Alan suka buat dia sakit jantung. Dia bertinggung mengutip semula buah epal di lantai. Ni , kalau  lebam –lebam, tak sedap nanti, jaga  Alan dia kerjakan.
                         Alan turut sama mengutip buah tersebut. Tersenge-senget topi panjangnya ke arah Nurin.
                        “Apa ni Abang Alan, sakit la...” . Marah Nurin.
                         Alan sengih-sengih dengan muka nakalnya. “Dengar-dengar   akauntan kita  naik gaji, dapat bonus,  bawa buah epal je ke untuk popo?”. Usiknya dengan suara perlahan.
                        “Itu la Abang Alan, tak sensetif  langsung dengan apa yang  popo mahu. Bukankah popo paling suka  buah ni? Ada  cucu dia beli?” . Nurin angkat-angkat kening tanya.
                        “Kalau cucu lelakinya beli, popo tak pandang pun buah tu, dia makan buah  yang cucu perempuannya bawa saja, semua sedap katanya”. Balas  Alan, juga angkat-angkat kening mengusik.
                        Nurin jeling , dipukul  lengan   Alan dengan sebiji  buah epal di tangan. “Mengada”.
                          Alan ketawa kecil. Gembira jika bertemu Nurin, ada-ada saja yang buat hatinya tercuit. Sebab itu jika berhari-hari tak tengok muka, bukan saja popo yang rindu Nurin, dia lebih-lebih lagi, tak tertanggung rasanya.
                        “Abang Alan baru balik ke?” . Berkerut dahi Nurin, baru perasan yang lelaki tersebut lengkap dengan pakaian chefnya, dari kaki sampai ke kepala. Masa kena topi kejap tadi dia  tak terfikir pun. Biasanya  Alan salin uniform kerja kepada pakaian biasa sebelum pulang.
                         Alan sengih. Dia pusing-pusing badan di hadapan Nurin beberapa kali. Tujuan sebenar nak tayang baju dan headgear chef yang baru itu  . Dia baru sahaja menyarungnya , khas untuk Nurin lihat.
                        “Sudahlah tu pusing...peninglah!”.
                        Handsome tak?” .  Alan masih dengan mood  menunjuknya.
                        Handsome?  Alan kalau tak pakai baju pelik-pelik tu pun, dah sedia handsome. Rupa dia bukan macam apek cina yang chokia-chokia tu, dia ni tak macam orang cina, wajahnya ala-ala pan Asia . Dari mana entah dapat paras rupa yang elok tu, Nurin  tak berapa  pasti, kalau ikutkan rupa Uncle Wong, memang fail, apek habis! Tetapi, menurut   Alan, mama dia Minah Saleh, entah betul, entah ke  tidak ,sebab  Alan tu kekadang suka juga kelentong Nurin. Betul la kut sebagai jawapan kenapa  Alan menjadi seorang yang  kacak. Jika dia  daftar  ke agensi model, sudah tentu ramai yang berebut-rebut untuk ambil promosi barang mereka.
                        “Err...Abang Alan dah naik pangkat ya?”.  Nurin terfikirkan sesuatu bila lihat  kelainan dengan uniform  yang dipakai  Alan. Bajunya lagi bergaya dengan topi yang semakin tinggi.
                        “Perasan pun, ingat dah nak merajuk dah!”  Alan senyum puas hati.  Berita gembira ini mesti dikongsi dengan Nurin juga. Gadis itu sudah lama menjadi sebahagian dari hidupnya.
                        Ho keng ah (Waah...hebat) !”  Nurin bertepuk-tepuk tangan gembira. “Tahniah-tahniah Abang Alan. Nampaknya doa Nurin setiap kali lepas sembahyang dimakbulkan Allah”.
                        Terharu  Alan dengar, gadis ini memang tulus terhadapnya. Dia sangat-sangat berterimakasih pada Nurin yang terlalu baik itu.
                        Shiey shiey meimei , atas doa-doa untuk Abang Alan. Semangat Yien yang buat Abang Alan selalu nak kerja sungguh-sungguh”.
                        Nurin menyeringai nakal. “Boleh la Abang Alan menabung  lebih banyak duit untuk buka restoran kita kan...cepat sikit projek berjalan. Nurinpun berjimat sungguh-sungguh, tak mahulah hutang bank banyak-banyak , susah kita nanti, nak cover interest lagi.”  Kata Nurin ceria.
                        Mereka berdua berangan-angan untuk buka restoran makanan cina ‘halal’. Restorn yang dikongsi bersama. Sebab itu dua-duanya gigih menabung  sekarang ini.  Alan tidak mahu bekerja makan gaji selama-lamanya. Dia hendak berniaga sendiri. Dia yakin kepakarannya boleh digunakan untuk menjana  pendapatan yang lebih lumayan.
