Umie Nadzimah Layan Blog

Umie Nadzimah Layan Blog

Thursday, September 13, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 3




Taiping Golf Resort : Restoran dalam bab ini di sebelah kolam renang tu...promo sikit. Kalau nak tau TGR ni opposite jer dengan rumah Umie.


                  “SHARIFAH Zalia ? Heh!  Aku tak boleh nak bayangkan muka keliru mamat tulah Lia”.
                Salina masih terkekeh-kekeh ketawa bila mengingatkan pemuda yang yang menganggu Lia Hana. Walaupun sudah hampir seminggu lebih berlalu, bila terkenangkan peristiwa itu , dia akan mengusik-ngusik rakannya .
                            “Amboi..amboi, tak habis –habis lagi gelihati engkau tu ya! Kena batang hidung sendiri baru tau! Aku sampai tak jadi nak balik kampong malam tu. Dah itu terpaksa ambil cuti esoknya, mengenangkan mak aku yang tak berapa sihat . Semua pasal takut si biul tulah!”.
                        “Alah....engkau yang perasan sendiri. Habis tu, dah dekat dua minggu berlalu, tak nampakpun orangnya yang kacau ? Engkau tu yang takut lebih-lebih. Hee....tak kuasa aku … perempuan perasan !”.
                        “Iya...lah Lina. Aku mengaku sajalah yang aku ni perasan. Puas hati?  Kau ni dari tadi melepak , tak solat Maghrib ke ?”
                        “Aku bendera merahlah!. Ehh... Lia, Aku berkenan betullah dengan  si mamat biul tu! Dalam keliru-keliru dia, tetap macho tau! Terbayang-bayang lagi wajah dia yang tampan tu. Cair hati aku 
                      “Ya ampunnn….perempuan nii...tak habis-habis lagi ke ? Agaknya, engkau  dah kena minyak senyonyong lelaki tu tak ? Asyik teringat-ingat, kemudian tersenyum-senyum sorang-sorang”. Tempelak Lia Hana dengan niat mengusik. Namun perhatiannya kemudian beralih kepada telefon bimbitnya yang mengalunkan muzik sentimental menandakan ada pesanan ringkas.
                          “Haa...pakwe..lah tu !”
                          “Banyaklah pakwe  aku Lina”
                       “Bukan pak we, yang bertenet tiap malam tu apa? Jangan pula kau cakap  perempuan, kalau  nama samarannya pun dah abang ?”.
           “Engkau ni....dari kecil berkawan, masih tak kenal aku ya ?  Ini ..... Wanee...ha.  Engkau ingat  tak budak  Wanee yang buat latihan praktikal tempat kita tahun lepas ?
             “Huh...Budak kurus melenking tu ? Takkan aku tak ingat !”.
                     “ Mulut engkau nii...... ada-ada saja.  Wanee tu dah habis belajar. Dah dapat kerja  di kawasan perindustrian tempat kilang kita juga Alhamdulillah, rezeki dia. Baru je keluar universiti,  terus dapat kerja. Kalau tak kesian juga, adik-adik  ramai nak tanggung . Bapa dia pula asyik buat perangai saja.”.
                       “ Baguslah ! Tapi engkaupun banyak rekomenkan diakan ? Kalau ada kekosongan di tempat kita, mahu engkau seret dia kerja bawah engkau  kan ? Dia dah kerja kawasan ni , seronoklah engkau. Ada kawan pusing Taman Tasek tu”.
                        “ Ehh....Lina, bukan setakat Taman Tasek saja aku nak pusing, Bukit Larut tu pun aku  dah lama nak naik tau! Harap engkau teman,  berlari  atas tilam ajelah jawabnya. Dah sebulan lebih aku pindah sini, tak teringinpun engkau nak temankan. Nak pergi seorang aku takut lagi. Tapi kalau aku dah biasa nanti, seorangpun aku redah ”.
                        “ Aku kalau pasal riadah ni, kau jangan ajaklah . Elergik!.  Tapi kalau bab makan tak apa. Kau jangan lupa ajak. Bila-bilapun aku tak tolak”. Salina berdalih sambil tersengih-sengih . Lia Hana mencebik . Dah  tahu daaah…
                        “ Eh Lina, sebut pasal makan ni, baru aku teringat, aku ada jemputan makan tengahari dengan pelanggan dari Indonesia tu. Mr Calvin yang minta  aku wakilkan dia sebab dia kena pergi ke Kuala Lumpur. Kau temankan aku ek ?”
                        “Mana ?” Girang  muka Salina  menerima pelawaan .
                        “ Dekat je .....Taiping Golf Resort tu aje , boleh ek ? Nanti aku minta kebenaran dari bos kau, takut selesai lambat sikit ”
                        Okaylah tu. Kau tahu jawapan aku kan ? Takkan tolak kalau bab makan ni”.
                        “ Iyalah.....tengok badanlah...ya ?”.
                        “ Lia....Kalau pasal bab badan kau jangan sentuh. Isu sensetif!”
                        Okay...okay...Janji aku tak sebut lagi. Biarlah engkau makin membesar dan terus membesar. Tapi  engkau makin montel makin comel  dan berseri pula aku nampak !”
                        Sebiji bantal  kusyen corak hitam putih   mendarat ke  badan Lia Hana. Dia membalas balik perbuatan Salina dengan pukulan bertalu menggunakan  bantal yang sama sebanyak tiga kali, pantas masuk ke bilik untuk membuat aktiviti  alam mayanya.
                       
