Umie Nadzimah Layan Blog

Umie Nadzimah Layan Blog

Sunday, October 21, 2012

Tak Pernah Sesal, Bab 8



HAIRAN  Lia Hana. Pagi-pagi lagi Azeem sudah menelefonnya. Dia tak  ada kerja sangatkah ? Ehh! Lupa pula dia. Azeem bukankah bos besar kilang?  Siapa boleh marah dia ? Lainlah jika  dirinya, kerja dengan orang. Ada bos berperingkat-peringkat lagi. Walaupun jawatannya  pengurus, masih ada ketua diatasnya. Diatas ketuanya ada bos lagi, yang masih dikawal oleh seorang bos lagi  . Ada berbagai-bagai ragam bos lagi yang perlu ditangani.
                        Teringat dia pada Wanee . Bingit   telinga  dibuatnya bila gadis itu  terjerit-jerit  marah  kat telefon sebab Lia Hana tidak memberitahunya  yang Azeem itu adalah tuan punya kilang perabot yang besar  gedabak  tu. Tentu dia dapat tahu dari Salina.   Punyalah selamba dia memanggil si Azeem  itu abang....abang. Buat malu sahaja. Jika dia tahu, tentulah dia akan lebih bersopan dan tidak lepas laku. Habis ? Nak bersopan pada orang tertentu sahaja ke ?  Pada orang yang banyak duit ? Namun dia tahu ,  Wanie seorang yang baik, cuma teruja lebih sedikit sahaja semasa pertama kali berjumpa si Azeem tu. Agaknya semua gadis begitu, jika dilayan jejaka yang nampak hebat sebegitu.
                       
            Sedang Lia Hana  leka menyiapkan laporan mingguan yang berbaki sedikit sahaja lagi, telefon bimbitnya berdering lagi. Panggilan  dari orang yang sama. Nasib baik bosnya , Mr Calvin ke Kuala Lumpur,  jadi tidaklah dia rasa tidak selesa untuk melayan panggilan peribadi. Apa lagilah  yang hendak dicakapkan lelaki  ini ?
                        Dia  ni tak ada kawan lain ke hendak bercakap  ? Selama bertahun di sini, takkanlah tidak bergaul dengan orang lain ?  Pekerja-pekerja kilangnya bukankah  ramai ?. Ada berbagai-bagai bangsa dan rupa . Lelaki, perempuan, yang cantik, seksi, semua ada,   Tidak mungkin tiada seorangpun boleh menjadi kawannya.   Tetapi takkanlah pula bos bergaul dengan pekerja-pekerjanya kan ? Ada sempadan di situ.  Hei...biarlah... hal orang . Jarinya segera menekan butang menerima panggilan .
                        Hello....Hana, you tak kerja ke ?”
                        “Kerja..... Kenapa?”
                        “Habis......Tak nampakpun kereta you ?”
                        “ Ohh.....Saya hantar servis di Toyota”.
                         Dari mana pula lelaki  ini tahu keretanya tiada di tempat parkir?  Teringin pula hendak menyiasat , siapa yang yang menyampaikan berita.
                        “Ye ke ? Siap pukul berapa ? Saya hantar you...”
                        “ Err....Tak payahlah. Nanti Lina boleh tolong hantarkan”
                        “ You nak bonceng skuter ? Eh....Jangan, bahaya tu!. Nanti saya jemput.  Pukul berapa?” 
            Tegas suaranya kedengaran di telinga . Apa bahayanya bonceng skuter, bukannya jauh sangat. Alasanlah tu nak tunjuk kereta mewahnya!
                        “Susahkan you lagi?”
                        “ Tak pernah  rasa susahpun......Kita kawan kan?”
                        “ Yelaah...... Kita kawan.....pukul lima boleh?”
                        Great!. Jumpa you nanti”.
                       
