Umie Nadzimah Layan Blog

Umie Nadzimah Layan Blog

Sunday, September 30, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 5




                          KEJADIAN malang yang menimpa gadis unik bernama Lia Hana itu lewat petang semalam masih terbayang-bayang di fikiran Syed Azeem. Hampir dua jam dia mengadap dokumen dan komputer di hadapann, sudahnya satu perkarapun tidak dapat diselesaikan. Sememangnya wajah unik itu amat seiras dengan Sharifah Zalia. Dia telah memastikannya dengan jarak yang amat dekat semalam. Sebelah menyebelah mereka duduk di  dalam kereta, dan dia mengambil peluang ini untuk mengamati wajah itu sebaik mungkin.

                        Sekali pandang, dia pasti  tiada siapapun yang dapat membezakan antara  Sharifah Zalia dan Lia Hana. Itu yang difikirkannya. Namun jika di amati betul-betul, ada satu perbezaan yang ketara di wajah mereka.  Syed Azeem amat mengenali apa-apa sahaja yang dimiliki Sharifah Zalia, mungkin tiada satupun tentang gadis ini yang dia tidak tahu, kecuali niat gadis itu melarikan diri di hari pernikahan mereka. Ya….Gadis unik Lia Hana mempunyai dua lekuk yang dalam dan amat cantik  di kedua-dua pipinya apabila dia tersenyum. Sesungguhnya dia sudah mula suka dan terpikat dengan senyuman itu! Sangat manis dan indah! Sementara Sharifah Zalia pula , hanya mempunyai satu lekuk sahaja. Satu lekuk yang cetek, dan hampir tidak terperasan  oleh orang lain. bukan Dia yakin kini , gadis itu  bukan Sharifah Zalia.

                        Cara Lia Hana bertutur juga menarik perhatiannya. Jaun berbeza dengan cara gadis yang menghancur luluhkan hatinya itu. Lia Hana penuh tertib dan sopan , sesuai dengan raut muka yang comel dan manisnya.  Wajah nampak tenang , walau dalam keadaan yang agak kecewa dengan peristiwa malang yang menimpa dirinya semalam.
                        Syed Azeem tersenyum sendiri pula bila terkenangkan gadis itu yang sentiasa tercari-cari sesuatu di dalam beg tangan besarnya. Waktu itu,wajahnya nampak cukup menghiburkan. Terlalu banyak barang yang di bawa agaknya, sehingga terpaksa mengambil masa yang lama untuk  mencari benda yang diperlukan.
                        Hissh!…..Apa yang  melalut ni! ” Desisnya di dalam hati. Lalu dia bangun dari kerusi empuk buatan dari kualiti yang bermutu tinggi itu, menuju ke  cermin yang mengadap jalan dan  premis kilang di hadapan pejabatnya. Terasa hati untuk membuka bidai yang mengambil alih tugas langsir itu. Selama dia bekerja di sini, tidak pernah sekalipun dia membuka bidai tersebut. Tidak perlu sebenarnya. Cahaya lampu yang menerangi bilik sudah cukup untuk dia menyelesaikan semua kerja. Juga tidak mahu merasa rimas dengan kehadiran cahaya matahari yang akan masuk dan menerobos ruang fikiran dan jiwanya  yang kelam selama ini.

                        Perlahan-lahan tangan menarik tali pembuka bidai tersebut. Cahaya pagi segera masuk membantu menerangi ruangan pejabatnya yang agak besar itu. Terasa ada ketenangan dan semangat baru pula yang menerpa masuk ke dalam diri. Semangat yang telah lama pudar dan menjauh!
                       
                        Mata tenang memerhati ke luar. Pemandangan pagi yang menenangkan.  Nun, jauh di sana  tersergam Bukit Larut yang sungguh indah menghijau menerbitkan satu  perasaan harmoni bila memandang. Di tengah-tengahnya terdapat  air terjun yang memukau perhatian .  Tiada kesibukan manusia pun pada pandangannya.  Yang terbentang di hadapannya, cuma ada jalan raya yang agak sunyi. Sememangnya jalan ini jarang digunakan kenderaan luar, kecuali oleh pekerja-pekerja atau orang yang mempunyai urusan dengan kawasan perindustrian di sini sahaja.
                                               
                        Dia terus menghalakan pandangan ke arah kilang di hadapan. Besar kilang tersebut. Terdiri dari beberapa unit bangunan. Setahunya, ianya  adalah kilang makanan yang mengeluarkan jenama  ikan sardin yang amat terkenal. Dia juga suka makan sardin dari jenama tersebut. Jika bondanya yang memasak sardin tersebut, kesedapannya akan menjadi berganda-ganda lagi. Ahh! Bonda, tiba-tiba rindu kepadanya  menjengah di hati. Satu-satunya wanita yang selalu di rindui kini. Bonda sudah lama tidak melawat anaknya  di hujung dunia ni.

