Umie Nadzimah Layan Blog

Umie Nadzimah Layan Blog

Tuesday, February 12, 2013

Tdak Pernah Sesal, Bab 16



                        Syed Azeem merenung wajah Lia Hana tidak berkedip. Jika dia tidak tahu prinsip gadis ini, sudah lama dipeluk dan diciumnya. Melepaskan segala rasa rindu yang terpendam . Tetapi gadis ini bukan boleh dibuat sembarangan. Takut nanti dia menjauhkan diri pula. Harapkan makin dekat,  sebaliknya pula akan berlaku.  Dia cukup tegas dengan aksara halal dan haram, dosa dan pahala. Gadis yang berprinsip.
                        “Helo....Encik Azeem!”.
                        Lia Hana melayang-layangkan dua tangan  putih gebunya di hadapan Syed Azeem membuatkan pemuda itu tersedar dari lamunanya.
                        “Kata nak bawa  pergi lunch, tapi kalau asyik masih dok  teringat amoi Hong Kong tu lagi, nampak gayanya tak bergeraklah kereta ni. Rugi pula Hana tak makan siap-siap tadi..”
                        Syed Azeem tergelak mendengar suara manja itu. Spontan dia mencuit pipi yang berlekuk di depan matanya. Puas di tahankan hati, tetapi tangan gatal juga untuk menyentuh gadis itu.
                        Lia Hana memberi jelingan tajam seraya melarikan muka sedikit. Kononnya seperti memberi amaran,   namun jauh di sudut hati, tercalit perasaan bahagia. Sungguh dia tidak boleh menafikan perasaan halus yang menguasai jiwanya kini terhadap Syed Azeem. Tidak terkawal lagi!
                        Sepuluh hari, cukup menguji perasaan masing-masing.
                        Dengan itu, sesampainya ke bandar kecil ini, Syed Azeem tidak membuang masa lagi, lansung  ke rumah Lia Hana untuk keluar bersama.
                        Gadis itu juga tidak berfikir panjang lagi, terus mengikut kata hati yang dilambung ombak rindu. Rasa bagaikan hendak mati jika  Syed Azeem lambat lagi kembali. Mati kerinduan!  Parahnya orang yang dipanah asmara. Kini dia baru merasakannnya. Seksa tapi sangat indah! Indah pabila ada getaran  yang mengalir di segenap urat sarafnya.
                        Syed Azeem  mula menggerakkan keretanya ke  arah utara.
                        My lady  Hana...”
                        Perlahan, tetapi cukup romantik tiga perkataan itu di pendengaran Lia Hana. Hati perempuannya  terpana! Wajah sudah merona merah.
                        “Hhmm....”
                        I really.....really miss you. Like...like   crazy....
                        Lia Hana diam terpaku. Sebenarnya diapuan rindu juga pada lelaki ini. Tetapi dia masih ada perasaan malu seorang gadis, untuk menyatakan apa yang ada dalam hati. Oohh...tidak pernah sekalipun dia meluahkan rasa rindu pada kaum Adam. Kecuali kepada Abang Naim! Itu dalam versi yang berlainan. Perasaan rindu terhadap saudara kandung lelaki. Bukan terhadap kekasih! Kekasih?  Eh....Azeem ini dikira kekasihnya ke sekarang ini? Lia Hana....tolong jangan perasan lagi....
                        Tangan kiri Syed Azeem telahpun diletakkan di atas kura tangan Lia Hana. Gadis itu tidak membantah!
            Buat pertama kalinya Syed Azeem memberanikan diri  untuk mengucup tangan lembut dan wangi itu. Setiap kali bertemu bau losyen berasaskan bunga-bungaan sentiasa mengiringi tangan  itu. Syed Azeem sudah maklum , kerana dari awal pengenalan  lagi, itulah haruman losyen yang digunakan. Dulu-dulu dia dia tidak perihatin sangat, tetapi sejak akhir-akhir ini bau itu sahaja sudah membuatkan dadanya bergetar. Membuatkan  jiwanya melayang.