                        Termenung seketika. Apa alasan akan diberikan kepada Salina. Mesti  muncung lagi minah ni. Anginnya baru sahaja elok dua tiga hari ini. Jika tahu, pakwe yang di chupp keluar dengan dia, kemungkinan besar muka yang manis akan bermasam balik. Azeempun satu, sibuk  hendak menolong, kenapa?. Tapi diapun sama sahaja, kenapa tidak berkeras menolak ? Entahlah.....Dia selalunya menjadi lemah untuk mengatakan tidak pada lelaki ini. Hatinya seperti selesa sahaja untuk menerima.


                        SEPERTI mana yang diduga, sesampai sahaja di rumah, Lia Hana disambut dengan muka kelat yang tentunya  menyakitkan hati.  Mata Salina terpaku pada peti telivisyen bagai  menerobos masuk kedalamnya. Bukan menarikpun apa yang ditayangkan. Sekadar klip video yang selalu diulang tayang. Bahasa tubuhnya seperti dalam keadaan amat marah. Sedikitpun tidak menghiraukan kehadiran teman di sisi.
            Hah! Datang balik penyakitnya. Azeem punya fasal lagilah!  Namun Lia Hana rasa bersalah juga. Bukankah Salina dengan beraninya telah berterus terang telah ‘booking’ si Azeem . Dia yang menyakitkan hati  si teman  sebenarnya.  Justeru itu, dia tidak boleh menyalahkan     satu pihak sahaja. Diapun menyumbang kepada situasi begini.
            Jika  sekalipun perasaan Salina yang dikira tidak munasabah itu, tidak dibalas oleh Azeem , dia tidak seharusnya melakukan perkara yang boleh membangkitkan kemarahan temannya. Seharusnya dia lebih menghalusi perasaan gadis itu. Atau boleh juga menolong  memberi peluang sedikit sebanyak. Mana tahu, nasib berpihak kepada Salina. Jodoh, bukankah di tentukan Allah SWT?   Kepalanya mendapat idea bagi menggembirakan hati yang walang itu.

                        “Lina, kita makan luar ya ? Azeem nak belanja. Lepas solat manghrib nanti dia ambil. Beriya-iya dia suruh aku ajak engkau. Ikut..... eik?”
                        “ Iya ? Betul ni .... Lia ?” Serta merta wajah Salina bertukar riang.
                        “Betul. Takkan aku nak main-main pula?”
                        “ Ke mana ?”
                        “Entah....Dia kata, nak cuba mee udang kat Kuala Sepetang tu. Selalu keluar  dalam tv tapi tak pernah pergi cuba sendiri pun , walaupun dekat saja”.
                        “ Eh....Kalau macam tu aku nak pergi bersiap-siaplah, takut lambat pula nanti. Terima kasih Lia, sebab bagi aku jalan.... ”.

                         Lia Hana terjeda.  Matanya menjeling pada jam di dinding .Bukankah masih awal lagi ?. Baru pukul enam  lima belas minit petang Sejam lebih lagi ke waktu maghrib. Apa yang  nak disiapkan sangat diri tu ?  Salina sudah semakin pelik!
                        Dia kenal sangat denga sikap Salina. Perlakuan begini  boleh di kategorikan tidak normal. Biasanya, marah-marah Salina, boleh dikawal lagi dengan senda gurau . Dia boleh bekata apa sahaja, walau dengan gaya bahasa kasar sekalipun, tidak menjadi halangan kemesraan mereka berdua. Tapi semenjak dua menjak ini, sahabatnya sudah berubah!