                         Pandangannya tiba-tiba tertancap kepada sebuah kereta warna hitam yang terparkir  di ruangan petak yang agak hujung di hadapan kilang tersebut, tetapi betul-betul berada  bertentangan dengan pejabatnya.  Toyota Vios Lia Hana!. Ohh! Tuhan….Kenapa mesti ada banyak kebetulan dengan gadis ini. Apa rahsia di sebalik semua ini? Monolog Syed Azem sendiri.

                        Harapannya untuk bertemu gadis itu buat kali ketiga, telah dimakbulkan Tuhan.  Masih adakah pertemuan manis untuk kali ke empat, ke lima dan seterusnya ? Mengenangkan  lesung pipit yang manis terletak di kedua-dua pipi putih, yang kadang-kadang merona merah,  rasanya dia tidak akan  sekadar mengharap lagi. Tidak akan bergantung kepada kebetulan lagi ! Dia akan berusaha supaya ada pertemuan untuk kali ke empat dan seterusnya.  Daya tarikan gadis tersebut amat kuat untuknya. Dia mesti bertindak menjadi lelaki macho….

*********


                        NAIK rimas Lia Hana dengan desakan Salina pada tengah hari itu. Temannya meminta penjelasannya kenapa dia boleh menumpang kereta mewah Syed Azeem semalam. Hilang selera dia untuk menjamah makanan yang dibelikan oleh Faiz, sebagai tanda terima kasih menyelesaikan masalah bersangkutan mesin operasi  malam tadi. Itu janji Faiz padanya.
                          Aku belum makan lagi ni Lina. Kau makanlah, aku boleh cerita  , nanti kau boleh jadikan novel”.
                        Tersengih-sengih  Salina menerima pelawaan Lia Hana. Nasi yang dibungkus Faiz memang nampak sedap. Lauk sotong,  udang besar di goreng, ikan pari bakar dan ulam-ulaman, berserta air asam. Sudah rezeki dia agaknya. Walaupun baru makan sebentar tadi, tetapi apabila melihat makanan tu, perutnya terasa lapar semula.

                        “ Aku tunggu kau semalam. Dah pukul sebelas , kau tak balik-balik lagi, akupun tidurlah. Pagi tadi kau kelam kabut nak datang kerja awal, tak sempat aku nak bertanya”.
                        “ Semalam tu aku terpaksa , kunci kereta jatuh dalam  lonkang depan bank. Si Azeem tu beriya-iya nak tolong. Aku naik ajelah kereta dia, sebab dah terdesak. Faiz pula asyik telefon , kecemasan di kilang ni. Jadi semuanya kena cepatlah”.
                        “….Jap…jap..Apa nama dia ?”
                        “Azeem….Azeemlah!”
                        Sedikit terjerit Lia Hana apabila Salina berkerut muka  seperti tidak dapat menangkap. Betullah dengan pengakuan dia hari itu yang IQ dia rendah, lambat sangat memahami sesuatu perkara, sungut Lia Hana dalam hati, tetapi cepat- cepat dia beristighfar  mengenangkan tidak baik berprasangka begitu, lebih-lebih lagi kepada orang yang baik kepadanya.