            Dan segala-gala yang ada pada  gadis pujaannya membuatkan dia selalu hilang arah!  Itulah yang membuatkan dia merasakan bahawa  cinta sebenarnya telah muncul. Kali ini dia tidak akan melepaskan pergi begitu sahaja. Dia tidak mampu untuk hidup lagi tanpa gadis itu disisi.  Sungguh ! Kali ini benar-benar berbeza! Dia perlu berusaha untuk mengekalkan perasaan istimewa itu.
                        Lia Hana terasa sendiri apabila jari-jemarinya lama di bibir Syed Azeem. Perlahan-lahan dia menarik. Terasa pula berdosa merelakan perbuatan yang sebegitu. Tetapi di kebanyakan masa bersama Azeem, dia tidak dapat mengawal diri ! Lelaki ini acapkali membuatkan dia lupa diri. Lupa pada prinsip wanita terpuji.
                        Sorry...dear.  Saya betul-betul rindukan Hana.  Hana tahu? Keluar saja dari kapal terbang, saya dah tak sabar-sabar untuk balik ke sini. Kalau boleh saat tu juga saya nak lihat wajah Hana. Saya pun tak faham apa yang berlaku pada diri sekarang ni. Crazy... I really crazy..”.
                        Syed Azeem melepaskan segala yang ingin dikatakan.
                        Lia Hana membisu. Diapun begitu. Bagaikan orang sasau! Tetapi hanya di dalam hati sahaja pengakuan itu . Tidak mungkin bibir boleh melafazkan  untuk ketika ini.
                        “Hana....  rindu saya tak?”
                        Syed Azeem memandang tepat ke wajah  Lia Hana. Mata bersabung. Hati bagaikan  menyatu.
            Tanpa  sedar Lia Hana menganggukkan kepalanya. Hisshy....apahal kepala ni, boleh  terangguk-angguk pula. Leherpun turut sama bersekongkol. Hah! Semua sudah bersatu menyatakan kebenaran. Memang benarpun....Lia Hana merindui Azeem. Rindu sangat-sangat......
            Lia Hana mendengar Syed Azeem ketawa -ketawa. Lunak sekali.
            “Ini bermakna perasaan kita sama. Apa yang saya rasa, Hana pun rasa juga kan?  Sejujurnya, saya amat perlukan Hana  dalam hidup.  Rasanya tidak boleh tidak ....Boleh tak  beri saya peluang....my lady ?”
                        Hanya sinar mata yang sahaja menjawab segala soalan Syed Azeem. Namun bahasa mata itu sudah cukup untuk Syed Azeem terus tersenyum.
                        Lia Hana sebetulnya kehilangan kata-kata....Cukuplah bahasa tubuh sahaja yang memberikan jawapan.
            Aneh kan ? Biasanya dia yang keletah mulut apabila bersama , berbanding Syed Azeem. Tiba-tiba pula lelaki itu lebih dominan, dan mulut Lia Hana bagaikan terkunci..

                       
                        SEBAIK sahaja  selesai makan, Syed Azeem mengeluarkan sebentuk cincin belah rotan diperbuat dari emas putih  lalu dihulurkan pada Lia Hana.
                        “Pakailah! Sebagai tanda saya dah choop Hana”.
                        “Err...janganlah macam ni Azeem. Hana tak biasa. Lagipun  menerima cincin membawa makna yang tersirat...”
                        “Apa maknanya ? Bagi tahulah saya?” Mata Syed Azeem bersinar ingin tahu.
                        “Err.......”
                        Lia Hana kembali kehilangan kata-kata. Bertatapan dengan anak mata Syed Azeem , lagi membuatkan lidahnya bertambah kelu.
                        “Maknanya.... dengan rasminya kita sudah declare , dan hati Hana adalah milik saya, tidak boleh diberikan pada orang lain lagi. Betul?”
                        “Err....pandai-pandai je jawab sendiri...”