                        Teringat  akan  tugasnya  belum selesai ! Terpaksa pula menghantar SMS kepada Azeem , meminta kebenaran untuk membawa Salina sekali. Dengan alasan kesian pada temannya yang tinggal seorang. Namun, dia juga akan lebih tidak selesa  jika berdua-duan dengan lelaki itu . Tambahan pula jalan menuju ke Kuala Sepetang teramat sunyi dan sedikit gelap pada waktu malam. Adanya Salina, akan menyelamatkan berbagai keadaan yang tidak terduga.
                        Tadi, semasa menghantarnya ke Pusat Servis Toyota, Azeem  yang beriya-iya meminta dia menemaninya makan mee udang di situ. Oleh kerana hari sudah ke penghujung petang, dia bersetuju untuk pergi selepas solat maghrib. Tidaklah terlalu tergesa-gesa. Terlupa pula tentang keadaan perjalanan yang tidak berapa sesuai bagi berdua-duan  lelaki dan perempuan.
                        Tidak kisahlah apa yang mamat itu akan fikirkan. Janji dia selamat, dan Salina gembira. Emaknya selalu mengingatkan , jaga diri. Jaga diri baik-baik. Jangan suka-suka hati keluar dengan lelaki . Kalau berdua, yang ketiga itu syaitan. Berbagai perkara tidak elok mungkin berlaku.  Batas pergaulan kena dijaga. Lihat apa yang berlaku pada kebanyakan remaja sekarang. Kerana tidak menitik beratkan batas pergaulan inilah, banyak bayi-bayi tidak berdosa di buang sana sini.  Merata-rata tempat. Lebih teruk daripada anak haiwan. Sungguh memalukan!.

                        Mesejnya seperti biasa, jika dihantar cepat sahaja berbalas. Jika dikilang tempatnya bekerja, digelar pekerja  yang efisien . Cepat sahaja tindak balas!.
                       
Azeem: Tak ada  masalah dear. Jangan you cuba elak diri cukup !
                       
            Itu di antara sikap pemuda ini yang di ketahuinya setakat ini. Tidak suka bertangguh-tangguh. Cepat  membuat keputusan. Suatu sifat kepimpinan yang nyata! Dan penuh keyakinan dengan kata-katanya. Tidak ada ‘uk’ dan  ‘ek’. Sikap teragak-agak  yang kebanyakan sebati dalam diri orang melayu. Satu lagi sifat ketua yang ada pada lelaki ini adalah, jika dia kata itu, maka itulah akan jadi. Dia akan memastikan bahawa kata-katanya diikuti. Walaupun nada bahasa lembut, maksudnya penuh arahan, menyebabkan orang yang mendengar  terpaksa akur. Itu antara rahsia kejayaan orang berniaga agaknya! Mungkin diajar oleh bapanya dari kecil lagi .
                        Semakin mengenali lelaki ini, Lia Hana  terasa semakin seronok pula . Sebentar  kemudian, lamunannya dikejutkan dengan suara Salina. Muncul dengan tiba-tiba dari biliknya.
                        “Lia....Kau rasa aku patut pakai baju apa.. eh?”
                        Tidak terjawab Lia Hana dengan pertanyaan itu.  Perlu mengambil masa sedikit untuk berfikir. Kerana tidak sangka yang Salina akan bertanya sebegitu. Penting sangatkah baginya ? Mungkin ya kot! Dia tidak merasai apa yang tengah dialami oleh temannya.
                        “ Lia ? Kau dengar tak?”
                        “ Dengaar.....Pendapat aku, pakai yang biasa-biasa ajelah. Bukannya pergi tempat hebat sangatpun untuk  melaram lebih-lebih. Kedai mee udang tu, macam kedai makan biasa aje”.
                        “Alaah.....Lia, kenapa dia tak bawa dinner kat hotel. Boleh aku pakai  cantik-cantik”.
                        “ Kalau dinner kat hotel, dia tak ajak kita temankan kot Lina. Agaknya hari-hari dia makan di hotel, jadi dah jadi biasa pada dia. Itu yang aku agaklah......Akupun tak tahu sangat pasal mamat ni. Lepas ni kau siasatlah. Kaukan ada bakat wartawan?”.
                        “ A’ah...la Lia. Patutnya, aku kena  mula mengenali dia lebih mendalam. Sebab aku rasa suka sangat pada dia. Aku bertekad, aku akan berusaha pikat dia sampai dapat Lia. Aku betul-betul gila pada mamat tu”
                        Sekali lagi Lia Hana terdiam dek kata-kata kawannya. Inikah Salina yang aku kenali dari kecil ? Kenapa jadi macam ini ? Terpusing seratus lapan puluh darjah pemikirannya. Rasa seperti tidak percaya. Padankah lelaki itu dengannya? Takut nanti  ada yang kecewa. Kasihan pula dia rasa pada Salina .Tinggi benar angan-angannya.
                        “ Kau janganlah harap lebih-lebih Lina. Kita tak tahu apa-apapun tentang dia sebenarnya. Entah-entah dah ada anak isteri kat Kuala Lumpur tu. Orang banyak duit ni, kita kena hati-hati. Panjang akal mereka. Kita ni perempuan...”.
                        “Yelah....yelah....Aku tahulah tuu....”