                        “Waah…Sedapnya nama dia, sesuai dengan orangnya. Jadi, engkau dah berkenalanlah dengan mamat biul tu?”
                        “ Kiranya macam tulah……sebab orang dah menolong aku, kenalah berbahasa kan ?”
                        “ Eh…Lia, aku betul-betul suka dengan mamat tu. Engkau tolong rekomenkan aku boleh ? Kau kan dah kenal dia ?”
                        Tersedak  Lia Hana  ketika meneguk air, dek kerana kata-kata teman serumah merangkap kawan baikknya ini. Jauhnya dia berangan!. Belumpun kenal orang bagaimana, dia sudah jatuh hati. Salina…..Salina, tidak habis-hbis dengan perangai gopoh dan kecohnya, gumannya dalam hati. Rasa lucu pun ada.
                        “Kau janganlah senyum-senyum saja. Bagilah aku peluang!”
                        “ Tengoklah nanti, kalau aku tak nak, kau boleh ambillah….” Gurau Lia Hana, ingin melihat reaksi temannya.
                        “ Ehh….Takkan kau pun suka juga dekat mamat biul tu ? Dulu kemain takut lagi. Sekarang dah suka ke ? Kau kan ramai peminat. Ni….ha tadi, Encik Kamil , bos aku baru je kirim salam dengan kau. Beriya-iya dia tanya pasal engkau  itu ini , dengan aku”
                        “Hishh….Tak kuasa aku. Encik Kamil tu kan dah ada anak dua ? Engkau jangan nak bergossip Lina, pekerja lain tahu, tak elok tau…..  Nanti dia orang ingat aku ada skandal dengan suami orang”.
                        “ Alaah….Bukan salah kau, dia yang nak menggatal!”.
                        “Jangan…..Kita orang perempuan ni, selalu sahaja jadi mangsa. Tak salahpun, akan dipersalahkan. Kau jangan babitkan nama aku dengan suami orang. Pantang keturunanan dan nenek moyang aku”.

                        Sudahnya Salina tersengih-sengih. Faham benar dia bila Lia Hana sudah menyebut keturunan dan nenek moyang , bermakna dia amat serius dengan kata-katanya. Jangan diungkit atau  di sebut lagi perkara tersebut.

                        “Cik Lia, sedap tak makanan yang saya belanja  tu ?”
                        Faiz yang tiba-tiba muncul di kantin menyapa. Terkejut kedua-dua gadis tersebut. Hampir tercekik Salina dibuatnya, mujur Lia Hana cepat-cepat menghulurkan air minuman. Kemudian, mata Salina terbelalak memandang temannya, yang sedang tersengih-sengih itu.
                       “ Sedap sangat Faiz. Banyak pula tu. Tak habis saya makan seorang, itu yang syer dengan Cik Lina ni. Terimakasih banyak-banyak ya. Lain kali saya belanja Faiz pula”.
                        “Saya, kalau Cik Hana nak belanja, tak menolak.  Rezeki kan? Emak ayah pesan, jika ada rezeki jangan jual mahal”.
                        “ Banyak betul pesanan emak ayah engkau ya Faiz? Setiap kali jumpa kau, mesti ada pesanan mereka yang kau sebut”.
                        Salina mencelah. Sememangnya begitulah, jika mereka berbual dengan Faiz, mesti ada pesanan ibu-bapanya yang disampaikannya.  Teknisyen dari Bahagian Penyelenggaraan ini, sudah satu tahun berkhidmat di situ, dan nampak seperti amat berminat mendekati mereka berdua sejak kehadiran Lia Hana dua bulan lalu. Namun Lia Hana seperti buat-buat tidak mengerti dengan tujuan Faiz.
                        “Saya pergi dululah Cik Hana dan Cik Lina, nak solat Zohor, takut tak sempat pula nanti”.
                        Okay Faiz. Terima kasih sekali lagi untuk makanan yang sedap ni”.
                        Faiz mengangguk seraya tersenyum , khas untuk gadis pujaan hati di dalam diam. Lalu dia beransur menuju ke surau berdekatan.
                        “Itu lagi seoarang, yang tergila-gilakan engkau! Engkau tak perasan ke Lia ?” Bisik Salina setelah Faiz agak menjauh.
                        “ Apalah engkau ni Salina! Dia tu macam adik aku saja. Beza umur dia dengan kita tiga tahun tau ! Dah…dah, jangan nak merepek lagi. Jom pergi solat, sebelum bos kau dan bos aku mengamuk kat dalam sana”.

3 comments:

  1. hehe akhir nye sy dpt bce sambungan citer nie...lia nie memg ramai peminat lh,npk nye azeem sedang membuka hati nya,yaa berusaha azeem,tinggal kan segala kenangan yg pahit...

    ReplyDelete
  2. excited nak tunggu episod yang seterusnyaaa :))

    ReplyDelete