**********
                        SALINA menguis-nguis kaki Lia Hana  di bawah meja, dan  memberikan isyarat mata supaya memandang ke arah meja di sudut yang agak terceruk di hadapan mereka . Namun segala isyarat  yang cuba disampaikan itu seperti sia-sia belaka kerana teman karibnya itu amat khusyuk melayan  bual pelanggan yang diamanahkan oleh  Mr Calvin Choo,  Pengarah Unit Kawalan Kualiti dan Perkembangan Produk merangkap bos baginya.
             Lia Hana begitu tekun mendengar dan memberi pendapat jika perlu. Kiranya jamuan makan tengahari ini adalah salah satu agenda perniagaan, bukan untuk bersuka-suka. Sebab itulah dia memberi seratus peratus tumpuan kepada pelanggannya. Di samping dia dan Salina, yang hadir bersama ialah Pengurus bahagian Jualan Mr Vincent dan Pengurus Perkembangan Produk Mr Leong. Tetamu perniagaaan dari syarikat gergasi Indonesia itu pula dua orang, menjadikan penuh satu meja makan untuk enam orang.  Salina dibenarkan datang di  atas alasan untuk merekod agenda yang perlu,  menggantikan setiausaha Mr Calvin.  Oleh kerana agenda  perbincangan pihak pengurusan ini tidak difahaminya, maka dia mengambil kesempatan untuk menharapkan butir-butir dari Lia Hana kemudian nanti, dan sekarang hanya mahu menikmati makanan yang lazat di  samping menjamu mata.
                       