                        TERSENGIH-sengih Lia Hana keseorangan. Dia berbaring-baring di atas katil, melayan fikiran sebelum tidur. Malam ini tidak tergerak hatinya untuk ‘online  bersama abang BFM.  Biarlah abang BFM rehat, dari mendengar cerita-cerita hariannya. Kenangan makan  mee udang  bersama Salina dan pakwe chuppnya sungguh mencuit hati . Seronok dia menjadi pemerhati gelagat dua manusia itu.
                        Azeem, bukanlah lelaki sembarangan. Walaupun Lia Hana tidak tahu asal-usulnya, tetapi melalui bahasa tubuh dan tingkah lakunya, dia tahu Azeem  tidak begitu selesa menjamu selera di kedai mee udang yang ala-ala biasa itu.
                        Opps....Bukannya ala-ala biasa sangat, kerana kedai yang Lia Hana bawa mereka tadi adalah yang terbaik diantara puluhan kedai makan yang ada di situ. Dekorasinya nampak lebih ekslusif berbanding premis-premis  lain sekitar Kuala Sepetang itu.. Pintu masuknya di hiasi dengan sebuah kapal besar, di mana pengunjung juga boleh memilih tempat duduk di situ.  Malah sinki cuci tangannya pun sungguh menarik dan cantik. Lain dari yang lain.
                        Keadaan kebersihan di kedai tersebut boleh dikatakan baik juga, walaupun tidaklah sebersih mana, jika dibandingkan dengan kafe di hotel. Namun, mungkin  bagi Azeem, ianya  masih tidak mencapai spesifikasi yang membolehkan dia untuk menjamu selera tanpa rasa teragak-agak.  Tambahan pula dengan layanan yang sedikit kelam kabut, membuatkan  di mempamerkan wajah kurang selesa.
                        Paling menggelikan hati Lia Hana, semasa mereka tengah menghayati keenakan mee udang yang dibanjiri dua belas ekor udang besar bagi setiap mangkuk untuk seorang, seekor kucing datang menggesel-geselkan badan ke kakinya.  Reaksi Lia Hana biasa sahaja . Sekadar kucing, bukannya cicak, biawak, buaya, atau yang paling di dia takut si ular!.
                        Namun, dia nampak perubahan pada wajah Azeem, selepas kucing tadi pergi dari kakinya. Mungkin kucing tersebut menggesel-gesel ke kaki lelaki itu pula. Dengan segera, Azeem berhenti dari makan. Ada separuh lagi baki makanan di dalam mangkuknya.  Lia Hana faham, bagi orang yang terlalu menjaga tentang pemakanan, mereka menganggap kedai makanan yang ada kucing adalah tidak bersih . Herm....Cerewetnya!