                         Alan balas dengan senyum hambar.  Dengan kenaikan pangkat sebagai Ketua Chef   Chinese Food, gajinya mencanak naik , malangnya minggu lepas doktor mengesahkan yang penyakit popo semakin serius dan dia kena menyediakan bajet bulanan bagi membeli ubat-ubat yang dicadangkan. Kiranya kenaikan gajinya tidak memberi apa-apa kesan,  dia masih tidak dapat menaikan kadar  simpanan setiap hujung bulan. Tak naklah beritahu Nurin perkara ini, kasihan gadis itu yang terlalu mengharap.            
                        “Tengok ama, itu dua-dua budak kalau jumpa, kita yang tua-tua ini tak ada  nampak, tak dihirau pun. Banyak sedih kan”.
                        Uncle Wong dan popo sudah agak lama duduk di atas katil bujang popo di situ. Tadi Uncle Wong memandikan popo di bilik air di bahagian belakang.
                        Popo  ketawa . Nampak giginya yang rongak-rongak. Ceria wajahnya dia bila nampak kelibat Nurin  berada dalam  rumah. Dia sangat sayang pada Nurin, sama seperti sayang pada cucu lelakinya yang seorang itu.
                        “Ala uncle, jangan merajuk nanti tak lawa. Bukan Yien tak nampak,  Alan yang kepoh-kepoh  menunjuk-nunjuk baju baru dia. Popo baru lepas mandi ya? Biar Yien siapkan popo ya uncle”. Pujuk Nurin.
                        Uncle Wong bangun dari katil untuk beri ruang Nurin berada di sebelah emaknya. Memang begitu sejak dulu, Nurin setiasa ringan tulang membantu . Dah tu pandai ambil hati mereka sekeluarga.
                        “Yien bawa buah yang popo pesan?”. Tanya popo perlahan-lahan. Dia tidak berapa fasih berbahasa Melayu, tetapi tetap menggunakannya demi Nurin. 
                         Laju Nurin angguk dengan senyum manis. Betul kata  Alan, popo akan makan banyak buah yang dibelinya , tidak buah yang dibeli  Alan atau Uncle Wong. Memilih betul popo, padahal rasa buah-buah tu sama sahaja.
                        “Bawa popo, nanti lepas pakai cantik-cantik boleh makan ya. Untuk meimei, Abang Alan dah siapkan dim sum tau”.  Alan ambil bungkusan epal Fuji tadi  untuk dibawa ke dapur. Niatnya untuk kupas dan potong cantik-cantik  dengan ukiran sekali untuk popo makan.
                        Hoyey...sedapnya!. Prawn dim sum kan?”
                        ‘Tak habis-habis demand. Udang mahal tau!”.  Alan jerit , kakinya melangkah  ke dapur.
                        “Kedekut! Abang Alan ...Nurin tak boleh lama-lama ya”. Nurin juga menjerit dari ruang tamu yang tak seluas mana itu. Sambil tu tangannya lincah menyarungkan baju popo. Lepas ini sapu bedak, sika rambut, siap!
                        “Tahu...dah ready  dah!”  Balas  Alan dari dapur.
                        Menggeleng  Uncle Wong dengan keletah mereka. Dia sudah biasa dengan keadaan begitu.  Sebab itu sunyi sangat kalau Nurin tak datang. Tak ada bising-bising dan suara gaduh-gaduh. Nak tunggu anak Alan...entah bilalah tu . Alan belum mampu lagi dari segi kewangan  untuk berumahahtangga. Lagipun nak kahwin dengan siapa , segak-segak Si Alan, teman wanitapun tak ada. Ada tak ada, tu ha yang di depan itu sajalah. Uncle Wong memang la berkenan sangat dengan Nurin untuk dijadikan menantu. Tak kisah walau berlainan bangsa dan ugama. Masalahnya tentu ditentang keras keluarga Nurin. Berkawanpun mereka tak benarkan , inikan pula berkahwin. Jangan berangan la Wong.
                        Uncle, ingat girlfriend ke, senyum sorang-sorang?”  Sapa Nurin. Dari tadi dia perasan Uncle Wong berwajah manis.
                        “Mana ada? Lu tu bila mau kahwin?”
                        “Mau kahwin sama siapa uncle? Jari empat, siapa mau?”. Nurin angkat tangan kanan yang tak cukup jarinya ke atas. Popo menariknya semula ke bawah. Tak suka Nurin menayang kecacatan kecilnya .
