“Assalamualaikum. Puan Ibu Azeem ke?”
“
Iya. Saya bonda Azeem . Siapa ni ? Zalia ke ?”
“ Err…Bukan puan. Saya
kawan Azeem, Lia Hana. Cuma nak bagi tahu puan mengenai Azeem”.
“Kenapa dengan Azeem ?”
“ Begini puan. Azeem di
Pusat Rawatan Taiping sekarang. Dia baru sahaja selesai pembedahan appendik.
Alhamdulillah , dah selamat, doktor bagi tahu tak ada apa-apa yang perlu
dibimbangkan”.
“Iya ke ? Auntie tak tahu pun ? Bila operation nya ? Kesiannya anak bonda”
“ Tengah malam tadi
puan. Sakit di office . Saya bawakan ke hospital”.
“Terima kasih banyak
…..siapa tadi….nama anak ni ?”
“ Lia Hana, Puan”.
“A’a….Lia Hana. Terima
kasih banyak. Azeem sorang-sorang di sana. Nasib baik ada yang membantu. Pagi
ini juga auntie akan bertolak ke
sana. Terima kasih sekali lagi kerana membantu dan memaklumkan”.
Lega rasa perasaan Lia
Hana setelah memberitahu keluarga Azeem tentang keadaan anak mereka. Walaupun
dia keletihan kerana tidak tidur lansung menguruskan Azeem, hatinya merasa puas
kerana dapat menolong kawan yang di dalam kesusahan. Sepanjang malam dia berada
di hospital tersebut. Dia terasa berat untuk menghubungi keluarga Azeem pada
waktu malam. Pukul enam pagi, barulah dia berbuat demikian, kerana kebiasaannya
orang sudah bangun untuk solat subuh.
Faiz masih menemani Lia
Hana, sehinggalah ke pagi. Selepas meguruskan pendaftaran masuk Azeem semalam, dia menghantar Hasrina
balik ke rumah menggunakan kereta Lia Hana, dan kembali semula ke hospital.
Tidak tega rasanya meninggalkan Lia Hana keseorangan menguruskan hal Azeem,
walaupun dia tidak mengenali lansung pemuda tersebut. Walaupun pemuda yang
sakit itulah saingan terhebatnya untuk mendekati Lia Hana secara peribadi.
Disebabkan hatinya yang sememangnya baik, dan suka menolong orang, dia tidak
mengingati semua itu.
Selepas solat subuh di
surau, Lia Hana menghantar Faiz ke kilang untuk mengambil keretanya. Lia Hana
balik ke rumahnya untuk mandi dan menukar pakaian. Dia kemudiannya bergegas
semula ke hospital untuk melihat dan menjaga Azeem. Dia merancang berada di
situ, sehinggalah keluarga Azeem sampai. Kasihan Azeem.Sekurang-kurangnya dia
dapat membantu semasa ketiadaan keluarganya di sisi.
Niat
hati untuk memberitahu Salina di batalkan kerana bilik temannya itu masih gelap
dan berkunci. Agaknya Salina tidur balik selepas solat subuh tadi. Faham benar
Lia Hana dengan tabiat teman serumahnya itu di hari minggu. Dia akan SMS
sahajalah dari hospital nanti.
Selepas dua jam di bedah
, Azeem di masukkan ke wad biasa. Dia masih tidur semasa Lia Hana keluar tadi dan belum juga
bangun apabila gadis itu sampai semula.
Lia Hana duduk di kerusi bersebelahan katil Azeem. Oleh kerana keletihan
berjaga sepanjang malam, sekejap sahaja dia terus terlena di sisi Azeem, dengan
kepalanya terlentuk di birai katil.
Tidak berapa lama
kemudian, dia terjaga disebabkan kedudukan badan yang kurang selesa. Azeem telah pun bangun, tengah
memandangnya. Entah dari sejak bila. Tersipu-sipu Lia Hana memberikan senyuman.
Terbalik pula siapa yang jaga siapa.
“ You okey tak Azeem ?”
“ Okey…..agaknya. Dah
tak sakit bahagian itu lagi, Cuma sakit bekas bedahlah sikit.
Hana…..terimakasih banyak ya. Kesian you, tak tidur dari semalam”.
Perlahan sahaja suara
Azeem. Matanya tidak lepas-lepas dari wajah Lia Hana. Lia Hana sekadar
mengangguk. Tidak mahu melayan Azeem supaya terus bercakap , kerana dia masih
lemah. Lalu dia bersandar di kerusi , dengan tujuan untuk melelapkan mata lagi.