                        “Tapi betulkan ?”
                        Lia Hana senyum.
                        “Menurut orang-orang tua, kalau si gadis tersenyum , itu tandanya dia setuju..”
                        “Yalah .. tu. Orang tua mana yang cakap macam tu.....”
                        Lia Hana tertawa . Terasa lucu pula dengan keramahan Azeem.  Pandai pula bermain kata-kata.  Ya....Lelaki ini sudah banyak berubah!
                        Syed Azeem juga turut tergelak. Dia juga tidak menyangka boleh mengeluarkan ayat-ayat cinta sebegitu. Sehingga si dia yang mulut mencecer  pun boleh menjadi kelu. Kuatnya pengaruh perasaan cinta. Sehingga  boleh merubah sikap seseorang  seratus peratus.
                        “Eh.....Cincin tu bukan untuk dipandang-pandang saja tau ! Untuk di sarungkan ke jari yang comel tu”.
                        Syed Azeem terus mencapai jari manis Lia Hana dan terus disarungkan cincin yang dibelinya.
                        “Padan...pun. Suspen juga saya , takut tak kena dengan Hana .Saya gamble aje beli.  Ole-ole dari Hong Kong ni, suka tak?”
                        “Terimakasih . Tapi Hana rasa tak layak untuk hadiah mahal macam ni”
                        Mata Lia Hana tertancap pada cincin yang terletak elok dijarinya. Mesra betul ia di situ. Nampak sangat ‘ngam’.
                        Mata Azeem juga begitu. Hatinya juga mengatakan  betapa cantiknya cincin itu berada di situ.  Rasa bangga menyelinap dalam diri, perasan yang dia bijak memilih yang terbaik untuk bakal permaisuri hati.
                        “ Siapa kata Hana tak layak ? Bagi saya Hanalah yang paling layak kerana berada paling dekat di hati dan jiwa saya. Boleh beri saya peluang untuk terus mengenali, menyayangi dan menjaga Hana, mulai saat ini sehingga selama-lamanya ?”
                        Pinta Syed Azeem. Ada kejujuran pada suara dan pandangannya. Sememangnya dia bersungguh-sungguh mengungkapkan kata-kata tersebut.
                        Perlahan Lia Hana mengangguk. Dia rasa anggukan itu  amat  ikhlas, tanpa sebarang paksaan dari sesiapa. Ahh....berakhir satu penantian. Terjawab jua segala teka-teki. Si dia memang mendekatinya dengan matlamat yang baik.  Untuk saling sayang menyayang, lengkap melengkapi.  
                        “ Terimaksih.....my lady. Thank you so much. Saya takkan sia-siakan peluang ini”.
                        “Err....kenapa pilih Hana ?”
                        “Entah....saya sendiri tak ada jawapan. Yang saya tahu, saya ni bagai orang sasau , angaukan Hana. Agaknya itulah yang dinamakan cinta ya?”
                        “Tapi Hana takut  tak layak pada keluarga Azeem. Cara hidup kita jauh berbeza”.
                        “Jangan sebut lagi pasal layak tak layak ni. Kita manusia kan sama sahaja. Tidak ada yang bertaraf istimewa. Darah semua sama... merah.  Hanapun tahu kan ? “
                        “Itu kata Azeem, tapi realiti sebenar kadang-kadang tidak semudah yang seperti yang kita fikirkan”.
                        “Hhmm....rasanya, jika kita berfikir mudah , maka semuanya akan berjalan dengan mudah kan? Hana sendiri pernah jumpa bonda , dan tahu bagaimana layanan dia pada Hana . Sungguh istimewa tau! Bonda tidak pernah melayan kawan-kawan saya yang lain sebaik itu”.
                        “Iya ke? Kiranya Hana ini gadis bertuahlah ya ?”
                        “Ya...satu dalam seribu agaknya bagi bonda , tapi bagi saya satu dalam sejuta. Selepas ni saya tak mahu dengar lagi pasal perbezaan status kita. Deal ?”