                        Uncle Wong hanya sengih. Dia jarang menyentuh fasal kekurangan Nurin. Tidak mahu gadis tersebut terus rasa rendah diri. Di mata Uncle Wong, itu saja yang Nurin kurang, yang lain semua tip top, cantik, baik, bijak , dan yang paling penting dia pandai buat orang bahagia. Bertuah  lelaki yang dapat memilikinya nanti. Apa yang lebih penting dalam hidup ini  selain dari rasa bahagia? Ada duit juta-juta pun kadangkala  tidak dapat membeli perasaan tersebut.
                        “Satu hari, Yien mesti duduk atas pelamin yang cantik bersama lelaki yang paling baik, yang sangat sayang sama Yien”.  Popo menyampuk. Bersungguh-sungguh dia berkata dengan bahasa baku.
                        Amboih popo, petang ini bahasanya mengalahkan sasterawan Melayu . Pandai pula sebut pelamin segala. Terror rupanya.
                        Mula-mula, masing-masing terdiam untuk dengar apa yang hendak disampaikan popo. Kemudian , semuanya tergelak  sakan  .   Alan yang baru masuk ke situ dengan tangan menatang dulang penuh makanan pun tergelak kuat.
                        “Amin-amin popo. Moga doa popo dimakbulkan Tuhan. Suatu hari nanti pasti  Yien akan bersanding atas  pelamin indah bersama lelaki yang sangat cinta padanya, yang akan menjaga Yien baik-baik sampai akhir hayat”. Tokok  Alan dengan suara yang begitu perlahan.
                        “Siapalah lelaki malang itu...” . Suara Nurin sedikit sedih. Tersentuh dengan harapan-harapan mereka. Setakat ini dia belum nampakpun lelaki yang ikhlas terhadapnya, kecuali lelaki yang bernama Alan Wong. Itupun  menganggap dia tidak lebih dari seorang adik perempuan. Panggilan meimei sendiri bermaksud ‘adik perempuan’, takkan pula Nurin hendak berangan yang lain-lain pula.
                        “Lelaki bertuah! Ada, lelaki itu pasti ada. Abang Alan yang tak ada Tuhan inipun yakin lelaki baik itu  ada untuk meimei Yien. Cuma masa saja belum tiba lagi”.
                        Nurin juih bibirnya yang comel. Yalah tu. Pandailah  Alan !
                        “Dim sum time!.  Alan mula mengalihkan  suasana.
                        “Buah time!”  Nurin capai sepotong epal , di suap ke mulut popo.
                         Alan buka pembungkus chopstick baru , lalu dia gunakannya untuk menyuap dim sum udang ke mulut Nurin. Nurin makan dengan wajah gembira.   Alan pandai  manjakan dia, dari kecil begitu. Kemudian  Alan guna chopstick lain untuk menyuapkan papanya  yang duduk di hadapan.
                        “Abang Alan dah bungkuskan untuk  Fatin, nanti Ayien bawa balik ya?”
                        Wajah Nurin terus berubah. Dia takut dengan amaran abah. Jangan beri Fatin Auni makan sebarangan. Maksud abah, makanan dari rumah belakang. Puas Nurin beritahu yang makanan dari rumah  Alan halal, abah tetap tidak percaya. Yalah, apa bukti Nurin kan?
            Popo seorang vegetarian tegar, Uncle Wong pula tidak makan haiwan terlarang itu sebab dia ellergik, mulut dia akan bengkak-bengkak jika makan. Abang Alan pula memang dari kecil hanya makan makanan yang Nurin makan sahaja. Sumpah dia tak pernah sentuh makanan yang orang Islam tak makan. Pengaruh Nurin sangat besar terhadap cara hidup  Alan. Walaupun dia pakar dalam masakan cina.
            Melihat perubahan riak muka Nurin, Abang Alan tahu. “Tak mengapa kalau Yien tak nak bawa balik, Abang Alan faham”.
            “Err...tak, tak. Nurin nak ! Nurin sorok dalam beg besar ni, abah tak nampak.  Nanti boleh makan dengan Fatin senyap-senyap  dalam bilik”. Nurin ketawa.
                        Abang Alan dan Uncle Wong juga ketawa. Kasihanpun ada dalam hati masing-masing. Nurin nak makanpun payah di rumah sendiri.
                        “Hari tu Yien beritahu , Zurin  Shallot tu dah nak balik  Malaysia terus. Dah habis belajar ke?”.
                        Adik Nurin, Zurin Asyura tu, Abang Alan gelar shallot atau bawang merah disebabkan perangai sengal yang tak makan saman terhadap kakak sendiri. Tak pernah sekalipun Zurin  bersikap baik pada Nurin. Mentang-mentang la dia cantik dan sempurna.
