Umie Nadzimah Layan Blog

Umie Nadzimah Layan Blog

Wednesday, September 5, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 2

                        

                       SUKAR untuk Syed Azeem melelapkan mata. . Pusing kiri gelisah, pusing kanan resah, semua terasa tidak kena. Bayangan gadis tersebut tidak lansung mahu pergi dari mindanya. Wajah, suara, senyuman, cara marah, dan segala-gala, semuanya sama. Tiada beza lansung. Malah cara berjalanpun tiada beza. Tetapi gadis itu tidak lansung  mengenali Syed Azeem . Betulkah ? Atau Sharifah Zalia masih ada agendanya  yang tersendiri ? Masih tidak puas hati menyakiti hatinya ? Masih belum puas melepaskan rasa amarahnya?  Apakah tujuan untuk muncul semula tetapi dalam keadaan berpura-pura ?. Zalia, Zalia, tidak habis-habis engkau mendera perasaan ini. Syed Azeem  masih bermonolog sendiri, walau jarum jam telah menunjukkan ke angka lewat malam.

                        Pertemuan dengan gadis petang tadi, membuatkan fikirannya kembali mengingati Sharifah Zalia semula .  Atau mungkin lebih tepat lagi merindui gadis itu semula. Walau sarat dengan  benci, tetapi perasaan rindu  kuat menyaingi . Tidak mampu mengalahkan rasa benci yang  dibina sejak bertahun . Dia sanggup berhijrah ke tanah asing ini, semata-mata untuk lari jauh dari bayangan gadis tersebut. Sanggup meninggalkan kotaraya  mewah tempat kelahiran , yang telah sebati dengan hidupnya  selama ini, semata-mata untuk membuang kekecewaan yang  ditanggung.  Sanggup berjauhan dengan bonda tercinta demi sebuah kelukaan yang cukup dalam.

            Sekian lama dia merawat luka hati seorang diri. Mengambil kesempatan  dengan menyibukkan diri dengan urusan kilang perabot yang diamanahkan abi. Mengepalai sebuah kilang yang baru diambil alih oleh syarikat keluarganya, bukan suatu perkara yang mudah. Dia terpaksa bekerja keras siang dan malam untuk mengembalikan semula modal yang telah dilaburkan. Dua tahun, tiada lansung hiburan , apa yang difikirkan adalah kerja, kerja dan kerja. Hasil kesibukannya, dia telah berjaya  meningkatkan jualan perabut   kepada lima kali ganda    berbanding sebelum dia ditugaskan di situ.  Suatu pencapaian yang amat dibanggakan abi serta ahli keluarganya yang lain.

            Sebenarnya, dengan rutin kerja yang begitu dia sudah hampir melenyapkan wajah Sharifah Zalia dari ingatan sehinggalah pertemuan petang tadi membuatkan hatinya menjadi nanar semula. Jiwanya  lemah kembali. Mestikah Zalia kembali lagi setelah lukanya hampir sembuh, dan hidupnya  hampir kembali normal? 

            Fikiran  Syed Azeem menerawang kepada peristiwa dua tahun yang lalu. Dia dilukai pada hari bahagia. Beberapa jam sahaja sebelum dia disahkan menjadi suami kepada gadis yang selama ini dicintai  dan disayangi sepenuh hati. Gadis yang didambakan dalam hidupnya. Yang dipuja, dibelai  dan dituruti segala kemahuannya. Tidak pernah dia melukai walau sedikit hati si gadis , walau hati sendiri selalu diguris kasar akibat sikap lepas laku  gadis tersebut.

            Masih segar terbayang-bayang wajah bonda  yang kelihatan sedih  masuk ke biliknya  dan duduk di birai katil. Dia yang  pada waktu itu terkumat kamit berlatih menghafal ayat yang sepatutnya dilafazkan di hadapan Tuan Kadi sebentar lagi, kemudiannya tersengih-sengih memandang . Bonda memeluk bahunya lembut. Mata yang penuh kasih sayang itu dihalakan terus ke anak matanya. Mesti ada sesuatu yang amat penting yang akan disampaikannya .
            “ Azeem. Bonda nak beritahu sesuatu. Tapi anak bonda mestilah banyak-banyak bersabar….”.
            Perlahan suara bondanya berbisik. Dia tidak membalas kata-kata itu, hanya menunggu apakah perkhabaran seterusnya. Mesti  bersabar untuk apa ? Ahh! Jantungnya sudah berdegup kencang.
            “ Zalia….Zalia….nak . Dia dah pergi dari rumah  walidnya. Khabarnya sudah sampai ke Narathiwat, dan mungkin sekarang sudah   sah menjadi isteri orang lain. Bersabar ya……nak. Mungkin jodoh Azeem bukan dengan Zalia. Mungkin ada yang lebih baik menanti”.
                        Syed Azeem memandang bondanya dengan mata yang tidak berkedip. Lama. Bagai tidak percaya apa yang diperkatakan oleh mulut manis di hadapannya ini.
                        “Bonda ?”
                        Bondanya sekadar mengangguk. Mengiyakan kata-katanya sebentar tadi benar belaka. Namun pandangan anaknya seperti masih tidak percaya lagi. Ataupun terkejut , kerana ianya suatu berita yang tidak pernah dijangka akan berlaku.
                        “ Betul…nak. Zalia dah pergi bersama lelaki lain. Bermakna dia menolak perkahwinan ini. Sabar ya….nak.  Anak bonda  masih tidak rugi apa-apa . Bonda, abi dan kakak dan adik masih  ada menyokong Azeem ”.
                        “Sampai hati ……Zalia”.
           