                        Si gadis hanya memberikan senyuman manja....

                        Di dalam kereta , sebelum memulakan perjalanan pulang, Syed Azeem mengambil sebuah kotak hadiah   sederhana besar  dari kerusi penumpang bahagian belakang. Di letakkan atas riba Lia Hana.
                        “ Eh...apa lagi ni Azeem?”
                        Lia Hana tercengang-cengang.
                        “Bukalah...”
                        LV hand bag? Untuk Hana ?”
                        “Untuk siapa lagi ? Takkan untuk bonda, bagi pada Izara pula?”
                        “Err... mahal ni . Izara tak boleh terima”
                        “Kalau tak terima....saya tak hantar balik”
                        “Azeem ugut  ke ?”
                        “Kalau nak balik jalan kaki , tolaklah pemberian tu.....”
                        “Yelah...yelah...terimakasih banyak-banyak. Appreciate very much. Sebenarnya Hana dah lama teringin nak pakai  ni, tapi rasanya tak mampu. Tapi merasa juga yang dijual di  Petaling Street tu”.
                        “Eh...jangan biasakan diri membeli di situ. Nanti kalau tertangkap sama tauke kedai dia....nahas muka comel  tu kena masuk lokap tau!”
                        “Iya ke?”
                        “Iya....”
                        “Pandai...la mainkan orang”
                       
                        Azeem tergelak. Terhibur dia dengan jelingan penuh menawan itu.
                        “Saya beli hand bag tu sebab dia besar. Hana kan suka stail yang macam tu ? Lagipun dalamnya banyak compartment. Beg Hana saya tengok macam beg doremon, segala benda ada.  Jadi  dengan beg baru ni Izara boleh letakkan telefon, dan segala macam barang mengikut comparmentnya. Taklah tercari-cari bagai, kalau telefon tu berbunyi, sampai saya kena call semula beberapa kali ”
                        “Perli segala! Ikhlas  tak ni ?”
                        Syed Azeem tergelak lagi.  Giliran dia pula  mengangguk-angguk kepala.
                        “Ikhlas....ikhlas”
                       
                        Di hadapan rumah Lia Hana, sebelum pintu kereta dibuka, Syed Azeem sekali lagi tercari-cari sesuatu di bahagian belakang kereta. Akhirnya dia menghulurkan sebuah beg kertas dengan jenama telefon terkenal.
                        “Untuk Hana...”
                        “Lagi ? Apa ni ? Telefon?”
                        Syed Azeem mengangguk. Matanya dikecilkan , memerhati dan menanti apa tindakbalas gadisnya.
                        “Izara kan dah ada handphone ?”
                        “Tapi dah nazak kan? Ini I-phone lah dear. Aplikasinya banyak.  Lebih memudahkan Hana. Taklah selalu asyik nak bergantung pada komputer riba tu saja. Dengan telefon ni, masa dating dengan saya pun Hana boleh baca e-mail.  Tapi yang lebih penting, ianya lebih memudahkan perhubungan kita”
                        “Err....Azeem, apa-apapun alasannya, Hana rasa it’s too much, Hana tak boleh terima.Sungguh!”
                        Lalu  Lia Hana meghulurkan balik beg kertas tersebut. Dia kena bertegas kali ini. Dia tidak mahu terhutang apa-apa dengan lelaki tersebut. Perhubungan mereka baru bermula dan dia tidak mahu digula-gulakan dengan harta kekayaan yang dimiliki lelaki tersebut.
                        “Hana terima Azeem ikhlas. Bukan kerana apa yang Azeem miliki. Jadi harap Azeem faham”
                        “Saya tahu. Hana tak bagi tahupun saya dah faham prinsip Hana. Tapi saya pun ikhlas. Semua ini tidak ada nilainya, berbanding peluang yang Hana beri pada saya. Kehadiran Hana, memberi  kesan yang  amat mendalam dalam hidup  saya. Memberi cahaya dan sinar baru. Dan saya rasa inilah pertama kali saya jatuh cinta yang sebenarnya”.