            Bengang kerana tiada sebarang tindak balas dari teman sebelah, Salina melayan mata dan perasaannya sendiri sendiri  dengan memerhati kelakuan lelaki tersebut. ‘Tampan dan nampak bergaya…Jikalah aku dapat, alangkah  bertuahnya. Cara dia makan, cara dia pegang sudu dan garpu, cara menyedut minuman,  huh….Macam orang  kelas atasan! Agaknyalah! sebab aku mana pernah tengok betul- betul.  Dalam drama melayu banyaklah , macam  lelaki dihadapan inilah, caranya. Agaknya  dia ini bukan orang sini. Nampak lain benar gayanya. Baju kemejanya nampak kemas, kelihatan dari yang berjenama. Makanpun di hotel, seorang diri pula tu. Tapi betullah, tak nampak macam orang  jahat pun? Apasal  si Lia ni takut sangat..ha. Ahh! Dia tu memang penakut sebenarnya, walaupun gayanya penuh keyakinanan. Sikit-sikit takut. Tak padan dengan pangkat dan muka lawa….. Panjang dia bermonolog di dalam hati.
                        Tiba-tiba peha Salina terasa sakit .  Jari jemari runcing Lia Hana telah menjalankan tugas denagan baik sekali bagi menyedarkan si gadis yang jauh belayar entah ke benua mana.
                        “ Dah sampai ke mana kau berangan ni ?”. Lia Hana berbisik,  Salina tersengih-sengih  bila tersedar. Tetamu Indonesia sudah minta diri  untuk  pergi bersama Mr Vincent dan Mr Leong. Mereka datang dengan satu kereta, sementara Lia Hana menggunakan keretanya sendiri.
                        “Engkau ni Lina, tak boleh di bawa ke majlis!”. Lia Hana merungut dengan suara perlahan. Salina   tersengih-sengih, menyedari kesalahan diri sendiri. Kemudian matanya membulat seperti terkejut. Sambil mencuit bahu Lia Hana , matanya menghalakan kepada lelaki yang menarik perhatiannya sejak tadi.
                        Lelaki tersebut yang telah selesai menghabiskan makanan ,menyisip baki minuman,  kemudian mengelap mulupnya dengan tisu , dengan tiba-tiba juga  memandang   ke arah mereka. Matanya tertancap kepada Lia Hana. Kedua-duanya seperti tergamam. Saling berpandangan lama.
                         “Hhmm...ehhmm....Lia, kau dah terpikat ke ? Itulah, lain kali jangan kata aku kena minyak senyonyong. Engkau pun sama ”. Salina berbisik memulangkan paku buah keras.
                          Miss Hana.....Miss Hana, Thanks God  you  masih ada disini. You balik terus ke pejabat kan ? Boleh you beri dokumen ni kepada Madam Tang ? We all berempat  nak terus  pergi ke kilang  pembekal  di Bagan”. Mr Leong  yang tiba-tiba  datang semula seperti sedikit terjeritkan  nama Lia Hana  untuk  meminta pertolongan.
                        Okay Mr Leong, tiada masalah”.  Lia Hana mengangguk serta  membalas kata dengan senyuman, lalu tangan mencapai beberapa buah fail plastik yang mengandungi dokumen di dalamnya, yang dihulurkan oleh lelaki cina awal empat puluhan itu. Namun  dalam masa yang sama,  sempat juga dia terperasankan pandangan tajam lelaki  tadi, yang perlahan  berlalu di hadapan mereka
                         “Lina , dah pergi mamat tadi ? Sengaja dia memastikan  lagi.
            “Dah....Kenapa? Dah rindu?”
            Lia Hana hanya menjeling tajam, tanda memprotes usikan kawannya.  . Dia  memulakan langkah untuk  ke parkir kereta, bilamana Salina merengek-rengek meminta untuk ditunggu, kerana dia terpaksa ke bilik air ,  tak boleh tahan-tahan lagi.
                        “ Kamu ni Lina, selalu tak menyempat-nyempat. Bukan jauhpun pejabat kita dari sini.  Beberapa minit sahaja. Tu..pun tak boleh tahan. Aku tunggu dalam keretalah. Boleh buka penghawa dingin dulu”.
                        Salina  tersengih-sengih mengangguk,  laju menghala ke tandas yang terletak  agak jauh dari situ. Lia Hana juga laju mengatur langkah ke keretanya . Masuk ke dalam kereta, terus mengunci pintu, menghidupkan enjin , memusing punat pengawal penghawa dingin ke tahap hampir  maksima, lalu membuka sedikit cermin kereta bagi mengeluarkan hawa panas yang terperangkap di dalam kereta.  Tanpa disedarinya, selang sebuah kereta , ada  sepasang mata yang sedang memerhati .
                        Apalah perempuan ni buat dalam bilik air tu. Lambat benar. Rungut Lia Hana dalam hati. Hajatnya hendak sampai cepat ke pejabat kerana ada banyak kerja tertunggak yang perlu dibereskan. Laporan bulanan bagi jabatannya perlu disiapkan  pada hari ini juga, sebelum habis waktu pejabat. Hatinya lega bila terpandang kelibat Salina yang  terkocoh-kocoh menuju ke arah keretanya.
                        “Engkau keluarkan semua yang engkau makan tadi ke ? Buat rugi aje . Aku tunggu berzaman tau !” Lia Hana mengusik .
                        “Alaah.....Sekali-sekali engkau berkorban untuk aku apa salahnya. Lain kali aku bayarlah budi kau tu Lia”. Selamba sahaja jawapan Salina. Sememangnya persahabatan mereka sentiasa ada senda gurau dan sindir menyindir, tetapi tidak pernah mereka terasa hati . 
                        “ Ehh....Lina, aku rasa mamat tadi ikut kereta kitalah. Dulu kau nampak kereta dia BMW warna kelabu kan ?”. Lia Hana acap kali memandang kepada cermin pandang belakang keretanya. Cemas   hatinya juga  apabila didapati kereta di belakang itu mengikut sahaja ke mana keretanya pergi. Salina juga menoleh ke belakang untuk memastikan .
                        “A’a....lah, Lia. Kereta warna itulah yang mamat biul tu bersandar hari tu. Isshh...rupa pemandunya lebih kuranglah. Betul...lah itu dia”.
                        “Apa kita nak buat ni Lina ?  Aku rasa tak sedap hatilah!”
                        “Hissh....Kamu ni Lia. Tenanglah! Suka gelabah tak tentu pasal. Dia bukan buat apapun. Cuma menggunakan jalan yang sama dengan yang kau guna. Itupun nak takut sangat”.
                        “ Iyalah.....jalan ni semua kereta boleh guna, tapi takkanlah jalan terpencil untuk ke kilang kita pun, dia guna juga. Ini untuk orang-orang kerja kilang macam kita je tau!”.
                        “ A’aa....lah Lia. Habislah engkau kali ni, dia dah tahu tempat kerja . Esok-esok boleh tunggu kat luar pagar masa kau balik. Nanti-nanti , aku tak boleh menumpang kau lagi. Nampak gayanya kenalah naik skuter balik”.
                        “ Engkau ni.....Aku serius , engkau nak buat lawak pula!”.
                        “Dah tu, engkau ni penakut sangat. Biarlah dia ikut . Sekurang-kurangnya,  bagi peluang pada orang kaya pikat kau “.
                        Salina menoleh ke belakang lagi untuk melihat kereta yang mengekori mereka. Ketika itu mereka sudah menghampiri premis kilang , tempat mereka bekerja.
                        “Ehh....Lia, cuba kau tengok dia dah bagi signal ke kananlah”.
            Lia Hana cepat-cepat mengalih mata ke cermin, dan  melihat kereta mewah itu membelok kanan, masuk ke pintu kilang perabot ‘World Furniture Corporation’, yang terletak bertentangan dengan kilang mereka.   Dan dia juga tidak lupa untuk memberikan signal membelok ke kiri.
            Sejenak Salina terdiam. Bagai tidak percaya dengan apa yang dilihat. Sebentar kemudian  ketawa besarnya meletus, sehingga dia menekan-nekan perut dan  berair mata.
            “Sudah-sudahlah gelak tu Lina. Berpada-padalah sikit. Dah banyak angin yang masuk ke badan kau”.
            “ Ambik kau, perasan!. Kan aku dah cakap, dia guna jalan yang sama, kau tak percaya. Perasanlah yang dia nak mengekor  kau yang cantik manis, ada lesung pipit ni”.
            “ Iyalah., iyalah ...aku cuma berhati-hati saja. Manalah tahu.....”.
            Salina tidak habis-habis lagi dengan rasa lucu di hatinya. Ketawanya masih bersisa. Naik bengang Lia Hana jadinya Dia bagi jelingan tajam ,sementara tangan pantas mematikan enjin kereta yang telah siap dipakir di petak khas untuknya. Tapi mujur juga lelaki tadi sejalan dengannya,  sekurang-kuarangnya rasa takut tadi telah hilang. Jika tidak mahu tidak boleh tidur malam nanti. Biar pecah perut Salina mentertawakannya tidak mengapa, asalkan dia rasa dirinya selamat dan jauh dari gangguan gangguan seperti ini. Itulah yang ada difikirannya saat ini. Rasa lega dan bersyukur sangat, walaupun kelihatan agak lucu apabila diingat.