            Itu sahaja ungkapan yang mampu dilafazkan ketika itu. Selepas itu, dia hanya berkurung di dalam bilik . Jiwa  remuk rendam apabila mendapat tahu Sharifah Zalia telah melarikan diri bersama  lelaki pilihannya ke Selatan Thailand untuk bernikah.  Dua hari selepas itu, majlis resepsi sebagaimana yang dirancang oleh pihak keluarga  Sharifah Zalia masih tetap juga berlansung. Akan tetapi pengantin lelakinya tentulah bukan Syed Azeem , seperti mana yang tertera di dalam  kad jemputan perkahwinan berwarna hijau muda yang indah itu. Dan saat itu, dia terasa seperti tidak perlu lagi untuk terus menyedut udara di bumi ini. Hanya kematian sahaja yang berada di fikirannya untuk memutuskan segala keresahan jiwa.

            Kekecewaan itulah yang membawa dia ke utara tanah air , sebagai jalan untuk  menyembuh hati. Semenjak berhijrah  dia  tidak pernah pulang ke rumah keluarganya di Kuala Lumpur.  Sebab utama adalah dia terpaksa melintasi  banglo rumah keluarga Sharifah Zalia  terlebih dahulu untuk sampai ke kediaman bondanya. Jika kerinduan pada anak lelaki mereka, bonda ditemani abi akan berkunjung ke rumahnya di Taiping. Mereka amat merestui keputusannya untuk berada jauh dengan tujuan dia dapat bangkit semula , dan dapat melupakan peristiwa sedih itu.

            Namun, yang lebih penting bagi abinya, pemergian ini supaya dia dapat memajukan perniagaan dan mengembangkan empayar harta  mereka kepada yang lebih positif. Apalah sangat kekecewaan disebabkan seorang perempuan. Dia yang menolak tuah. Syed Azeem sempurna segala serbi.  Dengan harta yang ada, ramai anak-anak gadis orang ternama mampu dimiliki. Itu kata abi, tetapi kata hati Syed Azeem sendiri bagaimana ?.  Cinta tidak boleh dijual beli. Seorang yang pergi tidak mungkin ditukar ganti , walau dengan seribu jelitawan.

            Pertunangannya dengan Sharifah Zalia, adalah dengan kehendak keluarga. Malah umi dan nenek Sharifah Zalia yang banyak merancang dan mengatur. Abi  penyokong kuat  . Pada mereka, hanya dia sahajalah yang paling layak mengahwini  anak perempuan tunggal Syed Hanafi itu. Gelaran dan harta mereka akan terus dikekalkan jika Sharifah Zalia berkahwin dengannya.   Keturunan mereka akan tetap berpangkalkan nama Syed dan Sharifah. Dan itulah tujuan utama , disamping menyatukan harta kekayaan yang sedia  ada dalam sebuah perkongsian yang harmoni.

            Syed Azeem dengan gembira dan rela hati akur. Sementelah pula, dia sememangnya telah jatuh hati tahap gaban pada anak Tuan Syed tersebut kononnya. Cinta separuh mati . Segala kehendak dan kemahuan gadis itu diturutinya , tanpa sebarang protes.  Layanannya perfect seratus peratus. Tip top. Sedikit tidak beralih kepada yang lain. Sangkanya, cinta mereka dua hala. Dia sayang pada Sharifah Zalia, dan gadis itu juga sayang padanya.  Tak sangka pula selama ini Sharifah Zalia hanya berpura-pura sahaja.

            Di luar pengetahuannya, Sharifah Zalia sebenarnya memberontak dengan rancangan keluarga mereka. Dia telah mempunyai pilihan hati sendiri, yang ditentang keras oleh ibu dan neneknya.  Kerana pemuda pilihan hatinya bukan dari satu keturunan mereka. Gelaran Syed dan Sharifah tidak akan menjadi milik generasi mereka lagi seandainya dia memilih orang biasa.  Itu juga pendapat utuh  Syed Awaludin, bapa kepada Syed Azeem. Sebab itulah dia amat perihatin kepada setiap kawan perempuan anak lelakinya. Salasilah keluarga adalah sesuatu yang amat penting bagi mereka. Jangan berkawan dengan perempuan atau lelaki  sembarangan!.