Sekejap saja lagi pun jadi. Tangan
kanannya berada di sisi katil.
Sampai juga hajat Lia Hana untuk terlelap
sekejap. Azeem hanya terbaring diam memerhati. Azeem mencapai tangan Hana. Di
genggamnya kejap. Entah kenapa dia rasa seperti jatuh kasih terhadap Lia Hana
saat ini . Perasaan itu semakin
memuncak. Kasihnya bercampur dengan perasaan bersalah kerana telah menyusahkan
gadis itu sepanjang malam semalam.
Lia Hana sedikit kaget.
Tidak pernah mereka bersentuhan kulit sejak berkawan. Dalam keadaan begini
pula, Azeem teringin untuk melakukan begitu. Dia cuba menarik tangan dari genggaman
Azeem , tetapi tidak dilepaskan. Akhirnya Lia Hana membiarkan sahaja perlakuan
Azeem itu, memikirkan mungkin dia perlukan sokongan kerana kesakitan luka pembedahan.
“Hana…..Terima kasih”.
“Dahlah tu….Tadi kan dah
cakap. Kalau sekali lagi ucap, Hana tak terima tau!. Eh..Azeem
perlukan apa-apa ke ?”
Azeem hanya
tersenyum pada Lia Hana. Kemudian dia
menggelengkan kepala, yang maksudnya tak perlu khidmat gadis itu kecuali
membiarkan tapak tangannya di pegang Azeem.
Lia
Hana gelisah . Dia bangun dan perlahan-lahan menarik tangannya. Oleh kerana
Azeem tidak dapat mandi lagi pagi ini, Lia Hana akan mengelap Azeem di mana
yang perlu dengan tuala lembab. Malu juga dia hendak berbuat demikian. Tetapi
jika dia tidak menolong, siapa lagi yang boleh di harapkan? Tugasnya akan berakhir bila keluarga Azeem sampai
nanti. Buat masa sekarang, biarlah dia memberikan servis yang terbaik. Lagipun,
Azeem telah banyak menolongnya beberapa kali sebelum ini. Inilah masanya untuk
dia membalas balik budi itu dengan ikhlas.
Azeem pun rasa malu juga bila Lia
Hana mengelap badannya. Tidak biasa diperlakukan begitu. Dia yang sentiasa
gagah seperti tidak berdaya pula saat ini. Namun di dalam hati penuh dengan bunga-bunga
bahagia. Dia begitu suka sekali dengan perbuatan gadis ini terhadapnya. Jika
tidak berupaya beberapa hari lagi pun tidak mengapa. Kerana kegembiraan yang
diperolehi terasa berlipat ganda.
“Hana lupa bagi tahu, barang-barang
peribadi Azeem ada dengan Hana. Dan pagi
tadi Hana guna telefon Azeem untuk call
keluarga Azeem. Pagi ini mereka bertolak dari KL. Agaknya kejap lagi sampai lah
tu”.
“Ya? Hana dapat cakap dengan bonda
Azeem ?”
“A’ah. Bonda Azeem lah kot! Hana call yang nama ‘Bluv Mum’ tu. Dia dah ngaku Azeem anaknya . Takkan girl friend pula kot?”
Azeem hendak ketawa tetapi ditahannya kerana terasa
sakit.
“Iya lah tu, bonda Azeem. Mana ada
orang panggil girl friend , mum ?. Thanks Hana!. Lama saya tak jumpa bonda.
Rasa rindu betul”.
Lia
Hana sekadar mengangguk. Di dalam kepalanya memikirkan tentu Azeem ini
berketurunan darah di raja. Sebab itu memanggil ibunya bonda. Tetapi semasa mendaftar nama Azeem semalam,
dia perasan nama pemuda ini ada pangkal Syed di hadapannya. Mungkin ibunya yang
berdarah raja. Selama ini , dia tidak tahu pula salasilah keturunan Azeem.
Ya…lah, dia berkawan dengan Azeem kerana merasa selesa, bukan kerana harta,
pangkat atau keturunanannya. Dia tidak pernah mempersoalkan itu semua selama
ini.
Selepas membantu
Azeem apa-apa yang patut, Lia Hana duduk
di kerusi, melayan Azeem berbual. Azeem sengaja tidak mahu memejamkan matanya,
kerana ingin mengambil peluang bersama
Lia Hana. Perasaan mengantuknya kerana ubat penahan sakit yang diberi , di
tahan seboleh-bolehnya. Perasaannya amat riang dapat bersama Lia Hana.