                        Lia Hana terkedu. Waahh....Syed Azeem memang pandai mengayat sekarang....
                        Maka terpaksalah dia menerima hadiah-hadiah yang mahal itu...

Monday, January 28, 2013

Tidak Pernah Sesal, Bab 15



             “Lia...kau pergi jogging tak esok ?  Aku nak ikut ?”
               “Hah?”
 Lia Hana memandang sahabatnya dengan muka serba tanda tanya. Betul ke tidak telinganya yang mendengar ini.  Minah ni mengigau ke ?
“Hoi Lia...yang mulut kau tu ternganga kenapa? Tak lawa tau tak rupa kau macam tu .Aku nak ikut kau pergi jogging esok boleh ?”
“Bo..boleh. Tapi betul ke ? Kau tak mimpi ke ni ?”
“Hello...aku belum lena lagilah...nak mimpi apa ? “
“Yelah....kau mana pernah nak ikut aku beriadah. Terkejut bataklah aku ni” 
Salina tersenyum-senyum . Dia menyembunyikan rasa malu. Memang betulpun apa yang diperkatakan Lia Hana. Sebelum ini dia memang tidak menunjukkan minat lansung untuk melakukan aktiviti menyihatkan badan.
“Aku nak  kuruskan badanlah Lia ”
“Hah?”
Salina tersengih. Dia sudah menjangka tindakbalas kawannya itu. Mata yang sudah sedia besar dan cantik itu akan menjadi dua kali ganda saiznya.
“Aku nak kuruskan badan. Nak diet cara sihat. Nak cantik!”
Salina menguatkan suaranya. Pertama supaya kawannya itu percaya, kedua adalah ingin melindungi rasa malu dengan azam barunya. Maklumlah....selama ini dia tidak pernah kisah dengan semua itu. Sebab dia lebih menyintai makanan  daripada bentuk badan yang cantik. Apa dia kisah! Tembampun tembamlah....janji makan sedap!
“Err...Lina, boleh aku tahu apa sebabnya kau tiba-tiba saja nak tukar penampilan? Dulu masa kau tergila-gila kat Azeem tu, tak pula kau kepoh dengan  badan  kau yang istimewa ni ?”
Wajah Salina yang biasanya selamba itu, boleh pula merona merah. Seperti ada sesuatu yang luar biasa sekarang ini yang tidak diketahui sahabatnya.
“Saja....aku rasa nak  nak kurus je..Tak larat rasa bawa badan yang berat ni”.
“Ye ke ?  Ke ada sebab lain yang aku tak tahu Lina ? Kau dah pandai berahsia dengan aku sekarang ni eh?”
“Mana ada rahsia apa-apa. Aku memang dah kurangkan makan sekarang ni. Kau saja yang sibuk , sampai  dah tak jaga  kebajikan aku lagi”
“Aku sibuk? Setahu aku kau yang terlebih sibuk sekarang ni. Kalau tak keluar, 24 jam dengan telefon bimbit tu ha....kadang-kadang nak pandang akupun kau  dah tak ada masa. Ada tika, aku terasa tau...kau macam dah tak nak layan aku lagi macam dulu-dulu . Kenapa Lina ? Sampai hati kau tak nak kongsi dengan aku...ni”.
“Tak ada apa-apalah! Kau tu yang terasa sendiri saja...”
“Ya...lah, orang dah tak nak kongsi dengan kita lagi sekarang ni....”
Lia Hana pura-pura berkecil hati. Dia bangun untuk masuk ke dalam bilik. Dengan Salina, taktik ini ada kalanya berkesan. Kemungkinan besar segala rahsia akan terbongkar nanti.
“Err....Lia, janganlah merajuk! Aku sebenarnya segan nak bagi tahu kau. Aku..aku dengan Faiz.....”