            Zalia…..Zalia. Kenapa mesti engkau muncul semula ? Tetapi betulkah yang dia  lihat petang tadi Sharifah Zalia ? Tidak mungkin dia  mahu makan di restoran makanan segera yang dipenuhi ramai orang ? Kawan-kawannya pula …….Hissh….Jauh beza dengan kawan-kawan Zalia dahulu. Malah Sharifah Zalia tidak sekali-kali menaiki kereta yang berharga kurang dari seratus ribu ringgit. Berbeza dengan gadis tadi yang hanya menaiki kereta bernilai lapan puluh lapan ribu sahaja. Syed Azeem  masih bermonolog sendiri , mencari jawapan kepada persoalan di mindanya.

                        Jika bukan Zalia. Siapa gadis tadi ? Ahh…..wajahnya sama.  Setahunya Zalia  anak tunggal. Tiada adik beradik lain. Malah semua  saudara sepupunya yang tidak ramai itu dia kenal. Semuanya tidak mempunyai wajah Zalia. Iras-iras sedikit  sedikit mungkin ada, tetapi yang petang tadi tiada beza lansung. Kenapa pula baru terserempak , sedangkan dia sudah dua tahun berada di sini ?  Hissh…Dia sendiripun jarang-jarang keluar, jika tidak perlu. Monolognya bersambung-sambung sedangkan masa juga tidak henti-henti berputar menuju ke dini hari.

Monday, September 3, 2012

Tidak Pernah Sesal, Bab 1


                        “LIA ?”.
                        Tidak ada sebarang tindakbalas terhadap panggilan itu.
                        “Lia ? Lia?”
                      Lia Hana menoleh kepada lelaki yang menyebut namanya itu. Sedikit terkejut Merenung seraut wajah tampan di hadapan. Memang betul  itu panggilan  untuknya. Setelah tiga kali pangkal namanya disebut, terasa dia tidak salah mendengar. Masalahnya, ia keluar dari mulut lelaki yang entah dari mana munculnya. Tiba-tiba mengejar dan memanggil-manggil.  Saat ini, otaknya bekerja keras mengingati    ,jika pernah mengenali jejaka ini. Gagal! Tiada lansung memorinya terhadap orang ini. Memanglah kacak ! Tetapi entah siapa-siapa . Berani pula menjerit namanya ditengah-tengah kebisingan dan orang ramai begini.
                        “Lia ? Macam mana boleh ada di sini ?”
                      Hah? Lia Hana masih terpinga-pinga seperti tidak percaya lagi. Lelaki ini betul-betul mengenali dia ke? Sekali lagi dia mendongak memandang wajah tersebut. Lelaki itu tersenyum mempamerkan gigi  putih berseri serta tersusun rapi. Hendak tidak hendak bibirnya terpaksa mengungkapkan kata yang lahir dari tindakan otak dan perasaan yang telus.
                        “Saya kenal awakkah ?”
                        Lelaki itu  membulatkan mata kepadanya. Seperti kurang percaya  dengan soalan pendek yang lahir dari bibir mungil itu.
                        “Heh? Takkan dah lupa abang ? Tahulah abang bukan pilihan Lia, tapi takkan sampai tak kenal dah ? Sampai hati Lia buat abang begini . Sedih abang…”.
                        Berkerut dahi Lia Hana. Mamat seorang ini, rupa memikat hati, tapi mungkin wayar ingatannya ada yang putus agaknya.  Datang entah dari mana, tiba-tiba mengaku mengenali dirinya. Siap dengan muka sedih-sedih dan kecewa lagi.  Namun nama yang disebut itu sememangnya  betul. Lia!. Itu panggilan untuknya!
                        “Encik salah orang agaknya. Saya betul-betul tak mengenali encik. Minta maaf ya”.
                        “Lia ? Sampai hati …..Jika tak sukapun, janganlah kata tidak mengenali abang”.
                        “ Sungguh encik, saya betul-betul tidak kenal”.
                        Lia Hana enggan berlama-lama berteka-teki dengan lelaki tersebut. Orang biul, detik hatinya.  Kakinya pantas sahaja melangkah untuk bergerak. Kebetulan  matanya telah terperasan  Salina yang melambai-lambai tangan dari restoran makanan segera  berhampiran. Lelaki tersebut masih seperti tidak percaya  dengan kata-katanya. Tangan Lia Hana dicapainya.
                        “Hissh!  Apa ni ?.       
            Sediki terjerit suara Lia Hana. Terkejut lalu.spontan merentap kembali  tangannya. Pantas mempercepatkan langkah masuk ke restoran  menuju ke meja yang diduduki Salina bersama dua orang gadis yang lain. Sedikitpun dia tidak ingin memandang kembali lelaki yang berlaku kurang sopan terhadapnya tadi.  Lelaki   tersebut juga seperti terkejut dengan tindakannya sendiri. Akhirnya hanya  matanya sahaja yang mampu  mengiringi langkah pemergian Lia Hana sehingga ke dalam .
           