***********

                        SYED Azeem seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat dan didengarnya waktu tengahari tadi. Di dalam hati masih menyatakan bahawa gadis yang ditenung tajam itu adalah Sharifah Zalia. Terasa berdesing telinganya apabila  terdengar seorang  lelaki cina menjerit nama  si gadis ‘Miss Hana....Miss Hana’. Bererti sangkaannya selama ini seratus peratus salah. Mungkin dia yang berilusi. Dua minggu lepas, gadis itu telahpun mengatakan bahawa namanya adalah ‘Lia Hana’, tetapi dia masih tidak dapat menerima kenyataan, walaupun ada sedikit kegusaran di hati. Terpandang sahaja wajah gadis tersebut, dia menjadi yakin semula bahawa itu adalah Zalianya .       
           
                        Tidak mengapalah jika gadis tersebut bukan Zalia yang telah meracuni hatinya itu. Tetapi  entah kenapa dia  terasa amat tertarik dengan figura gadis tersebut. Dan auranya sungguh menakjubkan  .Seakan memberi semangat yang berbeza padanya. Ini adalah kali kedua secara tidak sengaja dia telah terserempak dengan gadis ajaib ini. Entah apalah rahsia Tuhan apabila mempertemukan dia pada kali kedua . Malah tempat kerja si diapun  dapat diketahui dengan mudahnya. Tidak jauh!. Amat tidak jauh! Di hadapan pejabat dan kilang miliknya  sahaja. 

                        Semenjak pertemuan pertama  yang penuh salah sangka tempoh hari, dia selalu berdoa semoga ada pertemuan lagi. Dan sebentar tadi, telah menjadi kenyataan!  Segala persoalan di mindanya sedikit sebanyak telah terjawab. Malah, sepanjang dua tahun dia berada di sini, dia tidak pernah hilang fokus terhadap kerja, kecuali ketika ini, dengan kehadiran figura yang penuh tanda tanya itu. Dan di hatinya,  dia amat mengharap semoga ada lagi pertemuan yang ketiga dan seterusnya.......


P/S : Skema kan bahasa? Harus gitu sebab ianya ditulis sebelum UATN lagi, sebab selepas tu baru Umie belajar2 cara menulis gaya santai2. Apa-apapun ...layaaannz je la eik, sekadar hiburan...

Wednesday, September 5, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 2

                        

                       SUKAR untuk Syed Azeem melelapkan mata. . Pusing kiri gelisah, pusing kanan resah, semua terasa tidak kena. Bayangan gadis tersebut tidak lansung mahu pergi dari mindanya. Wajah, suara, senyuman, cara marah, dan segala-gala, semuanya sama. Tiada beza lansung. Malah cara berjalanpun tiada beza. Tetapi gadis itu tidak lansung  mengenali Syed Azeem . Betulkah ? Atau Sharifah Zalia masih ada agendanya  yang tersendiri ? Masih tidak puas hati menyakiti hatinya ? Masih belum puas melepaskan rasa amarahnya?  Apakah tujuan untuk muncul semula tetapi dalam keadaan berpura-pura ?. Zalia, Zalia, tidak habis-habis engkau mendera perasaan ini. Syed Azeem  masih bermonolog sendiri, walau jarum jam telah menunjukkan ke angka lewat malam.

                        Pertemuan dengan gadis petang tadi, membuatkan fikirannya kembali mengingati Sharifah Zalia semula .  Atau mungkin lebih tepat lagi merindui gadis itu semula. Walau sarat dengan  benci, tetapi perasaan rindu  kuat menyaingi . Tidak mampu mengalahkan rasa benci yang  dibina sejak bertahun . Dia sanggup berhijrah ke tanah asing ini, semata-mata untuk lari jauh dari bayangan gadis tersebut. Sanggup meninggalkan kotaraya  mewah tempat kelahiran , yang telah sebati dengan hidupnya  selama ini, semata-mata untuk membuang kekecewaan yang  ditanggung.  Sanggup berjauhan dengan bonda tercinta demi sebuah kelukaan yang cukup dalam.

            Sekian lama dia merawat luka hati seorang diri. Mengambil kesempatan  dengan menyibukkan diri dengan urusan kilang perabot yang diamanahkan abi. Mengepalai sebuah kilang yang baru diambil alih oleh syarikat keluarganya, bukan suatu perkara yang mudah. Dia terpaksa bekerja keras siang dan malam untuk mengembalikan semula modal yang telah dilaburkan. Dua tahun, tiada lansung hiburan , apa yang difikirkan adalah kerja, kerja dan kerja. Hasil kesibukannya, dia telah berjaya  meningkatkan jualan perabut   kepada lima kali ganda    berbanding sebelum dia ditugaskan di situ.  Suatu pencapaian yang amat dibanggakan abi serta ahli keluarganya yang lain.

            Sebenarnya, dengan rutin kerja yang begitu dia sudah hampir melenyapkan wajah Sharifah Zalia dari ingatan sehinggalah pertemuan petang tadi membuatkan hatinya menjadi nanar semula. Jiwanya  lemah kembali. Mestikah Zalia kembali lagi setelah lukanya hampir sembuh, dan hidupnya  hampir kembali normal? 

            Fikiran  Syed Azeem menerawang kepada peristiwa dua tahun yang lalu. Dia dilukai pada hari bahagia. Beberapa jam sahaja sebelum dia disahkan menjadi suami kepada gadis yang selama ini dicintai  dan disayangi sepenuh hati. Gadis yang didambakan dalam hidupnya. Yang dipuja, dibelai  dan dituruti segala kemahuannya. Tidak pernah dia melukai walau sedikit hati si gadis , walau hati sendiri selalu diguris kasar akibat sikap lepas laku  gadis tersebut.