Lia Hana segera memberhentikan langkah pura-puranya itu. Matanya mencerlung pada Salina. Dengan Faiz ? Biar betul?
“Kenapa kau dengan Faiz ? Ada yang aku tak tahu ke?”
“Err....aku....aku ”
Salina menaikkan dua-dua jari telunjuknya di hadapan Lia Hana.
“Kau orang berdua couple ?”
Salina mengangguk. Malu-malu.
Lia Hana sudah mengigil menahan tawa. Sungguh dia tidak menyangka kali ini. Patutlah kedu-duanya nampak lain macam sahaj sejak akhir-akhir ini.
“Sejak bila Lina?”
“Alaah...baru je lagi..”
“Kau serius ?”
Salina mengangguk . Dari matanya yang bercahaya itu, Lia Hana nampak kawannya itu memang bersungguh-sungguh kali ini. Seperti ada keikhlasan terpancar dari hatinya.  Nampak cahaya bahagia. Mungkinkah itu wajah  orang yang dilamun cinta ? Agaknya,
“Faiz sungguh-sunguh ke ?”
“Dia yang buka mulut  dulu. Tapi aku pun ada perasaan yang sama pada dia. Kami dah rancang untuk bertunang pun”
“ Iya ? Serius ? Kau betul-betul pasti?”
“Aku pasti sangat-sangat. Kau masih tak percaya ke ?”
“Aku bukannya apa. Kau kan minat pada orang macam Azeem. Tiba-tiba dengan Faiz pula . Aku  tergamam la...”
“Sebenarnya Lia, aku dah sedar lama dah....aku dengan Azeem tu ibarat pungguk rindukan bulan je. Boleh dilihat tapi tidak boleh  di dapat. Takkanlah Azeem sudi pada orang yang macam aku ni. Kalau dengan kau lainlah! Walaupun harta  tidak setaraf, sekurang-kurangnya rupa dan pelajaran kau setanding dengan dia. Aku ni apa yang ada untuk dipertaruhkan. Semua kosong.  Tapi Faiz pun okay kan ?”
“Iya...Lina. Faiz memang okay sangat-sangat. Sikap tanggungjawab dia, ugama dia, semua bagus. Beruntung kau Lina. Harap kau jaga dia baik-baik. Aku doakan semuanya akan jadi baik lepas ni”.
Salina tersenyum bangga. Memang itu yang dia lihat ada pada Faiz. Walaupun pemuda tersebut muda darinya tiga tahun, tetapi tidak menjadi penghalang padanya kini.
“Esok nak jogging sama  boleh kan ? Azeem tak pergi sama kan?”
“Dia tak ada kat sinilah. Pergi Hong Kong. Kemain bersungguh-sungguh kau ya? Sanggup menahan nafsu makan demi abang yang tercinta....”
“Entah...aku rasa aku rela nak buat semuanya.  Err...Lia, aku tengok mamat Azeem tu macam angau habis dengan kau . Kau orang pun dah ada apa-apa ke ?”
Lia Hana  hanya mengjungkit bahu.
“Kau jangan jual mahal sangat Lia. Azeem tu lelaki cukup sempurna di mata perempuan. Semua perempuan yang kenal dia mesti akan terbayang-bayang untuk dapat dia. Antara layak denagn tidak aje”
“Aku ni layak ke Lina....dengan Azeem tu ?”
“Eh...apa tidaknya ? Kau dengan dia bagai pinang dibelah dua tau! Sama cantik, sama padan, ada rupa ada gaya”
“Itu kata kau. Tapi aku takutlah Lina. Azeem tu cara hidup berbeza dengan aku. Dia sudah terbiasa dengan cara high class , gaya orang  kaya dan bos-bos. Aku ni biasa-biasa saja. Kami banyak berbeza sebeanrnya”.