            Agak tercungap-cungap Lia Hana ketika manarik kerusi dan melabuhkan punggungnya disitu.  Salina juga terdiam memerhatikan kawannya dan seketika kemudian membuang pandang kepada lelaki itu, yang masih terpaku memandang ke arah mereka.
            “ Siapa dia lelaki macho di luar tu Lia ? Kau tak pernah cerita pada akupun? Macam drama pula aku tengok kau orang berdua. Siap tarik-tarik tangan lagi”.
            “Entah Lina.  Orang sewel agaknya. Akupun tak kenal”.
            “Takkanlah tak kenal boleh sampai macam tu sekali. Tengok tu….dia masih pandang-pandang engkau!”.
            “Dia ada lagi ke kat luar tu ?”.
            “Ada….lah.  Tampan sangat….Lia”.
            “ Hiss…Engkau ni Lina. Aku ni seramlah ! Tapi dia kenal aku. Dia panggil aku berkali-kali.  Sumpah aku tak kenal dia . Seramlah aku Lina. Dia siap cakap macam orang putus cinta lagi…..Aku  rasa dia  macam tak betul saja. Ataupun tengah kecewa bercinta. Habis apa kita nak buat ni Lina ?”.
            “ Engkau tak nak ke berkenalan dengan dia ? Aku boleh lambai dia masuk. Dia masih memerhati tau !”.
            “ Engkau Lina, kalau nak buat lawakpun, biarlah kena pada tempatnya. Entah siapa-siapalah tu. Dia dah berkurang sopan dengan aku, maknanya dia bukan lelaki budimanlah ! Jadi engkau jangan nak memandai-mandai”.
            Lia Hana  bertegas sambil mata menoleh ke arah dua orang gadis di hadapannya. Baru dia perasan kewujudan mereka berdua. Mereka juga terdiam ataupun terkejut menyaksikan babak drama singkat  sebentar tadi.
            “Eh….Maaflah Siti. Datang sini nak raikan hari jadi Siti, tak sangka pula kena bermasam muka tadi”.
            “ Tak apa kak. Ada juga hiburan . Kelakar juga.  Akak  ni…ke mana pergi mesti menarik perhatian kaum lelaki. Cemburu perempuan lain”.
            “ Hissh….Siti ni. Kalau dapat lelaki yang bagus tak apa, kakpun suka, ini yang wayar putus datang cari kak.  Buang masa  kau orang nak  cemburu. Eh ,  Ini kawan Siti ke ?”.
            “ Iya kak. Kawan baik dari sekolah lagi, Norlia. Dia kerja di bangunan sebelah. Promoter”.
            Senyum lebar  berbalas  diantara Lia Hana dan Norlia.  Berbual-bual ringan ,  berkenalan.  Pada pandangan kasar, Lia Hana  kurang menyenangi dengan perawakan kawan Siti ini. Seperti ada sesuatu yang tidak kena di mata dan hatinya. Lia Hana kemudiannya mengalihkan pandangan kepada Salina yang seperti tidak berada seiring dengan mereka.
            “ Hei kawan. Ke mana kau pergi ? Sudah-sudahlah tengok mamat biul tu”.
            “ Dia dah pergilah…. Lia. Kesian pula aku tengok. Lama dia perhatikan engkau sebelum pergi. Entah-entah dia memang kenal engkau tak? Cuma engkau saja yang hilang ingatan. Maklumlah, kena paksa balik kampong oleh mak kau.”.
            “ Iya…lah tu. Tak apa , anggaplah aku hilang ingatan! Asalkan kau jangan terpikat dengan mamat tu. Engkau ni Lina, pantang jumpa lelaki macho sikit, mulalah hilang pertimbangan. Ada ke kawan baik sendiri kau kata hilang ingatan ?”.
            “ He..he..he. Maaflah Lia.  Tapi engkau tak hairan ke dengan kelakuan mamat tu tadi? Macam mana dia boleh tahu nama engkau ?”
            “A’aa yek ? Macam mana dia tahu nama aku ?   Misteri juga ya?”
            “ Kau ni Secret admirer dia tak ?”
            “ Kalau ‘SA’ selalu terserempak Lina. Setahu  aku , ini pertama kali aku jumpa dia. Akupun baru sebulan pindah sini.  Mana sempat orang nak pandang”.
            “ Alah…Lia, orang cantik macam kau, kejap aje boleh buat orang jatuh hati dan merana tau. Lainlah ….orang macam kita ni. Betul tak Siti, Norlia?”.
            Budak berdua itu cuma tersenyum . Bersetuju tidak, membantahpun tidak. Sudahnya Salina mencebikkan bibir, dan ketawa sendiri-sendiri.