            Masih segar terbayang-bayang wajah bonda  yang kelihatan sedih  masuk ke biliknya  dan duduk di birai katil. Dia yang  pada waktu itu terkumat kamit berlatih menghafal ayat yang sepatutnya dilafazkan di hadapan Tuan Kadi sebentar lagi, kemudiannya tersengih-sengih memandang . Bonda memeluk bahunya lembut. Mata yang penuh kasih sayang itu dihalakan terus ke anak matanya. Mesti ada sesuatu yang amat penting yang akan disampaikannya .
            “ Azeem. Bonda nak beritahu sesuatu. Tapi anak bonda mestilah banyak-banyak bersabar….”.
            Perlahan suara bondanya berbisik. Dia tidak membalas kata-kata itu, hanya menunggu apakah perkhabaran seterusnya. Mesti  bersabar untuk apa ? Ahh! Jantungnya sudah berdegup kencang.
            “ Zalia….Zalia….nak . Dia dah pergi dari rumah  walidnya. Khabarnya sudah sampai ke Narathiwat, dan mungkin sekarang sudah   sah menjadi isteri orang lain. Bersabar ya……nak. Mungkin jodoh Azeem bukan dengan Zalia. Mungkin ada yang lebih baik menanti”.
                        Syed Azeem memandang bondanya dengan mata yang tidak berkedip. Lama. Bagai tidak percaya apa yang diperkatakan oleh mulut manis di hadapannya ini.
                        “Bonda ?”
                        Bondanya sekadar mengangguk. Mengiyakan kata-katanya sebentar tadi benar belaka. Namun pandangan anaknya seperti masih tidak percaya lagi. Ataupun terkejut , kerana ianya suatu berita yang tidak pernah dijangka akan berlaku.
                        “ Betul…nak. Zalia dah pergi bersama lelaki lain. Bermakna dia menolak perkahwinan ini. Sabar ya….nak.  Anak bonda  masih tidak rugi apa-apa . Bonda, abi dan kakak dan adik masih  ada menyokong Azeem ”.
                        “Sampai hati ……Zalia”.
           
            Itu sahaja ungkapan yang mampu dilafazkan ketika itu. Selepas itu, dia hanya berkurung di dalam bilik . Jiwa  remuk rendam apabila mendapat tahu Sharifah Zalia telah melarikan diri bersama  lelaki pilihannya ke Selatan Thailand untuk bernikah.  Dua hari selepas itu, majlis resepsi sebagaimana yang dirancang oleh pihak keluarga  Sharifah Zalia masih tetap juga berlansung. Akan tetapi pengantin lelakinya tentulah bukan Syed Azeem , seperti mana yang tertera di dalam  kad jemputan perkahwinan berwarna hijau muda yang indah itu. Dan saat itu, dia terasa seperti tidak perlu lagi untuk terus menyedut udara di bumi ini. Hanya kematian sahaja yang berada di fikirannya untuk memutuskan segala keresahan jiwa.

            Kekecewaan itulah yang membawa dia ke utara tanah air , sebagai jalan untuk  menyembuh hati. Semenjak berhijrah  dia  tidak pernah pulang ke rumah keluarganya di Kuala Lumpur.  Sebab utama adalah dia terpaksa melintasi  banglo rumah keluarga Sharifah Zalia  terlebih dahulu untuk sampai ke kediaman bondanya. Jika kerinduan pada anak lelaki mereka, bonda ditemani abi akan berkunjung ke rumahnya di Taiping. Mereka amat merestui keputusannya untuk berada jauh dengan tujuan dia dapat bangkit semula , dan dapat melupakan peristiwa sedih itu.

            Namun, yang lebih penting bagi abinya, pemergian ini supaya dia dapat memajukan perniagaan dan mengembangkan empayar harta  mereka kepada yang lebih positif. Apalah sangat kekecewaan disebabkan seorang perempuan. Dia yang menolak tuah. Syed Azeem sempurna segala serbi.  Dengan harta yang ada, ramai anak-anak gadis orang ternama mampu dimiliki. Itu kata abi, tetapi kata hati Syed Azeem sendiri bagaimana ?.  Cinta tidak boleh dijual beli. Seorang yang pergi tidak mungkin ditukar ganti , walau dengan seribu jelitawan.

            Pertunangannya dengan Sharifah Zalia, adalah dengan kehendak keluarga. Malah umi dan nenek Sharifah Zalia yang banyak merancang dan mengatur. Abi  penyokong kuat  . Pada mereka, hanya dia sahajalah yang paling layak mengahwini  anak perempuan tunggal Syed Hanafi itu. Gelaran dan harta mereka akan terus dikekalkan jika Sharifah Zalia berkahwin dengannya.   Keturunan mereka akan tetap berpangkalkan nama Syed dan Sharifah. Dan itulah tujuan utama , disamping menyatukan harta kekayaan yang sedia  ada dalam sebuah perkongsian yang harmoni.

            Syed Azeem dengan gembira dan rela hati akur. Sementelah pula, dia sememangnya telah jatuh hati tahap gaban pada anak Tuan Syed tersebut kononnya. Cinta separuh mati . Segala kehendak dan kemahuan gadis itu diturutinya , tanpa sebarang protes.  Layanannya perfect seratus peratus. Tip top. Sedikit tidak beralih kepada yang lain. Sangkanya, cinta mereka dua hala. Dia sayang pada Sharifah Zalia, dan gadis itu juga sayang padanya.  Tak sangka pula selama ini Sharifah Zalia hanya berpura-pura sahaja.