Ditakuti, dia tidak mempunyai peluang lagi selepas ini. Maklumlah, gadis itu
akan kembali sibuk, mana ada masa untuknya nanti.
Tengahari
itu, Lia Hana amat cemas apabila
menerima panggilan abang Naim, memberitahu emaknya jatuh di bilik air. Lia Hana
meminta Salina menjaga Azeem, sementara menunggu keluarganya sampai.
“Alaah Lia, aku bukan
tak nak, tapi aku tak pandailah nak jaga orang sakit ini”.
“ Tak ada susahnya Lina.
Kau duduk aje tepi katil dia tu. Kejap lagi emak dia sampailah. Dia orang dah
dekat tu. Aku emergency ni. Nak balik
kampung tengok keadaan emak aku. Boleh ya Lina ? Lagipun, inilah peluang kau
untuk tackle si Azeem tu ? Bila lagi?
“Yelah….yelah. Nanti aku
datang. Kau tunggu hingga aku sampai ya”
“Okay. Tapi cepat sikit.
Aku betul-betul risau pasal mak aku ni”
Salina, yang pada
mulanya teragak-agak , sampai juga dalam jangka waktu yang singkat. Dia mahu
sebenarnya, tetapi malu. Itu telahan Lia Hana. Walau apa pun di kepala Salina,
Lia Hana tidak peduli pada waktu ini. Yang penting ada orang temankan Azeem,
dan dia dapat balik menjenguk emaknya secepat yang boleh.
Setelah
Lia Hana pergi, Azeem terus memejamkan mata yang ditahan-tahan sejak tadi. Sekejap sahaja, dia seperti tidak
sedarkan diri.
Salina
hanya duduk memerhati. Inilah masanya dia memandang Azeem puas-puas dari jarak
dekat. Hatinya beribu-ribu kali menyatakan
Azeem sungguh tampan. Kulitnya putih kemerahan, hidung mancung, kening
terletak cantik. Aahh….Bolehkah dia memiliki tubuh yang satu ini? Rasa tidak tercapai dek badan. Rasanya, dia
amat tidak layak. Tidak payah mencubapun dia tahu, dia tidak akan dapat. Saranan
Lia Hana tempoh hari, tidak perlu dia fikirkan lagi. Dia tidak sanggup untuk
menyatakan pada pemuda ini segala yang terpendam di hati. Tambahan pula, sejak
akhir-akhir ini dia mula menyedari siapa
dirinya berbanding dengan gading bertuah
ini.
Apa
yang dikatakan Lia Hana sebelum ini, memang ada benarnya. Status Azeem dengan
dirinya tersangat jauh. Sepatutnya, dia tidak berangan-angan untuk jatuh cinta
pada pemuda itu. Terasa malu pula di hati kerana terlalu berterus terang pada
Lia Hana dan Wanee. Hanya dua orang itu sahaja yang tahu rahsianya. Mujur juga.
LIA
HANA terus menerkam ke bilik emaknya sebaik sahaja sampai di rumah kampung. Sepanjang perjalanan tadi, tidak
henti-henti dia berdoa supaya emaknya tidak apa-apa. Risau betul . Emaknya
memang ada penyakit darah tinggi. Jika berada dalam tekanan lebih sedikit,
boleh menyebabkan darahnya memecut naik. Oleh sebab itu, Lia Hana cuba
mengelakkan diri dari menjadi punca masalah
kepada emaknya. Sebab itu dia berusaha untuk menjadi anak yang mendengar kata.
Tetapi kadang-kadang dia sedikit nakal dan tidak sengaja, tidak seperti abang
Naim yang tidak pernah menyakitkan hati emak.
Emaknya terbaring di atas katil, di
temani si kecil Nawal di sisi katil. Lia Hana terus mencium emaknya, kemudian
meletakkan tangan di kepala dan badan untuk merasa. Seperti doktor pula. Sejak
dari semalam lagi dia bagaikan seorang doktor.
Sehingga pandai –pandai menyatakan Azeem
terkena appensitis. Nasib baik betul tekaannya. Jika salah , takkah terasa
malu?
“Panasnya badan emak. Abang Naim tak
bawa ke klinik ke ?”