            “Terimakasih Kak Lina, belanja makan hari ini”.
            “ E’eeh, memang akak yang belikan Siti, tapi duitnya kak Lia yang punya. Duit dia lagi masyuk dari akak. Akak ni Penbantu Tadbir saja. Dia lainlah, Pengurus, Duit berkepuk-kepuk”.
            “ Aku ikhlaslah Lina. Tak payahlah engkau ungkit-ungkit  pasal duit aku dalam bank tu. Kesian Siti. Nanti tercekik pula dia. Belanja makan,tapi menyebut-nyebut. Macam tak ikhlas  pula ya ?”
            “ Siti tak apa kak. Terimakasih banyak-banyak Kak Lia. Kakak berdua selalu layan Siti dengan baik. Dah bagi makan, ada hadiah pula . Tak terbalas Siti”.
            “ Tak ada apa…lah Siti. Sikit aje tu. Tak luak duit kakak Lia kau ni…”
            Salina masih hendak menyakat Lia Hana . Namun, bagi Lia Hana, ianya perkara biasa yang didengarinya. Sikap Salina memang begitu. Terlebih ramah dan juga terlebih berani. Kadang-kadang naik rimas dibuatnya, tetapi rindu pula tanpa kehadirannya. Namun, dia mempunyai sekeping hati yang jujur dan penyayang. Itu yang membuatkan Lia Hana boleh bertahan bersahabat dengannya sejak sekian lama.

            “Lepas ni Norlia nak belanja Siti tengok wayang. Akak berdua nak ikut ?”.
            “ Oh ya ke? Nak tengok wayang ? Kak Lia tak dapatlah Siti. Kena balik rumah mak. Dia kurang sihat . Kau Lina macam mana ? Nak tengok wayang juga ?
            “ Aku nak balik rumah kitalah. Kau hantar aku yek?”.
           “Untuk kau Lina, apapun aku snggup. Siti jangan balik lambat sangat ya!. Lepas menonton terus balik. Tak selamat, kalau jauh malam sangat”.
            “Iya kak”
                        “ Kami pergi dulu Siti, Norlia. Jaga diri ya!”
                        Lia Hana dan Salina beredar setelah menghabiskan makanan mereka, meninggalkan dua gadis remaja yang mempunyai agenda mereka tersendiri di Pusat membeli belah tersebut.
                        “Lia!. Tunggulah….Engkau ni, kalau bab berjalan, tak tahu perlahan-lahan”.
                        Lia Hana memperlahankan langkahnya supaya dapat beriringan dengan Salina. Padanya, bukan dia yang berjalan laju, tetapi Salina yang amat perlahan pergerakannya. Suka sangat memerhati kiri kanan, sana sini.
                        “ Lia…Kau nampak tak apa yang aku nampak ?”
                        “ Apa dia Lina ? Tak semua yang kau nampak dapat dilihat aku tau!”
                        “ Tu..tuu…Cuba kau pandang sebelah kanan”.
             Bisik Salina perlahan. Tanpa berlengah, Lia Hana memalingkan kepalanya ke sebelah kanan. Matanya menentang sepasang mata redup yang tengah merenunginya. Berderau darahnya.
            “Ya Allah!. Mamat biul tu ke ? Kenapa kau tak cakap dari tadi?”.
            “Akupun baru perasanlah dia tengah mengekori kita. Agaknya dia menunggu dari tadi tak?”
            “ Hissh. Apa yang dia nak ha….Lina? Kau ada idea tak ?”
            “Aku tak nampak dia macam orang jahatpun. Kau tanyalah dia baik-baik. Tu dia tengah datang ke arah kita. Kalau kau berkasar, takut jadi lain pula nanti”.
            “Aku takutlah Lina”.
            “ Sini ramai oranglah! Jangan bimbang”.
            Lelaki tersebut menghulurkan senyuman, yang dibalas sedikit pahit oleh kedua-dua gadis tersebut.
            “Saya minta maaf  pasal tadi. Saya tunggu ni sebab nak pastikan,betulkah cik tak kenal saya ?”.
            Hati Lia Hana sedikit lega dengan ucapan maaf tersebut. Namun, tidak bermakna dia tidak perlu berhati-hati lagi. Dipegang erat tangan Salina, sebagai persediaan, jika berlaku perkara yang tidak diingini.          
            “Betul. Saya tidak kenal encik . Tapi nama saya sememangnya Lia”.
            “ Syarifah Zalia?”
            “Bukan. Saya Lia Hana. Betullah ….encik dah salah orang”.
            “Oohh….Maaf. Pelanduk dua serupa rupanya . Maaf ya ?”.
            “ Tak apa. Mungkin iya kut! Pelanduk dua serupa. Kami pergi dulu ya ?”.
            Lia Hana terus menarik tangan Salina dan berjalan laju menuju ke arah tempat parkir kereta. Sesampainya ke kereta Toyota Vious hitam  miliknya, mereka  terus masuk  dan dengan segera dia  menekan kunci pintu supaya tidak dapat dibuka dari luar.
            “ Serik aku berjalan dengan engkau tau Lia. Kut ya pun, tenang-tenanglah!. Apa yang engkau nak takutkan. Orang ramai lalu-lalang.  Ini tidak , engkau heret aku macam budak kecil !”.
            “ Aku takutlah Lina. Macam-macam orang ada kat luar ni”.
            “ Aku tak nampakpun lelaki tadi macam orang jahat. Kalau kau tak nak layan dia, paslah pada aku. Ini tidak, kau lansung tak bagi peluang….”
            “Ooi cik kak ! Peluang apanya ? Hari dah malam. Hendaknya dia tu peragut ke , dihulurnya pisau kat leher engkau tu , apa kau nak buat ?”.
            Salina membuang pandangannya ke luar. Tidak memberi tindakbalas kepada kata-kata kawannya. Matanya tertanchap kepada sekujur tubuh bersandar di sebuah kereta mewah sedang memandang ke arah mereka.
            “Lia. Dia ada lagilah !. Tuu ….Kau nampak tak ? Bersandar di kereta BMW tu”.
            Saat itu, dada Lia Hana amat berdebar-debar. Sampai ke aku ke rumah emak malam ini , fikirnya. Dibuatnya lelaki itu mengekorinya, dan menahan di tengah-tengah jalan bagaimana?. Jalan ke kampongnya pula  sunyi  dan agak gelap.

