Umie Nadzimah Layan Blog

Umie Nadzimah Layan Blog

Wednesday, September 5, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 2

                        

                       SUKAR untuk Syed Azeem melelapkan mata. . Pusing kiri gelisah, pusing kanan resah, semua terasa tidak kena. Bayangan gadis tersebut tidak lansung mahu pergi dari mindanya. Wajah, suara, senyuman, cara marah, dan segala-gala, semuanya sama. Tiada beza lansung. Malah cara berjalanpun tiada beza. Tetapi gadis itu tidak lansung  mengenali Syed Azeem . Betulkah ? Atau Sharifah Zalia masih ada agendanya  yang tersendiri ? Masih tidak puas hati menyakiti hatinya ? Masih belum puas melepaskan rasa amarahnya?  Apakah tujuan untuk muncul semula tetapi dalam keadaan berpura-pura ?. Zalia, Zalia, tidak habis-habis engkau mendera perasaan ini. Syed Azeem  masih bermonolog sendiri, walau jarum jam telah menunjukkan ke angka lewat malam.

                        Pertemuan dengan gadis petang tadi, membuatkan fikirannya kembali mengingati Sharifah Zalia semula .  Atau mungkin lebih tepat lagi merindui gadis itu semula. Walau sarat dengan  benci, tetapi perasaan rindu  kuat menyaingi . Tidak mampu mengalahkan rasa benci yang  dibina sejak bertahun . Dia sanggup berhijrah ke tanah asing ini, semata-mata untuk lari jauh dari bayangan gadis tersebut. Sanggup meninggalkan kotaraya  mewah tempat kelahiran , yang telah sebati dengan hidupnya  selama ini, semata-mata untuk membuang kekecewaan yang  ditanggung.  Sanggup berjauhan dengan bonda tercinta demi sebuah kelukaan yang cukup dalam.

            Sekian lama dia merawat luka hati seorang diri. Mengambil kesempatan  dengan menyibukkan diri dengan urusan kilang perabot yang diamanahkan abi. Mengepalai sebuah kilang yang baru diambil alih oleh syarikat keluarganya, bukan suatu perkara yang mudah. Dia terpaksa bekerja keras siang dan malam untuk mengembalikan semula modal yang telah dilaburkan. Dua tahun, tiada lansung hiburan , apa yang difikirkan adalah kerja, kerja dan kerja. Hasil kesibukannya, dia telah berjaya  meningkatkan jualan perabut   kepada lima kali ganda    berbanding sebelum dia ditugaskan di situ.  Suatu pencapaian yang amat dibanggakan abi serta ahli keluarganya yang lain.

            Sebenarnya, dengan rutin kerja yang begitu dia sudah hampir melenyapkan wajah Sharifah Zalia dari ingatan sehinggalah pertemuan petang tadi membuatkan hatinya menjadi nanar semula. Jiwanya  lemah kembali. Mestikah Zalia kembali lagi setelah lukanya hampir sembuh, dan hidupnya  hampir kembali normal? 

            Fikiran  Syed Azeem menerawang kepada peristiwa dua tahun yang lalu. Dia dilukai pada hari bahagia. Beberapa jam sahaja sebelum dia disahkan menjadi suami kepada gadis yang selama ini dicintai  dan disayangi sepenuh hati. Gadis yang didambakan dalam hidupnya. Yang dipuja, dibelai  dan dituruti segala kemahuannya. Tidak pernah dia melukai walau sedikit hati si gadis , walau hati sendiri selalu diguris kasar akibat sikap lepas laku  gadis tersebut.