                        “Ada kucing..la..you”.
                        Azeem berkata perlahan, menghalakan pandangannya kepada Lia Hana , selepas menterbalikkan  sudu dan garpu di dalam mangkuk, tanda sudah selesai makan.
                        “Iya...?”
                        Lia Hana pura-pura terkejut. Namun dalam hati, dia mengekek ketawa. Tinggi sangat ‘standard’ hidupnya.
                        Sorry la.... Kalau you tak selesa di sini. Tapi sini is the best place tau! Ramai pelancong datang. You tengoklah nombor pendaftaran kereta yang parkir di tepi jalan tu, kebanyakan datang  dari luar negeri  Perak. Macam nilah hari-hari. Ramai orang”.
                        It’s okay.  Sebenarnya I ni cerewet sedikit. Mudah kena diarrhoea”.
                        “Ooh.....Kalau you kena esok, saya bayar  bil  klinik , okay!”
                        Meledak ketawanya keluar. Tidak disangka-sangkalah pula . Rona wajahnya bertukar merah.  Nampak makin kacak! Ala-ala orang arab pun ada mamat ni. Macam mat saleh pun ada sikit-sikit. Patutlah Salina terpikat gila!.

                        Itu cerita tentang si jejaka, cerita tuan puteri pisang berangan yang seorang lagi pula, juga tidak kurang melucukan. Gelihati. Rasa simpati pun ada. Maklumlah, walau apapun , Salina itu tetap kawannya sampai bila-bila , best  friend forever.
                        Sudahlah solekan yang dikenakan pada wajah, nampak sedikit berlebihan, kurang sesuai dengan destinasi, pantas pula kakinya melangkah untuk  duduk di hadapan, bersebelahan Azeem. Selamba habis!  Lia Hana buat biasa sahaja. Sememangnya dia tidak kisahpun! Duduk kerusi belakang lagi bagus. Kereta mewah pula tu . Bagai terasa jadi mem besarlah pula!.
                        Namun, tindakan  pantas Salina itu bagai tidak mudah diterima Azeem. Nampak sangat dia kurang selesa. Matannya asyik memandang cermin pandang belakang, mencari-cari wajah gadis yang melayan bualnya, dan menunjukkan jalan yang harus dituju.
                       
                        Lucunya, semasa makan, Salina begitu berusaha mengawal ayunya. ‘Control’ ayu habis !. Perlahan-lahan dia menyuap mee ke mulut. Tidak ada lansung bunyi sudu dan garpu berlaga. Kalau di rumah, atau jika bukan makan  dengan Azeem, jangan haraplah dia untuk bersopan santun begitu. Tambahan pula jika mengadap udang besar, makanan kegemarannya. Kasihan pula dia. Terliur melihat udang yang tidak dapat diratah habis. Segar pula tu! Malu punya pasal,  di depan pakwe chupp la katakan! Bukankah dia sudah bertekad untuk memikat si jejaka itu ? Jadi dia kenalah berkorban mulai sekarang.

                        He..he..he, Azeem, dengan cara hidupnya. Salina pula nampak sangat lakonannya. Jadi seperti peliklah pula. Tidak kena lansung kedua-dua manusia ini. Azeem-Salina, rasanya tak padan sangat kot! Tetapi jika Azeem-Hana, nampak macam serasi ke?. Hish....Apa merepek ni ? He…he…he. Bukankah dia inginkan lelaki seperti Abang Naim ?

3 comments:

  1. Aduiii... kesianlah dgn Salina.. takut tengok dia 'over' sukakan Azeem... tak sedar ke yg Azeem tu sukakan Lia? Nanti sendiri malukan diri sendiri sebab pretend jadi somebody else, bukan diri dia sebenar.. :-) mujurlah Lia ok ke, cool & steady... thanks, kak umie.. :-)

    ReplyDelete
  2. alamak....
    ada orang nak masuk line la pulak...
    habis la azeem...

    pape pun.. thx kak umie... nak lagiiiiii

    ReplyDelete
  3. oooo tidak,salina sudah mula menggerunkan saya...rase nye azeem memg x selesa dgn salina...isyh over la plak salina nie...

    ReplyDelete