            “Lina, aku tak jadi balik rumah maklah malam ini….”.
           


Friday, September 23, 2011

Bab Pilihan Usai aku Terima NikahNya...

Assalamualaikum,

Hhmm...blog Kak Umie masih seperti rumah yang tak siap- siap. Sorry lah ya, Kak Umie akan perbaiki dan tambah sikit-sikit dari semasa ke semasa (Macam orang buat rumah sendiri, ada duit baru bikin, tapi Kak Umie ada  masa baru terjah sini..hihi)

Walau bagaimanapun, Kak Umie ingin benar nak berkongsi cerita bab bonus dengan pembaca-pembaca yang sudi mengikuti kisah Puteri-Abang Is-Khalif dalam Usai aku Terima NikahNya...

Dijangkakan novel ini akan keluar pada bulan Oktober ini,keluaran Karya Seni.

Sebelum tu, mari kita panaskan sikit-sikit ingatan terhadap dua jejaka kacak lagi baik yang cuba merebut sekeping hati si Puteri.....Layan ya bab 48 nih....

Bab ini tiada di penulisan2u eh....istimewa disini sahaja.... semoga terhibur...

Usai, Aku Terima NikahNya, Bab 48

                     Leka Iskandar memerhati sekeliling restoran Warisan Puteri.  Suasananya nampak kemas dan teratur. Dipadankan dengan warna dinding dan perabut yang senada, membangkitkan rasa ketenangan untuk bersantai di sini, sambil menikmati makanan.  Di sesetengah sudut di letakkan pokok segar di dalam pasu besar, menambahkan seri dengan adanya kehijauan yang menenangkan mata dan minda.
                        Iskandar merasa cukup bangga dengan pencapaian Puteri..
                        Lihat sahajalah sekarang ini, walaupun bukan waktu yang sibuk, tetapi masih ramai pelanggan yang datang. Kelihatan pelanggan-pelanggan yang ada di situ dengan berbagai tujuan. Ada yang semata-mata untuk makan, ada juga yang makan sambil berbincang urusan perniagaan, dan ada juga yang datang kerana perkhidmatan WIFI ada di restoran ini.   Apa-apapun, Iskandar menyimpulkan bahawa restoran milik isterinya, memang nampak terkenal di  sini.
                        Layanan dan persekitaran ekslusif, mungkin menjadi daya tarikan semua golongan, di samping harga yang berpatutan. Melalui  kad menu yang di baca Iskandar sebentar tadi, dia cukup kagum dengan idea Puteri untuk memperkenalkan makanan tradisional yang mungkin sudah agak susah di dapati sekarang ini.
                        Mata Iskandar tertancap kepada budak lelaki yang berada selang dua meja di hadapan. Comel . Berumur lebih kurang tiga atau empat tahun. Hah! Anak orang bandar, kecil-kecil lagi sudah di ajar makan di restoran. Kanak-kanak  itu begitu berselera menyuap ‘fish and chip’ ke mulut.   Tapi  yang bagusnya, airnya adalah segelas  susu. Ada peneman di sebelah. Bibik Indonesia, kerana dapat diteka dari wajah dan penampilannya. Mustahil dia ibu kepada kanak-kanak comel dan kelihatan ‘branded’ itu.
                        Kanak-kanak tersebut tiba-tiba memandang Iskandar dan memberikan senyuman. Waduh! Kenapa tiba-tiba berdegup kuat jantung Iskandar. Seperti ada tarikan yang kuat . Tetapi Iskandar dapat rasakan, lesung pipit yang dipamerkan pada pipi kanak-kanak tersebut sama seperti yang dipunyai seseorang.  Juga sinar matanya yang memancar itu. Membuatkan Iskandar menjadi semakin  dekat dengan orang itu. Memang dekatpun! Inikan restoran miliknya ? Mungkinkah dia berada di sini.
                         Selain dari itu, wajah kanak-kanak itu juga seperti sudah biasa bagi Iskandar. Ahh....ada iras-iras......hishh...takkan pula ada iras diri sendiri.... Janganlah melalut Iskandar. Tetapi terfikir juga dia, dalam umur yang begini, jika dia tidak membuat perangai dahulu, mungkin sudah dikurniakan anak yang comel seperti itu.
                         “Encik, pesanan dah sedia”
                        “Terimakasih. Tanya sikit ya ? Pemilik restoran ini Puan Puteri ya ? Dia ada?”
                        “Ya...Puan Puteri. Tapi dia sudah keluar tadi. Pergi ke Sepang”.
                        “Oohh...Biasanya bila dia ada ?”
                        “Tak tentu encik. Jadualnya tak dapat dijangka. Tapi waktu pagi dalam pukul sembilan setengah dan petang dalam pukul enam dia mesti ada di sini. Selain daripada tu, jadual dia memang tidak menentu. Kadang-kadang seharian di sini, kadang-kadang seharian di luar. Kenapa encik ? Ada sebarang pesanan untuk puan ? Atau encik boleh berjumpa dengan pengurus kami jika ingin berbincang tentang perniagaan”.