“Tapi Lia, perbezaan yang sebegitulah yang boleh menyatukan kau orang kan? Aku tahu Azeem tu mendekati kau sebab apa yang ada pada kau, bukan kerana status. Apa yang dimiliki kau tu yang menjadi daya tarikan pada dia. Dari pandangan mata dia saja aku sudah nampak, dia dah angau sangat pada kau Lia”
“Amboi.....kau sekarang dah pandai banyak ya? Maklumlah...orang dah selangkah lebih dari aku”
Salina tergelak. 
“Belum  banyak  lagi pengalaman aku, tapi cukup untuk membuatkan dunia aku terasa cukup indah tau! Kau tu takkan tak rasa lagi kot ? Aku tengok mamat biul tu layan kau bagai nak rak . Takkan tak istihar apa-apa lagi Lia ?  
 Lia Hana hanya tersengih. Hhmm....dia sendiri belum ada jawapan yang pasti. Mereka memang rapat sejak akhir-akhir ini. Terlalu rapat! Melebihi dari hubungan sahabat. Kadang-kadang dia sendiri ngeri bila mengenangkan keakrabannya dengan Azeem.
Setiap hari mesti berjumpa, walaupun sekejap pun tidak mengapa. Setiap jam  telefon bimbit wajib berbunyi menandakan ada mesej dari pemuda tersebut. Paling tidakpun bertanya apa yang sedang dilakukan ?  Dan Lia Hana cukup merasa bahagia apabila terlihat sahaja mesej itu dari si buah hati pujaannya. Sepatah perkataanpun , sudah cukup membuatkan hatinya bergetar suka. Terasa diri diberi perhatian dan disayangi.
Sudah seminggu si dia berada di Hong Kong. Tetapi setiap hari tidak pernah gagal untuk menghubunginya, walau dengan cara apa sekalipun . Azeem mesti memperuntukkan masa walau sekejap untuk dirinya.   
Rindu di hati hanya tuhan sahaj yang tahu.  Rasa serba tak kena bila tidak dapat berjumpa dengan tuan punya badan. Resah gelisah!

**********
                        DI BILIK  hotel bertaraf lima bintang yang terletak  di tengah bandar kepulauan Hong Kong,  Syed  Awaludin  asyik memerhatikan gelagat anak lelaki tunggalnya. Sepanjang hampir seminggu berkongsi bilik dengan anaknya, dia dapat  melihat dengan jelas perubahan ketara yang berlaku pada kelakuan anaknya. Jelas berbeza dengan Syed Azeem sebelum ini.
                        Maka, betullah sebagaimana yang selalu diperkatakan isterinya, Tengku Adurah,  Syed Azeem sekarang telah nampak hidup dengan baik dan gembira. Sudah banyak tersenyum, malah kadang-kadang kelihatan melampau pula apabila anaknya boleh tersengih-sengih seorang diri. Kot ya pun sudah boleh tersenyum, jangalah berlebih-lebih! Nanti kalau sudah terbiasa begitu, dicop orang kurang siuman pula.
                        Sudahlah  dia hanya mempunyai seorang anak lelaki. Tiada yang lain! Dengan Syed Azeem itu sahaja dia menggantungkan segala harapan dalam memperbesarkan empayar perniagaan keturunanannya. Dua orang anak perempuannya, kelihatan seperti kurang berminat. Selama ini Syed Azeemlah yang menjadi tunjang   peyambung kekayaan  dan nama keluarga. Kepada anaknya itulah diletakkan sepenuh tanggungjawab.
                        Mujur juga Syed Azeem ini dijadikan tuhan sebagai anak lelaki yang baik. Sentiasa patuh pada arahan orang tua. Jika A kata mereka, maka A lah yang dilakukannya. Setakat ini, Syed Awaludin cukup berbangga dengan sikap anaknya. Syed Azeem tidak pernah mengecewakan dia dan Tengku Adurah. Walau kadangkala Syed Azeem kelihatan kurang bersetuju dengan apa yang mereka tetapkan, tetapi dia tetap patuh, tidak pernah membangkang. Ya....dia memang anak yang yang teramat baik!