            Di luar pengetahuannya, Sharifah Zalia sebenarnya memberontak dengan rancangan keluarga mereka. Dia telah mempunyai pilihan hati sendiri, yang ditentang keras oleh ibu dan neneknya.  Kerana pemuda pilihan hatinya bukan dari satu keturunan mereka. Gelaran Syed dan Sharifah tidak akan menjadi milik generasi mereka lagi seandainya dia memilih orang biasa.  Itu juga pendapat utuh  Syed Awaludin, bapa kepada Syed Azeem. Sebab itulah dia amat perihatin kepada setiap kawan perempuan anak lelakinya. Salasilah keluarga adalah sesuatu yang amat penting bagi mereka. Jangan berkawan dengan perempuan atau lelaki  sembarangan!.

            Zalia…..Zalia. Kenapa mesti engkau muncul semula ? Tetapi betulkah yang dia  lihat petang tadi Sharifah Zalia ? Tidak mungkin dia  mahu makan di restoran makanan segera yang dipenuhi ramai orang ? Kawan-kawannya pula …….Hissh….Jauh beza dengan kawan-kawan Zalia dahulu. Malah Sharifah Zalia tidak sekali-kali menaiki kereta yang berharga kurang dari seratus ribu ringgit. Berbeza dengan gadis tadi yang hanya menaiki kereta bernilai lapan puluh lapan ribu sahaja. Syed Azeem  masih bermonolog sendiri , mencari jawapan kepada persoalan di mindanya.

                        Jika bukan Zalia. Siapa gadis tadi ? Ahh…..wajahnya sama.  Setahunya Zalia  anak tunggal. Tiada adik beradik lain. Malah semua  saudara sepupunya yang tidak ramai itu dia kenal. Semuanya tidak mempunyai wajah Zalia. Iras-iras sedikit  sedikit mungkin ada, tetapi yang petang tadi tiada beza lansung. Kenapa pula baru terserempak , sedangkan dia sudah dua tahun berada di sini ?  Hissh…Dia sendiripun jarang-jarang keluar, jika tidak perlu. Monolognya bersambung-sambung sedangkan masa juga tidak henti-henti berputar menuju ke dini hari.

Monday, September 3, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 1


                        “LIA ?”.
                        Tidak ada sebarang tindakbalas terhadap panggilan itu.
                        “Lia ? Lia?”
                      Lia Hana menoleh kepada lelaki yang menyebut namanya itu. Sedikit terkejut Merenung seraut wajah tampan di hadapan. Memang betul  itu panggilan  untuknya. Setelah tiga kali pangkal namanya disebut, terasa dia tidak salah mendengar. Masalahnya, ia keluar dari mulut lelaki yang entah dari mana munculnya. Tiba-tiba mengejar dan memanggil-manggil.  Saat ini, otaknya bekerja keras mengingati    ,jika pernah mengenali jejaka ini. Gagal! Tiada lansung memorinya terhadap orang ini. Memanglah kacak ! Tetapi entah siapa-siapa . Berani pula menjerit namanya ditengah-tengah kebisingan dan orang ramai begini.
                        “Lia ? Macam mana boleh ada di sini ?”
                      Hah? Lia Hana masih terpinga-pinga seperti tidak percaya lagi. Lelaki ini betul-betul mengenali dia ke? Sekali lagi dia mendongak memandang wajah tersebut. Lelaki itu tersenyum mempamerkan gigi  putih berseri serta tersusun rapi. Hendak tidak hendak bibirnya terpaksa mengungkapkan kata yang lahir dari tindakan otak dan perasaan yang telus.
                        “Saya kenal awakkah ?”
                        Lelaki itu  membulatkan mata kepadanya. Seperti kurang percaya  dengan soalan pendek yang lahir dari bibir mungil itu.
                        “Heh? Takkan dah lupa abang ? Tahulah abang bukan pilihan Lia, tapi takkan sampai tak kenal dah ? Sampai hati Lia buat abang begini . Sedih abang…”.
                        Berkerut dahi Lia Hana. Mamat seorang ini, rupa memikat hati, tapi mungkin wayar ingatannya ada yang putus agaknya.  Datang entah dari mana, tiba-tiba mengaku mengenali dirinya. Siap dengan muka sedih-sedih dan kecewa lagi.  Namun nama yang disebut itu sememangnya  betul. Lia!. Itu panggilan untuknya!
                        “Encik salah orang agaknya. Saya betul-betul tak mengenali encik. Minta maaf ya”.
                        “Lia ? Sampai hati …..Jika tak sukapun, janganlah kata tidak mengenali abang”.
                        “ Sungguh encik, saya betul-betul tidak kenal”.
                        Lia Hana enggan berlama-lama berteka-teki dengan lelaki tersebut. Orang biul, detik hatinya.  Kakinya pantas sahaja melangkah untuk bergerak. Kebetulan  matanya telah terperasan  Salina yang melambai-lambai tangan dari restoran makanan segera  berhampiran. Lelaki tersebut masih seperti tidak percaya  dengan kata-katanya. Tangan Lia Hana dicapainya.
                        “Hissh!  Apa ni ?.       
            Sediki terjerit suara Lia Hana. Terkejut lalu.spontan merentap kembali  tangannya. Pantas mempercepatkan langkah masuk ke restoran  menuju ke meja yang diduduki Salina bersama dua orang gadis yang lain. Sedikitpun dia tidak ingin memandang kembali lelaki yang berlaku kurang sopan terhadapnya tadi.  Lelaki   tersebut juga seperti terkejut dengan tindakannya sendiri. Akhirnya hanya  matanya sahaja yang mampu  mengiringi langkah pemergian Lia Hana sehingga ke dalam .
           