            Masih segar terbayang-bayang wajah bonda  yang kelihatan sedih  masuk ke biliknya  dan duduk di birai katil. Dia yang  pada waktu itu terkumat kamit berlatih menghafal ayat yang sepatutnya dilafazkan di hadapan Tuan Kadi sebentar lagi, kemudiannya tersengih-sengih memandang . Bonda memeluk bahunya lembut. Mata yang penuh kasih sayang itu dihalakan terus ke anak matanya. Mesti ada sesuatu yang amat penting yang akan disampaikannya .
            “ Azeem. Bonda nak beritahu sesuatu. Tapi anak bonda mestilah banyak-banyak bersabar….”.
            Perlahan suara bondanya berbisik. Dia tidak membalas kata-kata itu, hanya menunggu apakah perkhabaran seterusnya. Mesti  bersabar untuk apa ? Ahh! Jantungnya sudah berdegup kencang.
            “ Zalia….Zalia….nak . Dia dah pergi dari rumah  walidnya. Khabarnya sudah sampai ke Narathiwat, dan mungkin sekarang sudah   sah menjadi isteri orang lain. Bersabar ya……nak. Mungkin jodoh Azeem bukan dengan Zalia. Mungkin ada yang lebih baik menanti”.
                        Syed Azeem memandang bondanya dengan mata yang tidak berkedip. Lama. Bagai tidak percaya apa yang diperkatakan oleh mulut manis di hadapannya ini.
                        “Bonda ?”
                        Bondanya sekadar mengangguk. Mengiyakan kata-katanya sebentar tadi benar belaka. Namun pandangan anaknya seperti masih tidak percaya lagi. Ataupun terkejut , kerana ianya suatu berita yang tidak pernah dijangka akan berlaku.
                        “ Betul…nak. Zalia dah pergi bersama lelaki lain. Bermakna dia menolak perkahwinan ini. Sabar ya….nak.  Anak bonda  masih tidak rugi apa-apa . Bonda, abi dan kakak dan adik masih  ada menyokong Azeem ”.
                        “Sampai hati ……Zalia”.
           
            Itu sahaja ungkapan yang mampu dilafazkan ketika itu. Selepas itu, dia hanya berkurung di dalam bilik . Jiwa  remuk rendam apabila mendapat tahu Sharifah Zalia telah melarikan diri bersama  lelaki pilihannya ke Selatan Thailand untuk bernikah.  Dua hari selepas itu, majlis resepsi sebagaimana yang dirancang oleh pihak keluarga  Sharifah Zalia masih tetap juga berlansung. Akan tetapi pengantin lelakinya tentulah bukan Syed Azeem , seperti mana yang tertera di dalam  kad jemputan perkahwinan berwarna hijau muda yang indah itu. Dan saat itu, dia terasa seperti tidak perlu lagi untuk terus menyedut udara di bumi ini. Hanya kematian sahaja yang berada di fikirannya untuk memutuskan segala keresahan jiwa.

            Kekecewaan itulah yang membawa dia ke utara tanah air , sebagai jalan untuk  menyembuh hati. Semenjak berhijrah  dia  tidak pernah pulang ke rumah keluarganya di Kuala Lumpur.  Sebab utama adalah dia terpaksa melintasi  banglo rumah keluarga Sharifah Zalia  terlebih dahulu untuk sampai ke kediaman bondanya. Jika kerinduan pada anak lelaki mereka, bonda ditemani abi akan berkunjung ke rumahnya di Taiping. Mereka amat merestui keputusannya untuk berada jauh dengan tujuan dia dapat bangkit semula , dan dapat melupakan peristiwa sedih itu.

            Namun, yang lebih penting bagi abinya, pemergian ini supaya dia dapat memajukan perniagaan dan mengembangkan empayar harta  mereka kepada yang lebih positif. Apalah sangat kekecewaan disebabkan seorang perempuan. Dia yang menolak tuah. Syed Azeem sempurna segala serbi.  Dengan harta yang ada, ramai anak-anak gadis orang ternama mampu dimiliki. Itu kata abi, tetapi kata hati Syed Azeem sendiri bagaimana ?.  Cinta tidak boleh dijual beli. Seorang yang pergi tidak mungkin ditukar ganti , walau dengan seribu jelitawan.