                        Namun, perubahan sikap Syed Azeem kebelakangan ini, sedikit sebanyak membuatkan fikirannya menjadi gusar. Dia tidak boleh membuang begitu sahaja dengan apa yang disaksikannya. Masa depan legasi keluarga terletak sepenuhnya di bahu anak lelaki tunggal itu. Jadi , apa yang berlaku dalam diri anaknya, dia perlu memberi perhatian yang lebih, supaya generasi Al-Barakbah  terus terpelihara kemuliaannya. Tidak dicemari dengan campur aduk orang-orang yang tidak berkenaan, terutama dari golongan kebanyakan, yang entah tidak diketahui asl usulnya.
                        Syed Awaludin pasti anaknya itu tengah dilamun angin asmara bersama seorang perempuan. Ahh.....dia sudah tua dan terlalu banyak pengalaman hidup. Sekilas ikan di lautan, dia sudah tahu jantan betinanya.
                        Sepanjang bersama dengan Syed Azeem di sini, dilihat anaknya tidak berenggang dengan telefon bimbit. Jika berbual pula, suaranya romantik berbisik-bisik. Syed Azeem lebih suka berada dibilik hotel jika tidak ada temujanji perniagaan. Tidak seperti sebelum ini jika  ke luar negara, anaknya suka berjalan-jalan melihat tempat orang. Kali ini amat berbeza.
             Ada tidak ada keluarpun, anaknya cuma pergi membeli-belah beberapa barangan kulit untuk orang perempuan. Mungkin untuk bondanya dan Syarifah Azeera. Kedua-dua perempuan itu memang  kaki barangan berjenama, dan ianya boleh didapati dengan agak murah di Hong Kong berbanding di negara sendiri. Atau  Syed Azeem ada juga membelikan kepada perempuan lain ?  Mungkin juga. Ahh....itu yang menambahkan kebimbangan hati Syed Awaludin!
            Dulu, dia ingatkan Syed Azeem kembali rapat dengan Sharifah Zalia, setelah anak sahabatnya itu kembali solo. Namun tekaannya meleset, apabila walid Sharifah Zalia, Syed Hanafi menafikannya. Menurut Syed Hanafi, anaknya tidak pernah menghubungi Syed Azeem lagi selepas pemuda itu dikecewakannya.  Sehingga kini mereka tidak pernah berhubungan lansung. Itu Syed Hanafi pasti.Sharifah Zalia amat rapat dengan uminya, dan segala rahsia anak perempuannya dapat dikorek melalui isterinya itu.  

            Jawapan itu yang menambahkan kerunsingan kepala Syed Awaludin. Jika Syed Azeem berkawan semula dengan Zalia, dia amat-amat menyokong. Itu yang diidamkannya. Sharifah Zalia adalah satu-satunya zuriat Syed Hanafi yang ada. Gabungan anak mereka berdua akan membuatkan empayar perniagaan Syed Awaludian semakin berkembang dengan gahnya.
            Syed Awaludin tidak pernah kisah dengan apa yang telah dibuat oleh Sharifah Zalia dahulu. Baginya, itu semua adalah ragam orang muda yang belum matang, dan mereka sebagai orang tua perlu bersedia dengan kemungkinan yang begitu. Kemarahannya pada keluarga Syed Hanafi hanyalah beberapa hari sahaja. Dia memutuskan untuk kembali menyambung silaturahim demi hubungan perniagaan dan gelaran ‘Syed’ yang dimiliki bersama. 
            Tetapi tidak bagi Syed Azeem rupanya....
            Entah dengan gadis mana anaknya menjalinkan hubungan ? Dia perlu siasat. Tidak boleh membiarakan hubungan ini berterusan jika dengan orang yang tidak sesuai. Salasilah keturunan Al-Barakbah perlu dijaga rapi. Bukan sebarangan orang boleh memasukinya.
            Dalam diam melihat gelagat anak lelakinya, Syed Awaludin bertekad untuk mula bertindak sekembalinya ke tanah air nanti......