            Agak tercungap-cungap Lia Hana ketika manarik kerusi dan melabuhkan punggungnya disitu.  Salina juga terdiam memerhatikan kawannya dan seketika kemudian membuang pandang kepada lelaki itu, yang masih terpaku memandang ke arah mereka.
            “ Siapa dia lelaki macho di luar tu Lia ? Kau tak pernah cerita pada akupun? Macam drama pula aku tengok kau orang berdua. Siap tarik-tarik tangan lagi”.
            “Entah Lina.  Orang sewel agaknya. Akupun tak kenal”.
            “Takkanlah tak kenal boleh sampai macam tu sekali. Tengok tu….dia masih pandang-pandang engkau!”.
            “Dia ada lagi ke kat luar tu ?”.
            “Ada….lah.  Tampan sangat….Lia”.
            “ Hiss…Engkau ni Lina. Aku ni seramlah ! Tapi dia kenal aku. Dia panggil aku berkali-kali.  Sumpah aku tak kenal dia . Seramlah aku Lina. Dia siap cakap macam orang putus cinta lagi…..Aku  rasa dia  macam tak betul saja. Ataupun tengah kecewa bercinta. Habis apa kita nak buat ni Lina ?”.
            “ Engkau tak nak ke berkenalan dengan dia ? Aku boleh lambai dia masuk. Dia masih memerhati tau !”.
            “ Engkau Lina, kalau nak buat lawakpun, biarlah kena pada tempatnya. Entah siapa-siapalah tu. Dia dah berkurang sopan dengan aku, maknanya dia bukan lelaki budimanlah ! Jadi engkau jangan nak memandai-mandai”.
            Lia Hana  bertegas sambil mata menoleh ke arah dua orang gadis di hadapannya. Baru dia perasan kewujudan mereka berdua. Mereka juga terdiam ataupun terkejut menyaksikan babak drama singkat  sebentar tadi.
            “Eh….Maaflah Siti. Datang sini nak raikan hari jadi Siti, tak sangka pula kena bermasam muka tadi”.
            “ Tak apa kak. Ada juga hiburan . Kelakar juga.  Akak  ni…ke mana pergi mesti menarik perhatian kaum lelaki. Cemburu perempuan lain”.
            “ Hissh….Siti ni. Kalau dapat lelaki yang bagus tak apa, kakpun suka, ini yang wayar putus datang cari kak.  Buang masa  kau orang nak  cemburu. Eh ,  Ini kawan Siti ke ?”.
            “ Iya kak. Kawan baik dari sekolah lagi, Norlia. Dia kerja di bangunan sebelah. Promoter”.
            Senyum lebar  berbalas  diantara Lia Hana dan Norlia.  Berbual-bual ringan ,  berkenalan.  Pada pandangan kasar, Lia Hana  kurang menyenangi dengan perawakan kawan Siti ini. Seperti ada sesuatu yang tidak kena di mata dan hatinya. Lia Hana kemudiannya mengalihkan pandangan kepada Salina yang seperti tidak berada seiring dengan mereka.
            “ Hei kawan. Ke mana kau pergi ? Sudah-sudahlah tengok mamat biul tu”.
            “ Dia dah pergilah…. Lia. Kesian pula aku tengok. Lama dia perhatikan engkau sebelum pergi. Entah-entah dia memang kenal engkau tak? Cuma engkau saja yang hilang ingatan. Maklumlah, kena paksa balik kampong oleh mak kau.”.
            “ Iya…lah tu. Tak apa , anggaplah aku hilang ingatan! Asalkan kau jangan terpikat dengan mamat tu. Engkau ni Lina, pantang jumpa lelaki macho sikit, mulalah hilang pertimbangan. Ada ke kawan baik sendiri kau kata hilang ingatan ?”.
            “ He..he..he. Maaflah Lia.  Tapi engkau tak hairan ke dengan kelakuan mamat tu tadi? Macam mana dia boleh tahu nama engkau ?”
            “A’aa yek ? Macam mana dia tahu nama aku ?   Misteri juga ya?”
            “ Kau ni Secret admirer dia tak ?”
            “ Kalau ‘SA’ selalu terserempak Lina. Setahu  aku , ini pertama kali aku jumpa dia. Akupun baru sebulan pindah sini.  Mana sempat orang nak pandang”.
            “ Alah…Lia, orang cantik macam kau, kejap aje boleh buat orang jatuh hati dan merana tau. Lainlah ….orang macam kita ni. Betul tak Siti, Norlia?”.
            Budak berdua itu cuma tersenyum . Bersetuju tidak, membantahpun tidak. Sudahnya Salina mencebikkan bibir, dan ketawa sendiri-sendiri.

            “Terimakasih Kak Lina, belanja makan hari ini”.
            “ E’eeh, memang akak yang belikan Siti, tapi duitnya kak Lia yang punya. Duit dia lagi masyuk dari akak. Akak ni Penbantu Tadbir saja. Dia lainlah, Pengurus, Duit berkepuk-kepuk”.
            “ Aku ikhlaslah Lina. Tak payahlah engkau ungkit-ungkit  pasal duit aku dalam bank tu. Kesian Siti. Nanti tercekik pula dia. Belanja makan,tapi menyebut-nyebut. Macam tak ikhlas  pula ya ?”
            “ Siti tak apa kak. Terimakasih banyak-banyak Kak Lia. Kakak berdua selalu layan Siti dengan baik. Dah bagi makan, ada hadiah pula . Tak terbalas Siti”.
            “ Tak ada apa…lah Siti. Sikit aje tu. Tak luak duit kakak Lia kau ni…”
            Salina masih hendak menyakat Lia Hana . Namun, bagi Lia Hana, ianya perkara biasa yang didengarinya. Sikap Salina memang begitu. Terlebih ramah dan juga terlebih berani. Kadang-kadang naik rimas dibuatnya, tetapi rindu pula tanpa kehadirannya. Namun, dia mempunyai sekeping hati yang jujur dan penyayang. Itu yang membuatkan Lia Hana boleh bertahan bersahabat dengannya sejak sekian lama.