Dia bertanya lembut. Ingin mengambil hati seboleh mungkin. Maklumlah
sudah seminggu lebih dia tidak menjengok orang tuanya.
“Abang tunggu Lia lah. Nasib baik
cepat sampainya. Jika tidak abang pergi dah”.
Abang Naim menjawab. Entah bila dia
masuk ke bilik emak pun Lia tidak perasan.
“Tak payah lah ke klinik. Kejap lagi
baiklah demam mak ni. Dah makan ubat dah”.
“Tak boleh emak!”
Kedua-dua anak makcik Jamalia
menjawab serentak. Penyakit emak mereka bukan boleh dibuat main-main. Kena
berjumpa doktor secepat yang mungkin. Ditakuti ada penyakit lain yang menambah.
Selalunya begitulah. Mereka dua beradik sudah faham. Lia Hana menolong emaknya untuk bersiap.
Mereka akan membawa juga ke klinik, walau tuan punya diri keberatan
Si kecil Nawal menyelongkar beg
tangan besar Lia Hana. Belas pula Lia Hana melihatnya. Hari ini dia tidak
sempat membeli coklat kesukaan anak buahnya itu, kerana terlalu tergesa-gesa
hendak pulang. Hanya emak sahaja di dalam fikirannya.
“Mak Ucu tak sempat belilah sayang. Nenek kan sakit, Mak Ucu nak cepat. Nanti
lepas jumpa doktor, Mak Ucu belikan ya!”.
Lia Hana cuba memujuk. Nasib baik
Nawal boleh menerima alasannya. Tidaklah dia merengek atau mengamuk. Menurut
emak, Nawal ini menurun perangai Lia Hana semasa kecil, suka mengamuk! Abang
Naim pula , selalu menegur Lia Hana, kerana suka membiasakan anaknya dengan
makanan ringan dan mainan setiap kali balik. Lia Hana biasanya tersengih sahaja
dengan bebelan tersebut . Baginya, jika Mak Ucu tidak belikan, bermakna Nawal
tidak merasalah semua itu, kerana Abang Naim sekali-kali tidak akan memanjakan
anaknya sebegitu. Alahai.....Kesian Nawal...Hendak makan coklatpun susah!
Menurut doktor, tekanan darah emak
sedikit tinggi dan di nasihatkan untuk lebih berhati-hati. Jangan sekali-kali
membiarkan emak stress atau
membuatkan dia runsing.
Dalam diam-diam abang Naim
membisikkan kepada Lia Hana, kebelakangan ini emak banyak memikirkan mengenai
anak gadisnya yang seorang ini. Lia Hana faham sendiri, siapa lagi jika bukan
dirinya yang membuatkan emaknya susah hati. Emak ni, kenapalah suka memikir
yang berat-berat? Lia Hana tidak apa-apa sebenarnya. Sudah jarang berjumpa
dengan Azeem sejak di tegur dahulu. Kecuali peristiwa semalam yang merapatkan
mereka semula.
Lia Hana akan memperkenalkan Azeem
kepada emak dan abang Naim setelah dia sihat nanti. Tujuannya, supaya emak
mengenali, dan tidak memikirkan yang bukan-bukan lagi. Dia bukan ada apa-apa
pun hubungan istimewa dengan Azeem. Iya...ke?
Di luar pengetahuan Lia Hana,
emaknya bukan sekadar memikirkan tentang hubungan dia dengan Azeem. Dia percaya
kepada ketelusan anak gadisnya. Juga yakin anaknya pandai menjaga diri. Perkara
yang sering datang dalam fikirannya amat berat untuk di selesaikan seorang
diri. Dia tidak yakin Lia Hana bersedia
untuk semua itu. Dia perlu mencari seseorang untuk membantu. Dan dia tidak
nampak orang lain, kecuali Naim...
Hai...cepat la jumpa bonda azeem dan mak lia...tak sabar nak tgk pasangan ni......
ReplyDeleteKak umie..jgn la lama sgt nak update n3 seterusnye.....heheheh
Isk isk isk......suspense betul status lia hana ni......jangan2.........
ReplyDeletesetuju sangat kata saadiah tu...
ReplyDeletetak sabarkan... bila la..
kak umie suka bagi suspen... hihihi
umie ...thanks for new n3...
ReplyDeleteselalu jadi silent reader je....
hari2 intai blog ni...
cepat2 sambung....
biar bonda azeem jumpa lia hana cepat2...
siapa Lia Hana...?????