                        “Oohh....tak mengapa. Saya cuma kawan lamanya. Nanti saya datang lagi untuk berjumpa dengannya. Terimakasih ya”.
                        Lalu pelayan tersebut beredar dengan sopan. Iskandar cukup berpuas hati. Puteri patut mendapat lima bintang dari lima bintang markah penuh! Restorannya memang ada kelas tersendiri. Makanan, kebersihan  dan layanann ada kelas .
                        Lamunan  Iskandar di kejutkan dengan kedatangan kanak-kanak tadi ke arahnya.
                        Hai , uncle. How are you ?”
                        “Oh hai...fine...fine .Thank you
                        Lalu si kecil itu menghulur tangan untuk bersalam. Iskandar pun  menjadi teruja untuk melayan. Dia juga menghulur tangan, dan disambut untuk disalam dan dicium. Satu perasaan asing menyelinap sehingga ke tangkai jantungnya.  Tiba-tiba dia terasa seperti hendak memeluk tubuh si kecil ini.
                        What’s your name ?”
                        My real name is Iskandar A’dif. Uncle?”
                        “Oh ya ? I’m also Iskandar”.
                        Tiba-tiba muncul pula satu suara.
                        “Ya Allah , di sini rupanya JI. Puas auntie Mila cari. Tadi mama call nak cakap dengan sayang, tapi puas auntie cari tak jumpa. Mana pula bibik ni, pergi.   Err....Maaflah encik, jika anak saudara saya ni menganggu . Dia memang peramah sikit”.
                        “Eh, tak mengapa. Saya suka”.
                        JI, go inside, into your room. Time to study, okay !”
                        Okay auntie. Bye uncle. Nice meeting you”.
                        Bye . Nice meeting you too
                        “Maaf ya encik. Menganggu. Biasanya dia tak begini dengan pelanggan lain”.
                        It’s okay. Don’t worry”.
**********
                        Semalam kali pertama Iskandar berkunjung ke restoran Puteri.  Dia tidak berharap untuk bertemu Puteri semalam. Bagus juga Puteri tiada, sekurang-kurangnya dia memperolehi lebih kekuatan pada diri untuk menghadapi pertemuan ini.
                        Sudah tiga hari dia kembali ke Malaysia. Bercuti panjang. Dengan satu tujuan. Untuk meraih balik apa yang dia telah hilang. Sekali ini dia pulang dengan satu nekad dan matlamat. Dan fikirannya juga tidak bercelaru seperti dahulu. Keputusan muktamad! Untuk mendapat kembali permatanya yang hilang selama ini.
                        Hari ini Iskandar  lebih bersemangat! Pagi-pagi lagi dia  telah bersiap-siap. Dia mengejar masa untuk bertemu Puteri. Dia tidak mahu terlepas lagi, dan dia juga tidak akan membuang masa lagi.
                        Iskandar mengambil tempat di satu meja sudut yang agak tersembunyi dari pandangan umum. Dengan harapan hari ini memberi rezeki untuk dia bertemu Puteri. Dalam hati tidak henti-henti membaca bismillah, supaya semuanya berjalan dengan lancar. Dia tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku, jika betul pertemuan ini terjadi.
                        Iskandar sudah mula berdebar-debar, apabila pelayan tadi memberitahu dia akan memanggil Puan Puteri. Kebetulan bos besar itu, baru sahaja sampai.             
                        Sepuluh minit menanti, Iskandar terperasan ada seseorang yang sedang menuju ke arahnya. Aahh....itukah Puterinya ?  Anggun sekali dalam  kebaya merah jambu. Dan mahkota perempuannya, telah ditutup rapi kini, dengan sehelai tudung rona merah jambu lembut.  Hampir tidak percaya Iskandar . Jika tidak kerana mata yang coklat dan bersinar itu, dan mulut  mungil yang cukup dikenali, sudah tentu dia tidak dapat mengecam.
                        Iskandar lalu berdiri bila Puteri menghampiri meja.
                        Puteri tenang sahaja. Tidak marah, tidak sedih, tidak juga gembira. Dia tahu yang berada di hadapan kini adalah suaminya. Suami yang sudah lama pergi tanpa sebarang berita.  Dan Puteri tahu tujuan dia kembali pada hari ini. Puteri masih ingat lagi. Dan Puteri  tidak pernah lupa akan perjanjian itu.
                        Peliknya, Puteri tidak merasakan apa-apa perasaan yang mendebarkan. Pertemuan dengan Abang Is kali ini, tidak mengujakan seperti dahulu-dahulu. Biasa sahaja. Puteri tidak merasakan ada perasaan istimewa mengalir dalan tubuh. Tiada.
                        “Puteri ?”
                        “Saya...Abang Is ....Duduklah”.