            “Lepas ni Norlia nak belanja Siti tengok wayang. Akak berdua nak ikut ?”.
            “ Oh ya ke? Nak tengok wayang ? Kak Lia tak dapatlah Siti. Kena balik rumah mak. Dia kurang sihat . Kau Lina macam mana ? Nak tengok wayang juga ?
            “ Aku nak balik rumah kitalah. Kau hantar aku yek?”.
           “Untuk kau Lina, apapun aku snggup. Siti jangan balik lambat sangat ya!. Lepas menonton terus balik. Tak selamat, kalau jauh malam sangat”.
            “Iya kak”
                        “ Kami pergi dulu Siti, Norlia. Jaga diri ya!”
                        Lia Hana dan Salina beredar setelah menghabiskan makanan mereka, meninggalkan dua gadis remaja yang mempunyai agenda mereka tersendiri di Pusat membeli belah tersebut.
                        “Lia!. Tunggulah….Engkau ni, kalau bab berjalan, tak tahu perlahan-lahan”.
                        Lia Hana memperlahankan langkahnya supaya dapat beriringan dengan Salina. Padanya, bukan dia yang berjalan laju, tetapi Salina yang amat perlahan pergerakannya. Suka sangat memerhati kiri kanan, sana sini.
                        “ Lia…Kau nampak tak apa yang aku nampak ?”
                        “ Apa dia Lina ? Tak semua yang kau nampak dapat dilihat aku tau!”
                        “ Tu..tuu…Cuba kau pandang sebelah kanan”.
             Bisik Salina perlahan. Tanpa berlengah, Lia Hana memalingkan kepalanya ke sebelah kanan. Matanya menentang sepasang mata redup yang tengah merenunginya. Berderau darahnya.
            “Ya Allah!. Mamat biul tu ke ? Kenapa kau tak cakap dari tadi?”.
            “Akupun baru perasanlah dia tengah mengekori kita. Agaknya dia menunggu dari tadi tak?”
            “ Hissh. Apa yang dia nak ha….Lina? Kau ada idea tak ?”
            “Aku tak nampak dia macam orang jahatpun. Kau tanyalah dia baik-baik. Tu dia tengah datang ke arah kita. Kalau kau berkasar, takut jadi lain pula nanti”.
            “Aku takutlah Lina”.
            “ Sini ramai oranglah! Jangan bimbang”.
            Lelaki tersebut menghulurkan senyuman, yang dibalas sedikit pahit oleh kedua-dua gadis tersebut.
            “Saya minta maaf  pasal tadi. Saya tunggu ni sebab nak pastikan,betulkah cik tak kenal saya ?”.
            Hati Lia Hana sedikit lega dengan ucapan maaf tersebut. Namun, tidak bermakna dia tidak perlu berhati-hati lagi. Dipegang erat tangan Salina, sebagai persediaan, jika berlaku perkara yang tidak diingini.          
            “Betul. Saya tidak kenal encik . Tapi nama saya sememangnya Lia”.
            “ Syarifah Zalia?”
            “Bukan. Saya Lia Hana. Betullah ….encik dah salah orang”.
            “Oohh….Maaf. Pelanduk dua serupa rupanya . Maaf ya ?”.
            “ Tak apa. Mungkin iya kut! Pelanduk dua serupa. Kami pergi dulu ya ?”.
            Lia Hana terus menarik tangan Salina dan berjalan laju menuju ke arah tempat parkir kereta. Sesampainya ke kereta Toyota Vious hitam  miliknya, mereka  terus masuk  dan dengan segera dia  menekan kunci pintu supaya tidak dapat dibuka dari luar.
            “ Serik aku berjalan dengan engkau tau Lia. Kut ya pun, tenang-tenanglah!. Apa yang engkau nak takutkan. Orang ramai lalu-lalang.  Ini tidak , engkau heret aku macam budak kecil !”.
            “ Aku takutlah Lina. Macam-macam orang ada kat luar ni”.
            “ Aku tak nampakpun lelaki tadi macam orang jahat. Kalau kau tak nak layan dia, paslah pada aku. Ini tidak, kau lansung tak bagi peluang….”
            “Ooi cik kak ! Peluang apanya ? Hari dah malam. Hendaknya dia tu peragut ke , dihulurnya pisau kat leher engkau tu , apa kau nak buat ?”.
            Salina membuang pandangannya ke luar. Tidak memberi tindakbalas kepada kata-kata kawannya. Matanya tertanchap kepada sekujur tubuh bersandar di sebuah kereta mewah sedang memandang ke arah mereka.
            “Lia. Dia ada lagilah !. Tuu ….Kau nampak tak ? Bersandar di kereta BMW tu”.
            Saat itu, dada Lia Hana amat berdebar-debar. Sampai ke aku ke rumah emak malam ini , fikirnya. Dibuatnya lelaki itu mengekorinya, dan menahan di tengah-tengah jalan bagaimana?. Jalan ke kampongnya pula  sunyi  dan agak gelap.

            “Lina, aku tak jadi balik rumah maklah malam ini….”.