            Pertunangannya dengan Sharifah Zalia, adalah dengan kehendak keluarga. Malah umi dan nenek Sharifah Zalia yang banyak merancang dan mengatur. Abi  penyokong kuat  . Pada mereka, hanya dia sahajalah yang paling layak mengahwini  anak perempuan tunggal Syed Hanafi itu. Gelaran dan harta mereka akan terus dikekalkan jika Sharifah Zalia berkahwin dengannya.   Keturunan mereka akan tetap berpangkalkan nama Syed dan Sharifah. Dan itulah tujuan utama , disamping menyatukan harta kekayaan yang sedia  ada dalam sebuah perkongsian yang harmoni.

            Syed Azeem dengan gembira dan rela hati akur. Sementelah pula, dia sememangnya telah jatuh hati tahap gaban pada anak Tuan Syed tersebut kononnya. Cinta separuh mati . Segala kehendak dan kemahuan gadis itu diturutinya , tanpa sebarang protes.  Layanannya perfect seratus peratus. Tip top. Sedikit tidak beralih kepada yang lain. Sangkanya, cinta mereka dua hala. Dia sayang pada Sharifah Zalia, dan gadis itu juga sayang padanya.  Tak sangka pula selama ini Sharifah Zalia hanya berpura-pura sahaja.

            Di luar pengetahuannya, Sharifah Zalia sebenarnya memberontak dengan rancangan keluarga mereka. Dia telah mempunyai pilihan hati sendiri, yang ditentang keras oleh ibu dan neneknya.  Kerana pemuda pilihan hatinya bukan dari satu keturunan mereka. Gelaran Syed dan Sharifah tidak akan menjadi milik generasi mereka lagi seandainya dia memilih orang biasa.  Itu juga pendapat utuh  Syed Awaludin, bapa kepada Syed Azeem. Sebab itulah dia amat perihatin kepada setiap kawan perempuan anak lelakinya. Salasilah keluarga adalah sesuatu yang amat penting bagi mereka. Jangan berkawan dengan perempuan atau lelaki  sembarangan!.

            Zalia…..Zalia. Kenapa mesti engkau muncul semula ? Tetapi betulkah yang dia  lihat petang tadi Sharifah Zalia ? Tidak mungkin dia  mahu makan di restoran makanan segera yang dipenuhi ramai orang ? Kawan-kawannya pula …….Hissh….Jauh beza dengan kawan-kawan Zalia dahulu. Malah Sharifah Zalia tidak sekali-kali menaiki kereta yang berharga kurang dari seratus ribu ringgit. Berbeza dengan gadis tadi yang hanya menaiki kereta bernilai lapan puluh lapan ribu sahaja. Syed Azeem  masih bermonolog sendiri , mencari jawapan kepada persoalan di mindanya.

                        Jika bukan Zalia. Siapa gadis tadi ? Ahh…..wajahnya sama.  Setahunya Zalia  anak tunggal. Tiada adik beradik lain. Malah semua  saudara sepupunya yang tidak ramai itu dia kenal. Semuanya tidak mempunyai wajah Zalia. Iras-iras sedikit  sedikit mungkin ada, tetapi yang petang tadi tiada beza lansung. Kenapa pula baru terserempak , sedangkan dia sudah dua tahun berada di sini ?  Hissh…Dia sendiripun jarang-jarang keluar, jika tidak perlu. Monolognya bersambung-sambung sedangkan masa juga tidak henti-henti berputar menuju ke dini hari.

4 comments:

  1. Patutlah Syed Azeem ni semcam... ex-tunang rupanya sejibik macam Lia... :-)

    ReplyDelete
  2. oooooo heh pnjg plak o nye,ade kish di sebalik nye...

    ReplyDelete
  3. Salam...kak umie,
    Dah bace smpai bab 2,..
    Huh..menarik, ingatkan lia yg lupa ingatan,
    Rupanya Azeem yg salah org...
    Wokey... Contn... Bab 3..mekasih kak umie

    ReplyDelete