                        Puteri perasan mata Abang Is tidak lepas-lepas memandang. Mungkin sebagai isyarat bertanya kenapa Puteri tidak menghulur tangan untuk menyalami suami yang sudah lama tidak bertemu. Suami ? Betulkah dia suami Puteri ? Puteri.....jangan buat-buat lupa pula..
                        Dada Iskandar cukup berdebar-debar. Dan dia menjadi tidak keruan sebentar. Dia berusaha keras untuk menenangkan diri.
                        Mereka berdua, masing-masing berdiam . Mungkin masing-masing cuba menyesuaikan diri terlebih dahulu. Puteri tenang sahaja. Dia memang telah menjangka kedatangan Abang Is . Sebab usia perkahwinannya telah menjangkau lima tahun ! Ada sesuatu yang Abang Is akan tuntut!
                        “Puteri apa khabar ?”
                        “Alhamdulillah. Abang ?”
                        Iskandar mengangguk. Dalam gugup, matanya cuba mencari mata Puteri, tetapi dia tidak mendapat apa-apa. Pandangan yang seperti tiada erti lagi. Puteri seperti tidak mengharap lagi.
                        “Bila abang balik ? “
                        “Tiga hari lepas. Puteri nampak hidup dengan baik sekarang ya ..”
                        “Alhamdulillah. Life must go on. Puteri cuba lakukan apa yang terbaik”
                        “Puteri....”
                        Puteri mendongak memandang Iskandar. Mencari kejujuran dan keikhlasan di mata dan wajah lelaki itu untuk pertemuan ini.
                        “Puteri tahu abang.... fasal tanah lima ekar setelah genap lima tahun kan? Abang jangan risau, Puteri akan bagi. Nanti abang set masa untuk kita turun Ipoh jumpa Uncle Yahya”
                        Iskandar tiba-tiba menjadi kelu  apabila mendengar apa yang diperkata Puteri. Sungguh, dia tidak pernah terfikir semua itu lagi. Tidak terlintas lansung di kepala untuk mengambil lagi bahagian Puteri itu. Kerana dia tahu dia tidak berhak. Dia suami yang tidak menjalankan tanggungjawab. 
                        Iskandar hanya mampu memandang Puteri dengan seribu perasaan sayu.
                        “Abang tak ada apa-apa lagi ke nak diperkatakan pada Puteri ? Puteri ada temu janji pukul sebelas ni. Nak kena bergerak dulu. Nanti abang call Puteri ya ? Atau tinggal pesan pun boleh, bila masa yang sesuai untuk ke Ipoh”.
                        Lagi sekali Iskandar rasa terpukul, dek alunan lembut suara Puteri tetapi terasa bagai racun berbisa menusuk kalbu. Teruk sangatkah dirinya ? Sehingga pada pertemuan pertama yang diimpi-impikan selama ini, di suakan dengan persoalan tentang harta ?
                        Harapannya, dia dapat memeluk isterinya itu, dan memohon sejuta kemaafan di atas kesalahan mengabaikan Puteri selama ini. Nampak gaya, harapan itu hanya tinggal angan-angan sahaja, kerana apa yang dia hadapi kini tidak seperti mana yang dibayangkan. Dia menjadi kelu dan bisu....
                        “Abang, Puteri pergi dulu ya?”
                        Lalu Puteripun cepat-cepat menghilangkan diri ke belakang. Ke bilik JI. Dia ingat, dia boleh berlagak tenang dengan pertemuan ini. Dia tidak boleh berpura-pura. Tutup sahaja pintu bilik JI, dia menghamburkan air mata semahu-mahunya.
                        Tidak berapa lama kemudian, Puteri terdengar JI bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbit.
                        Mama crying
                        Don’t know. Daddy come here....pity mama”
                        “Okay”.
                        “Mama, daddy want to talk to you”
                        JI menghulurkan telefon kepada   mamanya.
                        “Hurm....abang”
                        What’s wrong my dear ?”
                        He’s back....”
                        Who....Iskandar ?”
                        Puteri diam. Hanya tangisnya menjadi kuat. Khalif  juga terdiam. Dia juga kehilangan kata-kata.  Lama mereka berdiam di talian.
                        “Jangan menangis. Abang ada. Kejap lagi abang sampai okay ?”
                        Puteri tahu Khalif akan sampai. Dari dahulu sehingga sekarang, dialah penawar duka. Tidak pernah dia membiarkan Puteri keseorangan menanggung sedih. Dia akan sentiasa bersama.  Dialah yang memberikan kekuatan demi kekuatan untuk Puteri terus berjuang. Hadirnya bagai bintang menyinari hidup Puteri....