                        “Entah! Dulu kena extend satu tahun. Patutnya tahun depan la balik”.
                        “Abang Alan rasa dia fail tu,  dah tak dapat diselamatkan lagi , kena buang kolej.”
                        Bulat mata Nurin pandang  Alan.  Memandai je  Alan  serkap jarang begitu. Tapi boleh jadi juga. Zurin tu pergi Australia bukan betul-betul nak belajar, lebih kepada main-main je, menghabiskan duit emaknya. Habislah sebidang tanah emak  di Banting sana kena jual untuk tampung perbelanjaan Zurin di negara kangaroo tu. 
                        Dulu, masa Nurin mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan ditawarkan belajar dengan tajaan kerajaan ke New Zealand, bermatia-matian emak menentang. Kata emak, belajar tinggi-tinggipun tak guna, cacat juga, tiada siapa nak pandang. Tetapi, Zurin yang SPM sekadar cukup-cukup makan  itu nak belajar ke luar negara, sanggup emak bergolok bergadai menanggung.  Sedih hati Nurin bila mengenangkan.
                        Namun Allah Maha Kaya, Nurin belajar di UKM pun, berjaya juga dengan cemerlang, setiap semester meraih Sijil Dekan. Selepas tamat ijazah pertama dalam bidang Perakaunan, Nurin ditawarkan sambung ke peringkat sarjana. Sekali lagi Puan Azah mengamuk sakan membantah. Dia suruh Nurin cari kerja cepat-cepat, boleh bantu keluarga. Nurin akur.
                        “Teruklah meimei Abang Alan dikerjakan shallot nanti. Mesti makin mengada-ngada sebab belajar luar negara”.
                        Nurin sekadar senyum hambar. Terbayang juga apalah nasibnya nanti.
                        “Entah- entah , Yien balik ni dia dah ada di rumah”.
                        “Hish, Abang Alan ni, dua-tiga minggu lagilah! Sempat Yien nak bernafas dulu, sebelum semput dikerjakan bawang merah yang cantik jelita tu sampai lunyai ”.
                        Hahaha.  Alan ketawa. Dia memang suka mengusik Nurin. Comel!
                        “Yien  dah kena baliklah! Takut Puan Azah bad mood, teruk Yien malam ni”.
                        “Yalah”. Balas  Alan sepatah.
                        Semua penghuni rumah buruk itu memahami keadaan Nurin. Bagi mereka, dapat melihat Nurin sekejappun jadilah. Tak perlu tamak, takut nanti langsung tak dapat.  Menumpang kasih haruslah berpada-pada.
                        Nurin peluk popo, laga pipi kiri dan kanan.
                        “Hurm, popo wangi”.
                        Popo ketawa riang.
                        “Abang Alan, tak nak peluk ke?” . Usikan yang sama setiap kali jumpa.
                        “Penampar ada la”.
                        “Huih...takutnya”.
                        Zai jian popo, uncle, my Abang Alan”.  Ucapan terakhir Nurin dengan manjanya.
                        Take care Yien. Esok Abang Alan call ya. Apa-apa hal cepat-cepat  roger Abang Alan tau”. 
                        Alan mengiringi Nurin ke muka pintu.
                        Nurin angguk. Tak pesanpun, memang Nurin selalu kacau  Alan. Pada  siapa lagi dia hendak mengadu?
                        Tubuh Nurin diperhati Alan sehingga hilang dari pandangan. Berat dia hendak melepaskan Nurin  setiap kali jumpa. Itu yang dirasa sejak beberapa tahun ini. Adakah panggilan ‘meimei’ masih lagi sesuai digunakan?
                        Senyap-senyap Nurin menapak ke dalam rumah sendiri melalui pintu dapur.  Di ruang tamu, suasana sedikit bising dengan suara-suara yang kurang jelas butir bicaranya. Ini mesti mak-mak datin datang bergossip. Desis hati Nurin. Emak tidak suka dia bersalam dengan kawan-kawannya. Emak malu ada anak cacat.  Ini yang buat Nurin serba salah, hendak ke biliknya mesti melalui ruang tamu.    
                        Pedulikanlah! Nurin nekad . Kena leter satu malam, sudah biasa.
                        “Dah senja baru ingat nak  balik ?”.
                        Sergah Puan Azah dengan  garangnya. Di sebelahnya tersengih seorang gadis berpakaian sendat  dengan bahagian dadanya  menonjol  ke hadapan.
                        Nurin terpaku.
                        Betul telahan  Alan. Shallot sudah balik!
                        Habis la...